Friday, February 27, 2009

Anak Amanah Kita

Entri ini telah saya tulis lebih kurang 2 minggu yang lalu tapi tertangguh seketika.

Pagi itu, (17 Feb) saya terbaca artikel di akhbar Berita Harian tentang panduan mendidik anak. Saya tertarik dengan artikel ini. Maklumlah, memang banyak cabaran dalam mendidik anak. Saya harap saya boleh menjadikannya panduan. Antaranya:

1. Terima seadanya

Dalam apa keadaan sekalipun, sama ada serba kekurangan atau keperitan, tanggungjawab serta matlamat hidup perlu diteruskan. Persediaan minda, emosi, fizikal, psikologikal serta rohani dipertingkatkan supaya tidak terlalu mudah dipengaruhi perasaan yang boleh melemahkan semangat. Terimalah seadanya dan redha serta yakin bahawa setiap dugaan itu pastinya ada hikmah daripada Pencipta.

- Dalam apa pun yang kita buat, kita perlu sedar bahawa anak kita mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Saya juga selalu mengingatkan diri sendiri, tiada apa yang sempurna kecuali Allah s.w.t. Semoga kita dapat mengatasi segala cabaran dalam mendidik anak dengan tabah.

2. Makan Bersama

Cuba sedaya upaya untuk mengumpul kesemua ahli keluarga untuk makan bersama dengan mewujudkan suasana yang riang di antara satu sama lain. Ini juga merupakan masa yang terbaik unytuk berkongsi pengalaman atau pandangan sambil usik-mengusik mengenai sesuatu isu yang boleh diterima oleh semua ahli keluarga.

- Saya amat bersetuju bahawa amalan makan bersama merapatkan hubungan kekeluargaan. Dalam dunia yang serba pantas ini, kadang-kala kita melupakan amalan ini kerana terlalu banyak perkara lain yang ingin dikejar sehingga mengenepikan amalan yang sepatutnya kita pelihara ini. Mana tidaknya, kadang-kala kita pulang lewat dan agak mustahil untuk membiarkan ahli keluarga menanti sehingga kita pulang untuk makan malam. Namun begitu, kita perlu mencuba sedaya upaya untuk mengumpul semua ahli keluarga untuk makan bersama sekerap yang mungkin.

3. Beri motivasi dalam hal-hal akademik

Anak-anak sememangnya kurang berminat untuk belajar, apatah lagi terpaksa membuat kerja-kerja sekolah atau membaca buku untuk menghadapi peperiksaan. Leteran serta rungutan tidak membantu, tetapi sebaliknya ia akan menimbulkan rasa bosan. Beri dorongan seperti menyatakan hasrat yang terpendam di hati betapa bangga sekiranya kita melihat anak sendiri naik ke pentas menerima hadiah kerana cemerlang dalam akademik.

- Memang sukar untuk tidak berleter atau marah-marah jika melihat anak-anak kurang mengambil berat tentang pelajarannya. Namun, demi kebaikan mereka, kita masih boleh mencuba untuk memberikan semangat kepada anak-anak agar mereka lebih berminat untuk belajar dan melakukan kerja rumah mereka.

4. Jangan sekali-sekali memarahi di tempat yang terbuka.

Kadangkala tingkahlaku anak tidak menyenangkan, tetapi tidak bererti bahawa teguran boleh dilakukan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat. Perasaan anak juga perlulah diambil kira dan sebarang teguran serta nasihat hendaklah dilakukan di tempat yang tertutup supaya perasaan malu atau mungkin dijadikan bahan ejekan sesama ahli keluarga tidak berlaku.

- Kanak-kanak seringkali mencabar kesabaran kita terutama di tempat awam. Mereka seringkali melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan di hadapan orang lain. Kita memang patut menegur secara semerta jika mereka melakukan sebarang kesalahan, namun jika kita menegur dengan cara yang boleh memalukan mereka, dikhuatiri mereka akan memendam perasaan dan akhirnya memberontak.

