Friday, November 13, 2009

Renungan di Majlis

Pada hari Jumaat ini, teringin berkongsi satu cerita yang saya baca iaitu :-

Gelagat Syaitan di Majlis Kenduri

Oleh ImamKhalid

Menurut apa yang diceritakan oleh Tok Bahaman, suatu hari katanya, dia bersama isterinya berjalan hendak ke kenduri kahwin di hujung kampung.

Malangnya, ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Maka terpaksalah mereka menunggu hujan berhenti. Apabila hujan reda, ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Tiba di suatu simpang jalan, mereka terdengar suara tangisan kanak-kanak..

Setelah dilihat sekeliling, didapati 3 orang kanak-kanak tanpa pakaian menangis di tepi sebatang pokok besar yang telah tumbang... Kata Tok Dahaman, dia sungguh hairan, siapa pula yang meninggalkan anak dalam keadaan begitu? Tetapi, dia mula syak bahawa budak-budak itu bukanlah manusia biasa kerana didapatinya mereka berkepala botak, berperut buncit, mata besar dan telinganya pula capang dan tajam. Sementara jari-jari tangannya amat panjang, begitu juga jari kaki.. Walaubagaimanapun, Tok Dahaman bertanya juga apa sebab mereka menangis di tepi jalan.

Menurut salah satu daripada budak-budak itu, rumah mereka telah runtuh disebabkan oleh hujan yang amat lebat sebentar tadi. Tok Dahaman bertanya di mana rumah. Mereka pun menunjukkan kepada pokok besar yang tumbang itu. Sudah sahlah yang budak-budak itu adalah anak jin atau syaitan, jelas Tok Dahaman.

Menurut Tok Dahaman, anak-anak syaitan itu telah meminta dia untuk memberitahu kepada ibu bapa mereka yang berada di rumah kenduri tentang perihal rumah mereka yang telah runtuh itu. Akan tetapi, Tok Dahaman menjelaskan kepada budak-budak itu bahawa dia tidak mungkin dapat mencari ibu bapa mereka kerana syaitan tidak dapat dilihat oleh manusia dengan pandangan mata kasar.

Lantas, anak syaitan itu memberi sedikit minyak untuk disapu di kening. Menurut anak syaitan itu lagi, minyak itu membolehkan pandangan terhadap benda-benda hijab dibuka. Ayah syaitan tersebut dapat dikenalpasti kerana dia menggantung tengkorak kecil di leher manakala ibu mereka memakai tulang ayam bersilang di rambutnya. Anak syaitan tersebut berpesan meminta ibu bapa mereka pulang dengan segera kerana rumah mereka runtuh dan mereka di dalam kesejukan.

Cerita Tok Dahaman lagi, ketika sampai di rumah kenduri, dia dan isterinya pun memakai minyak tersebut. Tok Dahaman kemudian menyuruh isterinya mencari syaitan betina di atas rumah sedang dia sendiri mencari syaitan jantan di tempat orang lelaki..

Sebaik sahaja minyak tersebut di sapu di kening, mereka lihat begitu banyak syaitan bercampur gaul dengan org ramai. Ada sebahagiannya sibuk ditempat memasak, mengganggu di kawah gulai dgn memasukkan berbagai jenis najis ke dalam segala masakan (kerana orang yang memasak tidak membaca Bismillah), syaitan-syaitan tersebut ada yang meludah, membuang air kecil dan besar ke dalam piring dan mangkuk. Ada juga yang muntah ke dalam makanan, ada yang bergayut di bahu, duduk di kepala dan riba manusia.

Tok Dahaman dan isterinya yang memandang suasana itu menjadi tidak tergamak untuk makan. Orang ramai pada hari itu menjadi hairan melihat kelakuan Tok Dahaman pada hari itu. Menurut Tok Dahaman dia amat sukar untuk berjalan kerana terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan syaitan kerana syaitan lebih sibuk mengalahkan manusia di rumah kenduri.

Setelah sibuk mencari, akhirnya jumpalah dia dengan bapa syaitan tersebut. Ketika itu, syaitan tersebut sedang makan dengan gelojohnya. Tok Dahaman pun bertempik kepada syaitan tersebut serta memberitahu kepada syaitan tersebut bahawa rumahnya telah runtuh. Syaitan tersebut sangat terperanjat dan bertanya bagaimana Tok Dahaman boleh melihat syaitan.

