Wednesday, March 25, 2009

Penyuburan jiwa elak derhaka

Menonton cerekarama hujung minggu lalu mengingatkan saya tentang filem P.Ramlee Anakku Sazali. Kenapa anak-anak yang begitu kaya dilimpahi kasih sayang, boleh tersasar jauh daripada landasan kehidupan yang sewajarnya? Adakah ibu bapa yang bersalah atau anak-anak yang tak pandai mengenang jasa ibu atau bapa yang sanggup berkorban jiwa raga demi kebahagiaan anak?


Si Tanggang juga merupakan satu lagi kisah seorang anak yang tidak mampu dibentuk untuk mengenang jasa ibu yang menyayanginya dengan sepenuh kasih sayang. Kemewahan dan kekayaan yang dimiliki kiranya mampu menjadikan seorang anak derhaka dan berasa malu untuk mengakui ibunya sendiri.


imej dimuat turun daripada: http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/d/df/Poster_Si_Tanggang.jpg


Alangkah sedihnya kalau hal tersebut terjadi pada diri kita. Memikirkan tentang flem-filem dan cerekarama tadi, apakah agaknya yang perlu kita lakukan untuk membendung tragedi tersebut menimpa diri kita?

Dalam dunia yang serba pantas ini, kadang-kala kita memang tidak dapat mengelakkan diri daripada kesibukan bekerja sehingga terlupa tentang anak-anak yang sentiasa mengharap belaian dan kasih sayang daripada kita. Memang benar, kita sentiasa bekerja kuat untuk anak-anak kita. Kita perlu memastikan segala-galanya mencukupi buat mereka terutama dalam memastikan mereka mendapat pendidikan dan kemudahan yang sewajarnya. Memang benar, kita lakukan semuanya untuk kepentingan mereka juga.Namun begitu, seandainya kita terlalu sibuk, apakah kita hanya perlu menanti hujung minggu atau mengambil cuti khas untuk berada bersama anak-anak kita. Adakah kita akan mengehadkan masa untuk menunjukkan kasih sayang kepada permata hati kita ini sekiranya tugas kita hanya membenarkan kita keluar pada awal pagi dan pulang pada lewat malam?

Saya pernah terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Mohd Zawawi Yusoh dalam akhbar Harian Metro bahawa sekiranya kita sibuk, kita masih boleh menyuburkan hubungan rohani dengan anak-anak walaupun semasa anak-anak sedang tidur. Sewaktu kita pulang daripada bekerja di tengah malam, usahlah lupa untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada anak-anak. Walaupun pulang di tengah malam, pergilah ke bilik mereka dan cium dahi mereka kerana walaupun mereka sedang tidur, jiwa mereka sentiasa hidup. Kita juga disarankan agar melatih anak-anak mengerjakan solat berjemaah setiap masa yang terluang. Selalu memeluk anak-anak dengan penuh kasih sayang juga dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Selain itu, kita perlu mengelakkan diri daripada mengherdik atau mengeluarkan perkataan yang kurang baik kepada anak-anak kerana segala kata-kata ibu bapa akan menjadi doa buat anak-anak.

Terlalu besar cabaran untuk membesar dan mendidik anak. Semoga kita dikurniai anak-anak yang mampu membahagiakan kita di dunia dan di akhirat.

Tuesday, March 24, 2009

Bila terkenang mulut menyebut

Bila memandang ke muka laut,
Nampak sampan mudik ke hulu;
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.




Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Monday, March 23, 2009

Minggu pun bermula

Pagi ni bangun rasa sengal sikit. Mana tak nya, malam tadi ada konsert apa ntah kat kawasan perumahan yang saya duduki. Walaupun agak jauh daripada rumah saya, namun bunyinya sedikit mengganggu. Tapi nasib baiklah sampai pukul 12 sahaja semua bunyi gendang dan segala macam lagu yang saya tak faham maksudnya pun berhenti. Tapi sebelum tu, terloncat-loncat gak jantung dibuatnya.