5. Berikan hadiah sekiranya perlu

Memberi hadiah membantu menmpertingkatkan motivasi anak untuk berusaha bersungguh-sungguh. Berikan hadiah seperti yang dijanjikan mengikut kemampuan lebih-lebih lagi hadiah yang sememangnya ingin diberikan serta hadiah itu dapat membantu mempertingkatkan lagi proses pembelajaran. Namun begitu, perlulah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang baik tidak semestinya disusuli dengan hadiah.

- Hadiah yang diberikan tidak semestinya berupakan barangan. Jika kejayaan yang telah dicapai oleh anak-anak hasil daripada kesungguhannya berusaha, kita patut memberikan ganjaran walaupun hanya dalam bentuk pujian. Kanak-kanak amat sukakan ganjaran, walaupun ganjaran tersebut hanyalah beberapa gambar bintang yang dilukis oleh guru di buku tulis mereka!

6. Gunakan ugutan dalam keadaan tertentu

Kadangkala ugutan membantu untuk merubah diri seseorang. Selagi ugutan itu tidak menyakit atau memudaratkan diri anak serta dapat memberi kesedaran, pendekatan ini tidaklah begitu keterlaluan. Bertegas adalah penting untuk mengejutkan anak yang sedang lena dibuai mimpi atau angan-angan yang tidak kesampaian.

- Kita sering diingatkan supaya mengelakkan daripada menggunakan ugutan dalam mendidik anak-anak. Namun begitu ugutan yang bagaimana agaknya merupakan cara terbaik untuk mendidik anak-anak?

"Anak umpama kain putih. Terpulang kepada kita untuk mencoraknya. Didikan yang berlandaskan syariat pasti membantu mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berperibadi mulia."


1klassifieds ms c11 selasa 17 feb 2009 berita harian

Tuesday, February 24, 2009

Perkara yang perlu kita elakkan

Cuba renungkan kata-kata di bawah.

Jangan sengaja lewatkan solat.
Perbuatan ini Allah tidak suka.
Kalau tertidur lain cerita.

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas
kaki (selipar).
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,
mengotori seluruh rumah kita.

Jangan makan dan minum dalam
bekas yang pecah atau sumbing.
Makruh kerana ia membahayakan
.

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah
digunakan tidak berbasuh.
Makruh dan mewarisi kepapaan
.

Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal
(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu
berkat)

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan.

Jangan keluar rumah
tanpa niat untuk membuat kebaikan.
Takut-takut kita mati dalam
perjalanan.

Jangan pakai sepatu atau selipar yang
berlainan pasangan.
Makruh dan mewarisi kepapaan.


Jangan biarkan mata liar di perjalanan.
Nanti hati kita gelap
diselaputi dosa.

Jangan menangguh taubat bila berbuat
dosa kerana mati boleh datang
bila-bila masa.

Jangan ego untuk meminta maaf pada
ibu bapa dan sesama manusia
kalau memang kita bersalah.

Jangan mengumpat sesama rakan
taulan. Nanti rosak persahabatan kita
hilang bahagia.

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH
dalam setiap kerja kita.
Nanti kita sombong apabila berjaya.
Kalau gagal kecewa pula.


Jangan bakhil untuk bersedekah.
Sedekah itu memanjangkan umur
dan memurahkan rezeki kita.


Jangan banyak ketawa.
Nanti mati jiwa

Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah
ciri-ciri munafik dan
menghilangkan kasih orang kepada kita.


Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan, Doa
makhluk yang teraniaya
cepat dimakbulkan ALLAH.


Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia.
Akhirat itu lebih utama
dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.


Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.
Sebab semuanya untuk keselamatan kita.


ALLAH lebih tahu apa yang terbaik
untuk hamba ciptaanNya.

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.."


Thursday, February 19, 2009

Kesabaran Yang Terbalas

Hari ini, sepupu saya menelefon untuk memberitahu tentang kelahiran bayi sulungnya. Dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Saya tumpang gembira mendengar berita tersebut. Maklumlah, dulu saya dan isterinya 'S' memang sering berkongsi cerita dan perasaan. Kami berdua sama-sama lewat dikurniai zuriat. Walaupun saya yang memegang rekod paling lama kerana dia berkahwin dengan sepupu saya hampir satu dekad selepas saya mendirikan rumah tangga, kebimbangan kami sebenarnya hampir serupa. Tahun demi tahun dilalui tanpa kehadiran cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah biarpun kami cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu memikirkannya. Setiap kali bertemu, kami sering berkongsi perasaan lebih-lebih lagi setelah adik ipar saya dan kemudiannya adik iparnya yang baru sahaja berkahwin terus mendapat cahaya mata. Kami sering tertanya-tanya, masih adakah ruang bagi kami menikmati keriangan kerana mendapat penyeri dalam rumahtangga?