Apabila mendengar penjelasan Tok Dahaman, syaitan tersebut pun berlari pulang sambil memijak kepala orang ramai. Bagi pihak perempuan pula, keadaan lebih kecoh. Menurut isteri Tok Dahaman, ramai sungguh syaitan betina yang sama-sama makan kenduri dengan orang perempuan bahkan di bahagian perempuan keadaan lebih teruk lagi kerana syaitan betina ada yang membawa anak mereka.

Kerenah anak-anak syaitan ini memang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa mereka. Mereka melompat dari satu talam ke satu talam sambil mencapai makanan dari pinggan atau tangan orang. Ada yang membuang air kecil sambil bergayut di jendela rumah.

Akhirnya ibu syaitan tersebut ditemui oleh isteri Tok Dahaman di bilik pengantin sedang bersolek bersama-sama pengantin perempuan. Isteri Tok Dahaman mengenalinya berdasarkan tulang ayam yang bersilang dirambut yang kotor dan berbau busuk itu. Rupa syaitan betina tersebut sgt menggerunkan.

Keadaan mejadi kecoh kerana orang ramai melihat isteri Tok Dahaman bercakap dengan cermin tempat bersolek. Untuk sehari itu, letihlah mulut mereka menjelaskan kepada orang ramai tentang sebab keanehan sikap mereka pada hari itu, terpulanglah orang mahu percaya atau tidak. Begitulah halnya, keadaan syaitan yang sungguh menjijikkan jika kita tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan.

Sebelum makan, sebut lah nama Allah, atau sekurang-kurangnya bacalah BISMILLAH.

Wallahu a ’ lam

MORAL OF THE STORY; APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU MULAKAN DENGAN UCAPAN BISMILLAH.

Wednesday, November 4, 2009

Ada yang tiada

Lama juga tak update blog ni. Memang sibuk memanjang sehinggakan jarang sekali menjenguk tempat melepaskan rasa yang bersarang di dada.

Esok hari terahir si abang menjalani peperiksaan akhir tahun. Budak lelaki seorang ni, kalau tak dihadap sepanjang masa dia belajar, memang tak akan adalah dia nak belajar. Saya kira, anak lelaki memang begitu agaknya. Adik saya yang mempunyai anak perempuan berkata, kebanyakan anak perempuan ni tak perlu di suruh banyak-banyak...semuanya pandai mengambil buku membuat latihan sendiri.

Kali ini saya memberikan lebih tumpuan walaupun dia nak lari-lari juga. Dan akhirnya semua latihan yang diberikan siap juga.

Suami tiada di rumah kerana telah mula mengikuti satu seminar antarabangsa. Sekarang musim hujan, saya nak keluar rumah pun rasa bimbang juga. Dengar cerita, keadaan hujan dan ribut petir ni akan berterusan beberapa minggu lagi. Semoga setiap daripada kita berhati-hati jika memandu dalam hujan lebat kan?

Wednesday, October 21, 2009

Dah besar anakku..

Beberapa hari ini saya dan anak-anak hanya tinggal sendirian di rumah. Suami pula sibuk dengan penggambaran mengalahkan bintang filem pula. Sebenarnya beliau sibuk dengan projek dengan BTP yang perlu diselesaikan. Si abang sudah bising kerana tidak nampak batang hidung papanya sejak pagi. Si Kecil mungkin begitu, tapi sebab tak pandai berkata-kata, bila terdengar bunyi kereta di hadapan rumah, berlari ke muka pintu.

Saya dan adik saya sedang mengatur program untuk temujanji si abang yang dijangka akan berkhatan pada cuti sekolah nanti. Adik saya sudahpun mengaturkan temujanji, dan membuat pembayaran kerana heronya yang seramai 3 orang itupun akan turut serta nanti.