Yang peliknya, anak kecil saya masih boleh lelap dengan segala macam bunyi tu. Tinggal di kawasan perumahan ni ada baik buruknya. Yang seronoknya, jiran-jiran di sekeliling rumah saya memang menyenangkan hati. Susah sebenarnya nak dapat jiran tetangga yang boleh 'sekepala'. Dan sepanjang lebih 5 tahun tinggal di sini, rasa sangat selesa. Walaupun kami masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan rumah tangga dan amat jarang dapat berbual mesra, namun sesekali berjumpa, sentiasa ada sahaja teguran dan senyuman mesra. Jika ada hal-hal tergempar, saya tidak perlu susah hati, kerana jiran-jiran saya sedia untuk menghulurkan bantuan.

Rumah yang saya duduki sekarang telah lama kami beli. Hampir sepuluh tahun yang lalu. Setelah berpindah kesini, saya mula dapat merasakan keseronokan tinggal di sini, yang hampir dengan segala macam kemudahan. Bila ada ura-ura untuk membina rumah sendiri di kawasan yang jauh juga daripada tempat ini, saya perlu berfikir panjang. Walaupun mempunyai rumah yang dibina dengan citarasa sendiri telah menjadi impian dan amat mengujakan, saya terfikir, mungkinkah saya akan mempunyai jiran-jiran yang bertimbangrasa dan ramah-tamah seperti sekarang ini. walaupun kawasan yang saya duduki ini telah termasuk dalam kawasan bandar, namun semangat kejiranan yang kuat ini membuatkan saya teringat pengalaman berjiran sewaktu masih kecil dahulu.

Tuesday, March 17, 2009

Cerita hari ini

Sudah beberapa hari si kecil seperti tidak berselera untuk makan. Bibirnya pula nampak sangat merah. Saya bawa dia bertemu seorang pakar kanak-kanak. Tambahan pula, saya hendak menemani kenalan rapat yang baru mendapat orang baru yang saya ceritakan itu membawa anaknya yang mengalami jaundis..


Hem, waktu kami sampai, dah ramai yang menunggu giliran. Si kecil saya memang telah ada rekod di situ, jadi selepas menghulurkan kad, saya mendaftarkan pula bayi teman saya. Lamalah sikit sebab baru nak masukkan maklumat untuk rekod.

Masa menunggu tu, sempat pula bertukar-tukar sapaan dengan orang yang duduk berhampiran saya. Kebanyakannya mendapatkan rawatan bagi anak yang demam berulang. Mereka datang ambil darah kerana bimbang akan serangan denggi. Bagus juga ada kesedaran begitu. Maklumlah, sekarang ni memang payah nak jangka. Kalau demam berulang, lebih baik pergi dapatkan rawatan lanjut yang terperinci. Melalui pemeriksaan darah, Insya Allah dapatlah dikesan lebih awal.
Lama juga kami kena menanti giliran hari ni. Lepas diperiksa, kata doktor tu, si kecil saya mengalami sakit tekak. Oh, patutlah dia tak berapa selera nak makan. Kesihan dia. Doktor berikan ubat demam, sakit tekak dan antibiotik. Lepas tu tunggu anak teman saya dapatkan pemeriksaan. Teman saya takut tengok doktor ambil darah anaknya. Saya yang kononnya berani inilah yang tengok proses tu dari awal sampai akhir. Walaupun sikit, tapi kesihan jugalah tengok anak yang kecil sangat tu meraung kena ambil darahnya.
Selesai sahaja, terus balik.

Monday, March 16, 2009

Orang baru

Hampir seminggu tidak berkesempatan menulis, banyak juga peristiwa yang berlaku dalam kehidupan di sekitar saya. Biasalah dalam kehidupan, banyak ujian dan dugaan. Namun, saya masih bersyukur kerana walaupun beberapa hari tidak sihat, kehidupan saya masih ceria seperti biasa. Saya juga berkesempatan berehat lebih daripada biasa.


Si comel ini memang ditunggu-tunggu oleh ibu bapanya selama 12 tahun.

