Sedutan lagu Allahyarham P.Ramlee ini didendangkan oleh seorang pembicara yang memperkatakan tentang tips membina keluarga bahagia. Tertarik saya dengan satu daripada topik yang dibincangkan iaitu cara mengatasi kemarahan atau rasa tidak puas hati pasangan kita sama ada bagi yang sudah berkahwin ataupun sedang bercinta.
Saya tahu, kita semua pasti mengakui bahawa setiap pasangan mesti pernah mengalami pertengkaran atau perselisihan faham. Tak tahulah pulak kalau memang ada yang tak pernah langsung mengalami sebarang perselisihan? Mungkin kebanyakan kita tidak pernah mengalami perselisihan faham atau pertengkaran yang terlalu serius sehingga boleh menjadi bencana dalam perhubungan. Namun, walau sekecil manapun api sesuatu pertengkaran atau perselisihan itu, ia mesti cuba diatasi, kerana jika tidak ia mungkin boleh menjadi api yang marak dan memusnahkan sesuatu perhubungan sama ada ikatan perkahwinan ataupun percintaan. Bagaimanakah cara nak atasinya?
Saya cuba catatkan beberapa perkara yang telah diperkatakan semoga dapat dikongsi bersama.
1. Buat apa yang dia suka
Kalau pasangan kita sedang marah, pastilah ada sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya. Jadi, cubalah fikirkan apa yang disukainya dan buatlah perkara tersebut tanpa disuruh.
2. Biarkan dia sendirian
Mungkin pasangan kita bukan merupakan seorang yang mudah dipujuk. Jadi, biarkan dia bersendirian buat seketika.
3. Tinggalkan pesanan secara bertulis
Seseorang yang sedang marah mungkin boleh mengeluarkan kata-kata yang akan melukakan hati. Oleh itu, untuk mengelakkan daripada terus bertengkar, tinggalkan pesanan secara bertulis sama ada unuk meminta maaf atau memberitahu tentang perasaan kita kepadanya.
4. Bantuan orang yang paling hampir atau disayanginya
Kita mungkin boleh meminta bantuan orang lain yang paling rapat atau yang paling disayanginya. Orang tersebut mungkin boleh menjadi orang tengah kepada masalah yang dihadapi.
5. Sediakan keperluan
Pastikan segala keperluannya disediakan seperti biasa. Hal ini boleh menyebabkan pasangan terharu atau hatinya akan menjadi lembut dan melupakan persengketaan yang dihadapi.
6. Cuba berbicara selepas satu atau dua jam
Kebiasaannya, semakin lama, darjah kemarahan akan semakin berkurangan. Cuba menangguhkan perbicaraan sewaktu masing-masing sedang marah, sebaliknya tunggu selepas beberapa ketika dan cuba berbincang semula.
Lain orang lain ragam. Kadang-kala apa yang baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita. Jadi pandai-pandailah menyesuaikan keadaan dengan setiap tindakan kita. Moga setiap hubungan yang terjalin akan berpanjangan dan berkekalan.