Kami sama-sama memotivasi satu sama lain. Apabila saya disahkan mengandung kira-kira 2 tahun yang lalu, 'S' begitu teruja untuk terus berusaha. Saya yang telah berumur ini pun masih mampu bersabar berusaha dan menanti, apatah lagi dirinya yang masih muda. Tentu sahaja peluangnya lebih cerah.
Semasa saya sarat mengandung, saya ada berkata kepadanya bahawa selepas ini gilirannya pula. Saya agak yakin jika dia terus berusaha, dia juga akan dikurniai rezeki seperti saya memandangkan usianya yang masih muda berbanding saya. Lagipun sebelum ini dia pernah mengandung beberapa bulan sebelum keguguran. Alhamdulillah, sepupu saya iaitu suaminya yang sebelum ini agak 'liat' untuk sama-sama mengunjungi doktor pun bersedia memberikan kerjasama. Selain bertemu doktor, 'S' juga telah pergi berulang-alik untuk berurut. Macam-macam lagi usaha yang dilakukannya sama seperti saya dulu, cuma dia masih belum ke tahap melakukan proses IVF.

Akhirnya, beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, saya diberitahu yang 'S' telah mengandung. Dan akhirnya berkat kesabaran selama lebih kurang 8 tahun, 'S' telah berjaya mendapat zuriat yang dinanti-nantikannya selama ini.

Begitulah, berkat kesabaran, akhirnya kami berdua kini sama-sama telah mempunyai seorang putera, zuriat kami sendiri. Saya percaya masih ramai yang menanti untuk dikurniai zuriat sendiri. Saya tahu, kebanyakannya masih muda dan usia perkahwinan mereka masih belum begitu lama berbanding kami. Semoga kisah dan pengalaman kami menjadi pendorong buat mereka yang masih lagi menanti. Usahlah jemu berusaha dan jangan sesekali putus asa. Usah juga salahkan ketentuan Tuhan. Jika kita redha dengan ujiannya serta sering mengadu kepadaNya, Dia sentiasa mendengar doa dan keluhan kita. Dia juga pasti lebih tahu, apa dan bila masa terbaik untuk memberikan apa yang kita pinta!

Tuesday, February 17, 2009

Apa nak jadi?


Pagi tadi pula, jiran sebelah saya menerima panggilan telefon daripada sepupunya yang tinggal di Melaka. Ibu saudaranya yang berusia dalam lingkungan 50-an meninggal dunia kerana ditetak. Sedih dan bimbang mendengar pelbagai kekejaman yang berlaku di negara kita akhir-akhir ini. Kejadian yang suatu ketika dahulu hanya kita lihat di dalam filem dan kitadengar terjadi di negara lain, kini semakin banyak menimpa rakyat negara kita.

Kata jiran saya, ibu saudaranya itu hanya ditemui oleh suaminya di kebun dalam keadaan tidak sedarkan diri pada hari Ahad lepas itu telah ditetak tetapi tiada pula barang yang hilang. Telefon bimbit yang dibawanya juga tidak hilang. Pelik juga ya! Apa pula tujuan orang yang menetak itu? Hanya suka-suka saja ke?

Kalau dulu, kes-kes bunuh hanya kes-kes terpencil. Tetapi sekarang seringkali kita lihat dan dengar kekejaman semakin menjadi-jadi. Kemanakah agaknya hilangnya keamanan negara kita yang suatu ketika dulu amat kita bangga-banggakan ya?

