Friday, May 15, 2009

Kau cahaya di hatiku

16 Mei ialah Hari Guru. Saya tiba-tiba rasa nak tulis tentang Hari Guru sebab saya diberitahu yang mantan guru saya telah dimasukkan ke hospital. Sempena Hari Guru, saya dan beberapa orang rakan telah merancang untuk melawat beliau.

Guru ini ialah guru darjah saya sewaku saya mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Beliau agak garang orangnya dan sebagai anak kecil, kami semua memang takut walaupun hanya mendengar suaranya. Tetapi dialah antara guru yang paling saya ingat kerana dia guru pertama saya.
Saya masih terbayang-bayang gayanya yang bertocang dua walaupun semasa saya bertemunya pada waktu saya masih menuntut di universiti, beliau telahpun bertudung. Beliau memang sangat garang dan tegas. Namun saya tahu, para pelajarnya tidak pernah ambil hati dengan cara beliau itu. Bukan hanya beliau, malahan hampir semua guru saya memang tegas-tegas belaka. Tapi, saya masih ingat pesanan ibu bahawa jika guru marah, tandanya dia menyayangi kita. Jika tidak, pasti dia biarkan sahaja kita. Justeru, saya tahu, guru-guru saya memang sayangkan semua anak murid mereka. Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang tegas dan mahu memberikan tunjukajar jika saya tersilap langkah. Jika bukan dengan ketegasan itu, mungkin kami tidak akan menjadi 'orang'. Setiap kali bertemu dengan teman-teman lama, nama beliau memang sering bermain di bibir kami. Kata orang, hati terkenang mulut menyebut.
Saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru (termasuk pensyarah) yang pernah menitiskan ilmu buat saya. Saya tahu, saya tidak mungkin dapat membalas semua jasa guru-guru saya ini namun doa saya, semoga mereka semua dilindungiNya. Terima kasih Cikgu! Kau tetap bercahaya di hatiku buat selamanya....

1 comment:

  1. Cikgu kelas kja masa kja Std 1 namanya Mrs Cheah.. Tentu dah tua skg.. Agaknya dah mid 60's..

    ReplyDelete