Dalam berehat tu, ada juga beberapa tugasan yang saya siapkan. Di samping memperuntukkan waktu beberapa hari yang lepas, sibuk meraikan kehadiran orang baru dalam kehidupan seorang kenalan yang amat rapat dengan saya. Saya pula yang sibuk lebih-lebih.....

Seperti kata kak ja dalam komennya pada entri saya yang lepas, bau baby memang amat mengujakan. Saya seronok memerhati dan membantu menguruskan beberapa keperluan. Sebab teruja dengan baby yang comel ni, hampir seminggu juga tak 'update' blog. Tahniah pada kedua-dua kenalan saya ini. Semoga kehadiran bayi yang dinanti-nanti ini akan menyerikan kehidupan mereka berdua.

Monday, March 9, 2009

Hujung Minggu


Hujung minggu kali ini agak panjang kerana bersambung dengan cuti Maulidur Rasul pada hari ini. Sepanjang cuti hujung minggu, saya banyak menghabiskan masa di luar rumah. Saya berkesempatan berkunjung ke utara menziarahi anak sulung sepupu saya 'S' yang pernah saya ceritakan dalam entri 'Kesabaran Yang Terbalas' sebelum ini. Saya pernah bercerita tentang kesabaran kami menanti cahaya mata pertama bertahun-tahun lamanya. Saya agak lewat menziarahinya, namun kehadiran kami sekeluarga disambut 'S' dan babynya dengan hujan renyai-renyai.

Seronok sungguh saya sewaktu dapat bertemu dengan 'S'. Melihat raut wajahnya, saya tahu yang 'S' walaupun masih dalam tempoh berpantang, begitu ceria dan bahagia sekali. Bukan sedikit dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuh, namun itulah kehidupan. 'S' sempat bercerita dengan saya pengalamannya sepanjang mengandung dan dia juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji beberapa bulan sehingga kandungannya stabil kerana bimbang keguguran yang pernah dialami tidak berulang.

Begitulah pengorbanan dan kesungguhan untuk mendapat zuriat sendiri. Dan alangkah malangnya bagi mereka yang telah dikurniai zuriat dengan mudah tapi mencampakkannya sesuka hati.

Friday, March 6, 2009

Tidur

Beberapa hari lagi kita akan menyambut Maulidur Rasul. Bagaimanakah agaknya cara untuk menyatakan kecintaan kita kepada Junjungan Besar kita itu? Antaranya mengikut sunnahnya.

Tidur ialah cara terbaik untuk kita merehatkan badan dan minda. Cuba renungkan dan amalkan (jika belum) cara tidur di bawah:-

CARA TIDUR YANG SEBAIK-BAIKNYA DIAMALKAN OLEH RASULULLAH S.A.W.

1) Tidurlah di awal malam sesudah menunaikan sembahyang Isyak jam 10.00 atau 11.00 dengan keadaan berwuduk
2) Bangkitlah di awal separuh kedua malam jam 1.00 atau 2.00 kemudian bersugi. berwuduk dan bersembayang tahajjud.
3) Kemudian tidurlah semula dan bangkitlah sebelum terbit fajar
4) Tidurlah dengan mengiringkan badan di sebelah rusuk kanan,rusuk kiri di bahagian atas,supaya tetap kedudukan makanan di dalam usus,cepat hadam makanan.Tidurlah sedemikian dari mula hingga akhirnya.


Kadang-kadang kita berasa lesu walaupun kita fikir telah mendapat tidur yang cukup. Bagaimanakah CARA MENGHINDARKAN LESU SELEPAS BANGKIT DARI TIDUR?
1) Bersihkan tubuh, terutamanya bahagian muka,tangan dan kaki sebelum masuk tidur
2) Hindarkan dari tidur lewat malam.
3) Lakukan gerak badan dan senaman di atas katil setelah jaga dari tidur sebelum turun dari katil
4) Minumlah segelas air masak setiap pagi sebelum tidur bersarapan tetapi jgn selepas saja bangun dari tidur
5) Cucilah muka terutama bahagian kelopak mata dengan air suam.
6) Ambil wuduk dan bersembahyang

Semoga mendapat manfaat daripadanya.