Friday, September 25, 2009

Hari Raya

Wah, kejap aje dah sampai hari raya ke-6. Sepanjang Syawal 1 hingga , memang sangat sibuk melayan tetamu dan mengunjungi sanak-saudara.
Tahun ini giliran kami adik beradik beraya bersama. Semua adik-beradik saya sudah berumah-tangga dan pada setiap raya mempunyai bergilir-gilir berhari raya di rumah mertua dan di rumah bapa kami.

Pada hari raya kali ini, sehari sebelumnya kami telah sama-sama pulang ke rumah bapa dan bergotong-royong membuat persediaan raya. Sibuk merendang ayam dan daging, merebus ketupat dan menantu2 bapa saya sibuk membakar lemang. Memang meriah kerana anak-anak kami semuanya turut sama diperintahkan oleh penyimpan mohor rumah, untuk membersihkan kawasan rumah walaupun mereka tu lebih banyak main daripada kerja.
Pada hari raya pertama dan kedua, tak henti-henti saudara mara datang berkunjung. Selepas sembahyang raya, kami mengadakan majlis bersalam-salaman dan meminta maaf bermula daripada ahli keluarga yang paling tua hinggalah yang paling muda. Pada masa ini, anak-anaklah yang paling seronok kerana di samping bersalam-salaman, mereka juga dihulurkan dengan duit raya. Selepas itu, sempat juga bergambar. Tapi tak boleh berlama-lama sebab belum sempat selesai, dah ada yang datang berkunjung. Nasib baik semuanya telah disediakan awal. Walaupun letih, tapi sangat seronok sebab bukannya selalu dapat berkumpul dan bertemu. Pada tahun ini, ahli keluargapun dah bertambah. Saudara-mara yang berkunjung pun bertambah ramai.

Pada petang hari raya pertama, saya ke rumah mertua. Hmmm....tetap penuh juga sebab adik beradik dan anak saudara mertua saya memang datang berkumpul di rumah itu pada hari raya pertama dan kedua.
Petang raya ke-2, balik semula ke rumah bapa saya. Kami keluar beraya beramai-ramai mengunjungi ibu saudara yang tinggal jauh sedikit daripada rumah bapa saya. Di sana pun sempat bertemu sepupu-sepupu dan ibu saudara yang lain. Meriah macam ada kenduri pulak.

Hari Raya ke 3, adik beradik saya semuanya bertolak ke rumah mertua masing-masing. Saya sekeluarga bersama keluarga mertua hanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk beraya. Semalam pula, saya sempat ke Bandar Seri Jempol dan Gemas untuk melawat ibu saudara suami saya di sana. Hmm...melalui jalan raya bukit putus, hilang glamour sebab si kecil saya berlambak-lambak muntah ke atas saya... agaknya pening kepala melalui jalan yang berlengkang-lengkok itu.

Sempat candid penjual telur itik di jalan selepas bukit putus..


Kami pulang setelah matahari lama menghilangkan diri. Hari ini, saya akan pulang ke rumah setelah hampir seminggu beraya di kampung....





Saturday, September 19, 2009

Hari-hari terakhir di bulan Ramadan


Hari ini hari terakhir kita berpuasa.
Rasanya memang semua umat Islam mengalami kesibukan sama ada tahap kecil, sederhana ataupun tahap melampau.
Nak update blog pun masa amat terhad....

Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan:-

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN






Tuesday, September 15, 2009

Bumi Hijau

Di belakang rumah,
adalah tanah sekangkang kera..
Tanamkan pohon cili dan beberapa batang terung.
Nampaknya dah subur..
Tak lama lagi bolehlah menuai hasilnya...

Teringat suatu ketika dahulu,
program Bumi Hijau...
Kalau kita hijaukan bumi,
Mungkin sedikit sebanyak menyelamatkan bumi,
Yang semakin hari semakin menipis ozonnya.
Juga dapat menjimatkan ekonomi.....

Teringat lagu, "Mari Kita Berladang....."


Thursday, September 10, 2009

Formula One

Sejak dapat kaki...asyik merayau ke sana ke sini.


Kerusi pun boleh jadi mainan dia...
Dan mulutnya riuh seperti bunyi enjen kereta....
Aik...nak jadi pemandu Formula One ke tu?
Ha...bolehlah gantikan Hamilton yang tak berapa menyerlah lagi tu,
jadi pemandu pasukan Mc Larren.


Kalau tak beri apa yang dia nak, mulalah buat muka monyok...


Tuesday, September 8, 2009

Merancang untuk hamil?

Sekiranya anda sedang mencuba untuk hamil,terdapat 5 Perubahan Besar Yang Perlu Dibuat Pada Diet Anda.

1. Perbaiki diet anda

Perbanyakkan memakan buah-buahan dan sayuran kerana kesuburan berkait rapat dengan pemakanan yang sihat. Makan makanan yang mengandungi lebih kalsium seperti yogurt dan susu. bagi kaum lelaki, amalkan memakan vitamin seperti Vitamin C dan E, Zinc, asid folik penting untuk pengeluaran sperma yang sihat. Kekurangan zat dan vitamin boleh menganggu kedatangan haid dan menyebabkan sukar untuk kita meneka bilakah masa subur.