Saturday, February 14, 2009

Sebuah cerita lama

Semalam saya berkunjung ke laman Nuriman. Terbaca catatan Dek Na tentang kesedihannya waktu seorang kawan mengatakannya mandul. 'Mandul' maksudnya menurut Kamus Dewan ialah tidak boleh beranak. Sesiapapun akan berasa sedih jika dikatakan mandul.
Saya faham sangat perasaan seorang wanita bila dia dikatakan mandul. Kadang-kala ada orang yang bercakap mengikut sedap mulut tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mereka menganggap perkataan itu hanya perkataan biasa, tanpa mengetahui bahawa bagi seseorang yang masih belum mempunyai anak, perkataan itu dapat menerbitkan perasaan sedih yang amat mendalam. Lebih sakit daripada dihiris belati yang tajam.
Saya pernah mengalami pengalaman yang dilalui oleh Dek Na itu bertahun-tahun lamanya. Dan peristiwa itu masih tidak mampu terpadam daripada minda saya, walaupun kini saya telah dikurniai seorang anak yang menjadi permata hati dalam kehidupan saya. Peristiwa itu terjadi semasa saya menanti bapa saya di Masjid Negeri kerana menghadiri kursus haji di sana. Pada waktu itu, saya baru selesai daripada menunaikan solat dzuhur. Suami telah menanti di dalam kereta dan ibu saudara, nenek dan bapa saya serta beberapa orang wanita yang merupakan orang kampung saya sedang menanti di hadapan Masjid Negeri. Saya bersalaman dengan mereka. Pada waktu itulah, salah seorang daripadanya bertanyakan saya ini anak yang mana? Ibu saudara saya memperkenalkan saya. Lalu wanita itu tanpa mempedulikan orang ramai yang ada di hadapan masjid itu terus menyatakan,
"Oh, inilah anak ..... yang mandul tu!"
Semua yang ada di situ terdiam. Mungkin yang lain itu faham perasaaan saya ketika itu. Saya cuma tersenyum paling manis, sedangkan di dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya, saya boleh menerima apa sahaja kata-kata wanita itu, tetapi saya sangat sedih terpandangkan muka suami saya yang 'agak berubah' pada masa itu kerana beliau berada di dalam kereta yang berhampiran tempat kami berada itu.
Dan kini, apabila saya telah mempunyai anak, ingin sangat saya bertemunya dan membawa anak saya sambil memberitahunya perasaan saya, namun saya fikir, tak perlulah saya mengambil kisah tentang apa yang telah terjadi bertahun-tahun lalu. Betul kata orang, mudah sangat untuk memaafkan, tetapi amat sukar untuk melupakan! Saya telah lama memaafkannya, namun kata-katanya itu tidak pernah saya lupakan!
Saya tahu, ramai wanita yang masih belum dikurniai zuriat mengalami peristiwa yang saya dan Dek Na hadapi. Mungkin ada yang lebih hebat daripada itu. Semoga kita semua tabah menghadapinya dan kita akan berhati-hati dengan tutur-kata kita. Semoga kita dijauhi daripada berbicara tanpa berfikir.

Saturday, February 7, 2009

Cerita seorang teman

Pagi itu Kakak lihat kawan Kakak ini muram sangat wajahnya. Kakak tanya dia, kenapa dia kelihatan tidak bermaya. Akhirnya, dia bercerita tentang sebab kemuramannya itu.

Sebenarnya dia baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun lepas. Kini usia perkahwinannya mencecah setahun. Sepatutnya dia berasa gembira kerana baru sahaja menyambut ulangtahun perkahwinan bersama suami tercinta, namun dia berasa sedih kerana dia masih belum mampu memberikan zuriat kepada suaminya. Lebih menyakitkan apabila suaminya seringkali meluahkan rasa kesal dan sering bersungut tentang kesunyiannya sebaik pulang dari pejabat. Sang suami sering mengeluh yang dia berasa tertekan kerana ada antara rakan-rakannya yang memperli bahawa dia bukan 'sharp shooter' sebab dah setahun kahwin pun isterinya masih belum lagi hamil. Suaminya rasa sangat tercabar dan sering kali hilang sabar bila dia datang haid. Suaminya seolah-olah menyalahkannya setiap kali dia gagal memberi berita gembira pada suaminya itu. Kadang-kala dia sering terasa yang suaminya seperti memberi 'hint' agar dia membenarkan suaminya 'membuka cawangan' mungkin kerana tidak tahan diajukan sindiran yang sama. Dia telah menemui doktor untuk mendapatkan pandangan tentang masalah ini. Doktor meminta suaminya datang bersama untuk membuat pemeriksaan, namun suaminya enggan dan selalu mengatakan yang dirinya normal. Hal tersebut membuatkannya berasa sedih dan binggung akan tindakan yang patut diambil.