Dah besar anak saya...
Tak sabar pula rasanya nak tunggu majlis tersebut.
Kalau teman-teman yang ada pengalaman, bolehlah berkongsi dengan saya tentang pesediaan untuk acara itu nanti ataupun petua penjagaan anak yang berkhatan. hihihi

Monday, October 19, 2009

Weblog Popular 1Malaysia

Saya ingin turut serta dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh denaihati. Entri ini saya cut dan paste dengan sedikit ubahsuai daripada blog Mawar Merah sebab tuan punya blog memang ada tulis yang boleh cut and paste saja...

weblogmalaysia

Entri ini bertujuan untuk mencalonkan sebuah blog untuk peraduan Weblog Popular 1Malaysia.

Untuk membolehkan seseorang itu memenangi peraduan ini dengan hadiah bernilai RM 1000, sesebuah blog itu perlu mendapat pencalonan terbanyak dari teman-teman blogger. Semua blogger di Malaysia layak untuk menyertai peraduan ini. Apa yang diperlukan hanyalah buat satu posting di weblog ANDA dengan memilih satu blog yang paling ANDA sukai dan tuliskan apa bestnya weblog tersebut .

Saya tahu tentang contest Weblog Popular 1Malaysia dari blog MAWAR MERAH dan blog yang paling saya sukai ialah blog yang sama iaitu blog HIDUP BIAR SEDAP, yang dimiliki oleh Kujie.

Contest Webblog Popular 1Malaysia ini dianjurkan oleh DenaiHati pemilik blog Yang Terbuku Di Hati. Hadiahnya memang lumayan. Peraduan ini akan tamat pada jam 12.00 am pada 31/10/2009

Hadiah-hadiah tersebut ditaja oleh sponsor yang HEBAT iaitu : SAUDACARE dan ANISHA ONLINE MALL dan yang terbaru ONE MALAYSIA BLOGSHOPS.


Saya suka blog HIDUP BIAR SEDAP, yang dimiliki oleh Kujie ini kerana sebab-sebab berikut:

Antaranya:-

1. Tak begitu banyak blog yang saya baca. Dalam banyak-banyak blog yang saya baca, saya fikir blog inilah yang paling banyak pengikutnya.

2. Perkara yang membuatkan saya tertarik dengan blog ini ialah tajuk blognya iaitu Hidup Biar Sedap.

3. Tajuk-tajuk entri yang menarik menjadi daya tarikan untuk terus mengunjung blog ini.

4. Saya juga sukakan isi kandungan blog ini sebab macam-macam ada (sesuai untuk semua lapisan usia).

5. Informasi dan bahasa yang terdapat pada blog ini memang menarik.

6. Blog ini juga sentiasa mempunyai entri baru.


Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang peraduan ini, kerana, bukan hadiah untuk blog popular sahaja yang ada, malahan hadiah untuk blog yang menjadi rujukan dan hadiah untuk ranking 1- 8 di google.com.my dengan keywords “Weblog Popular 1Malaysia” pada jam 12.00 am 1/11/2009, maka silalah berkunjung ke blog penganjurnya iaitu Denaihati di blog beliau iaitu linknya [ sini ] .




p/s :- Terima kasih Mawar Merah kerana saya awal-awal dah izinkan cut and paste saja tapi saya lakukan juga sedikit ubahsuai sahaja.

Saturday, October 17, 2009

Cerita biasa

Pada hari Deepavali ini, saya cuma duduk di rumah. Lama tak update blog. Ada juga sesekali datang tapi cuma sempat jenguk dan berkunjung membaca blog teman2 tapi selalunya tak sempat tinggalkan komen. Tugasan sentiasa bertimbun dan tidak pernah berakhir. Tambah pula menguruskan rumahtangga dan anak-anak menjadi agenda penting. Tidak lama lagi si abang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Tidak lama lagi penerbangan pertama jemaah haji akan berangkat ke tanah suci. Pada masa ini, memang banyak jemputan untuk ke majlis kenduri saudara mara dan rakan-rakan yang akan menunaikan haji. Hmmm....mengingatkan kenangan menunaikan umrah di sana pun memang menarik. Memang terasa ingin lagi mengunjungi rumah-Nya itu. Doa semoga Allah segera memakbulkan impian untuk ke sana lagi dalam jangka waktu terdekat.

Selain itu, marilah kita sama-sama doakan semoga Allah memberikan pelindungan dan kemudahan pada semua jemaah yang berpeluang menjadi tetamu Allah pada tahun ini.