2. Ambillah vitamin tambahan

Walaupun mungkin anda merasa yang anda telahpun mempunyai pemakanan yang optimal menerusi diet yang seimbang tapi anda masih juga disarankan untuk mengambil vitamin tambahan, terutama bagi mereka yang mempunyai pekerjaan atau sibuk melayan anak yang lain dirumah. Mengambil vitamin tambahan akan memastikan anda mendapat cukup asid folik dan nutrien lain yang boleh meninggikan peluang untuk hamil dan mendapat anak yang sihat.
Pastikan anda cuma mengambil vitamin yang disarankan oleh wanita hamil dan pada dos yang tertentu sahaja kerana memakan vitamin yang terlalu berlebihan mungkin akan memberi kesan sampingan kepada bayi yang sedang membesar. Sebagai contohnya terlalu banyak vitamin A adalah toksik kepada perkembangan janin. Berbincanglah dengan doktor pakar untuk maklumat yang tepat tentang ubat yang sesuai untuk anda.

3. Makanlah asid folik sekurang-kuranya 4 mg sehari

Vitamin ini telah terbukti berkesan untuk mengurangkan risiko kecacatan saraf seperti spina bifida dan telah dikaitkan dengan kurangnya risiko untuk mendapat sakit jantung, kanser dan kencing manis. Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai kecacatan saraf, anda disarankan mengambil asid folik dalam dos yang lebih tinggi dan hendaklah diambil satu bulan sebelum anda merancang untuk hamil, dan sekiranya anda telah hamil, teruskan memakannya sehinggalah kandungan sekurang-kurangnya 3 bulan.

Pilihlah ubat multivitamin yang mempunyai cukup dos untuk asid folik dan makanlah sayuran yang kaya dengan folik seperti tumbuhan hijau, buah-buahan yang banyak mengandungi jus, bijirin dan roti yang mempunyai folik.

4. Hindarkan tabiat buruk

Jangan meminum alkohol, kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi cafin. Hentikan terus ubat-ubatan herbal atau traditional yang anda makan sekarang dan pastikan anda cuma memakan ubat yang disarankan oleh doktor, yang telah dipastikan selamat untuk mereka yang merancang untuk hamil. Juga, jauhi dari rokok atau mereka yang merokok kerana ia boleh memberi kesan terhadap kandungan anda.

5. Dapatkan berat badan yang ideal

Mengurangkan sikit berat badan anda (atau menambahkan sikit berat badan sekiranya anda s eorang yang terlalu kurus) sebelum mencuba untuk hamil adalah disarankan sekiranya anda mahukan kandungan yang tidak bermasalah. Terlalu gemuk atau kurus boleh menyebabkan kesukaran untuk hamil. Lagipun, wanita yang mengalami berat berlebihan mempunyai lebih komplikasi semasa hamil dan mereka yang terlalu kurus pula boleh mendapat bayi yang kecil atau kelahiran pra-matang.

Rancanglah pemakanan yang baik yang mempunyai kurang lemak, yang banyak serat. Amalkan banyak senaman dan cuba untuk kurangkan berat setengah kilogram satu minggu dan jangan terlalu keterlaluan untuk mengurangkan berat badan anda kerana anda mungkin akan kehilangan nutrisi dari badan anda. Sesuatu yang anda patut elakkan semasa mencuba untuk mengandung.

Petikan dari Forum AlamHamil

p/s Teringat kenangan manis bila akhirnya di sahkan mengandung pada bulan Ramadan 2 tahun lepas. Terus doktor suruh rehat dan ingatkan yang tahun itu tak boleh beraya ke mana-mana...dan alhamdulillah, akhirnya segalanya berjalan lancar.

Kepada adik-adik yang sedang cuba untuk mengandung tu...mana tahu, penduan di atas boleh membantu.

Sunday, September 6, 2009

Rambut

Dah lama tak cerita pasal si kecil yang dah semakin banyak kerenahnya tu.
Dah lama saya kenakan dia perintah berkurung.
Sejak H1N1 melanda.

Rambut dia dah panjang.
Kesihan pula asyik pegang-pegang kepala.
Rimas agaknya dengan peluh.
Rambut dia ni saya yang yang gunting selama ini.


Sebelum bergunting....

Tapi kali ni saya ambil keputusan bawa saja ke salun.
Maklumlah tak lama lagi nak raya,
dan yang sebenarnya saya tak sanggup nak gunting rambut dia.
Sebab setiap kali saya gunting, kepala dia asyik berputar2.



Amboi anakku...
Kecil2 dah ke salun ya...


Pulang dari salun....



Selepas dua hari...

Saturday, September 5, 2009

Pagi Sabtu

Dah lama tak update blog ni.

Dengan kerja-kerja yang bertimbun-timbun macam bukit seguntang.
Menjadi chef sepenuh masa kerana suami saya tak mahu kompromi langsung dengan juadah dari Pasar Ramadan.
Tugas seharian di rumah.
Tambahan pula Si Kecil sedang lasak sehinggakan memasakpun terpaksa berperang dengan dia dulu.
Aktiviti biasa di bulan puasa.
Mengejar dateline majlis Khatam Quran
dan begitu banyak alasan....(hehehe...)


Selamat pagi sabtu buat semua.
Semoga dalam rahmat Allah hendaknya.