Begitulah cerita seorang teman Kakak. Kesihan betul padanya. Sebenarnya, ramai lagi yang masih belum mempunyai rezeki setelah bertahun-tahun berkahwin tetapi masih sabar dan tetap berusaha.


p/s Sepatutnya suami perlu memberikan sokongan dan bukannya hanya tahu menyalahkan isteri sahaja. Suami pun harus sedia bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan. Bukan untuk membuktikan siapa yang patut dipersalahkan tetapi sebagai cara untuk mencari kaedah yang sesuai untuk mengatasi jika ada sebarang masalah antara pasangan tersebut. Sekarang ni dah banyak kaedah perubatan moden dan tradisional yang mungkin boleh mengatasi masalah ini. Teman-teman pula patut sedar yang zuriat itu anugerah Tuhan dan jangan menambahkan beban pasangan yang bermasalah ini dengan perlian yang tidak sewajarnya keranan anda mungkin akan menyebabkan orang lain menderita dengan apa yang anda anggap sebagai usikan sahaja. Cubalah hormati perasaan orang lain.

Sunday, February 1, 2009

Program IVF

Hari ini terjumpa keratan lama tentang IVF.
Teringat pula tentang adik (Dik na yang dikenali dalam blog nuriman,) yang bertanya tentang IVF. Ingin saya kongsikan sedikit maklumat tentangnya. Dalam akhbar Berita Harian 8 Disember 2008, Hidayah Mohammad ada melaporkan tentang titah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah iaitu Presiden seumur hidup Yayasan Fertiliti Tuanku Azizah (TAFF) pada satu majlis yang diadakan oleh TAFF. Antara titah baginda yang saya petik daripada akhbar berkenaan ialah,
"Saya pernah mengalami pengalaman itu. Betapa sukar dan sedih apabila bertahun-tahun lamanya hidup sebagai pasangan suami isteri, tetapi belum lagi menimang cahaya mata. Apatah pula, bagi yang tidak berkemampuan kerana kos menjalani IVF bukannya murah. Tetapi dengan bantuan TAFF bukannya murah. Tetapi dengan bantuan TAFF yang bekerjasama dengan beberapa pusat rawatan terbaik insya-Allah ia memberi keceriaan kepada institusi kekeluargaan mereka."
"Bagaimanapun, terlalu banyak permohonan yang kami terima, dan kita perlu pilih mengikut syarat dan kriteria yang ditetapkan. Mereka dipilih melalui beberapa syarat, antaranya permohonan awal yang diterima, pasangan yang sudah berkahwin lebih lima tahun, suami tidak berpoligami, pasangan itu mesti berkahwin secara sah, terbukti bermasalah dan pendapatan seisi rumah kurang daripada RM 4000."

Difahamkan bahawa sehingga Julai 2008, seramai 5000 pasangan yang tidak mempunyai zuriat telah memohon untuk mendapatkan dana daripada TAFF ini. Memandangkan jumlah pemohonan tersebut, pastinya terlalu ramai pasangan yang masih belum mempunyai zuriat. Mulia sungguh hati Tuanku Azizah ni kan! Begitulah, biasanya hanya orang yang pernah mengalaminya sahaja yang biasanya faham tentang hal-hal sebegini.

Oh ya, selain daripada berita di atas tu, ada sedikit maklumat yang ingin saya kongsi iaitu pasangan yang sesuai melalui proses IVF ini ialah pasangan yang mempunyai masalah berikut:-
1) Saluran fallopian tersumbat
2) Suami mempunyai kualiti sperma terlalu rendah
3) Polystic ovari
4) Mempunyai endometriosis.