Monday, August 22, 2016

Pembantu rumahku lelaki muda

Pembantu rumah saya? Saya dah temui pembantu rumah seorang lelaki. Muda pula tu. Betul ke ni? Sebenarnya. saya masih berbincang dengan agen pembantu rumah untuk mencari seorang pembantu rumah yang sesuai setelah pembantu rumah yang lama pulang ke kampungnya hujung tahun lepas. Bagi saya, sukar juga hendak mencari pembantu rumah setelah pembantu yang lama berkhidmat pulang ke kampungnya. Belum pernah dalam sejarah berbelas tahun saya menggunakan khidmat pembantu rumah, pembantu rumah saya melarikan diri semasa bekerja dengan saya, tetapi awal tahun lepas, pembantu rumah yang baru dua bulan bekerja tiba-tiba melarikan diri ketika kami sekeluarga ke rumah kawan saya yang mengadakan kenduri sempena pernikahan anaknya. Sebulan kemudian, pengganti yang dihantar oleh agen pembantu rumah pula mohon berhenti kerana katanya sebelum dia dihantar ke rumah saya lagi dia sudah memberitahu agennya itu bahawa dia tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah kerana telah biasa kerja di restoran. Semenjak itu, rasa serik pula hendak mencari pembantu rumah. Baru dua kali terkena dah serik, kan!  Padahal ada orang yang lebih buruk lagi pengalamannya dengan pembantu rumah. 

Semalam hari cuti. Alhamdulillah, bahagia rasanya dapat menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. Awal pagi, saya menyediakan macaroni cheese untuk anak-anak dan mee goreng untuk suami.

Seperti biasa, semenjak hampir setahun tiada khidmat pembantu rumah, hari Sabtu dan minggu memang tak menang tangan dibuatnya. namun syukur alhamdulillah, anak bujangku memang ringan tangan membantu. Kerja-kerja mop lantai dan vakum lantai, mencuci pakaian dan memasukkan baju dalam mesin pengering, biasanya saya serahkan pada dia. Bersyukur sungguh saya, biarpun tiada anak perempuan, saya mempunyai anak bujang yang bertimbang-rasa untuk membantu, sekurang-kurangnya masa saya dapat dijimatkan untuk tugas yang lain. Inilah pembantu rumah saya sekarang,  hehehe...

Selepas zuhur, kami sekeluarga keluar ke Aeon. Sudah lama betul tidak keluar bersama-sama. Biasanya, saya shopping online sahaja. Namun, apabila ada peluang dan suami pula tiada program lain hujung minggu ini, saya sarankan kami keluar makan di luar. Suami memang kurang gemar makan di luar, tetapi kali ini beliau setuju sahaja. Mungkin kasihankan saya yang asyik sibuk dengan kerja di rumah dan di tempat kerja, kot..... ahaks. Tambahan pula, kami juga keluar untuk mencari pembakar roti sandwich kerana anak bujang sedang bersemangat untuk membuat roti sandwich cheese dan roti sandwich oreo seperti yang dibelinya beberapa hari lepas. Mula-mula, bongkar stor, cari pembakar roti yang lama tetapi rupa-rupanya, pembakar roti sandwich yang lama telah patah penyangkutnya. Jadi, kenalah beli yang baru supaya semangat ingin mencubanya tidak pudar. Bagus tak alasan tu? 

Pulang dari Aeon, suami terus ajak kami pulang menjengok ibunya. Pada awalnya, nak pergi sebelah tengah hari tetapi ibu mertua saya ada program. Menghadiri kursus, katanya. Bila sampai di sana, adik ipar dan biras saya dah siap memetik rambutan dan manggis. Alhamdulillah, rezeki sungguh.



2 comments:

  1. Kakak berbelas tahun menggunakan pembantu rumah memang ada risiko macam-macam dah kakak rasa.

    Terima kasih titip doa buat almarhum bapak kakak.

    ReplyDelete
  2. Sama-sama Kakzakie Purvit. Saya pun dah gunakan khidmat pembantu rumah sejak 17 tahun lepas, ada yang memang sangat membantu dan tak banyak kerenah, namun ada juga yang memeningkan kepala. Tetapi syukurlah, yang lepas-lepas tak ada yang bermasalah sangat.

    ReplyDelete