Thursday, September 15, 2016

Kenangan di Mina

Hari ini, hari ke-4 Hari Raya Aidil Adha. Alhamdulillah, terima berita daripada adinda saya dan suaminya yang telah selesai mengerjakan rukun haji mereka. Pasti pada saat saya menulis ini, mereka telah berada kembali di kota Mekah.
 
Teringat kenangan manis waktu berada di Mina ketika menjadi tetamu Allah tidak lama dahulu. Memang ketika berada di Mina, agak mencabar namun, alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Daripada khabar yang diterima daripada adinda saya, syukur mereka berdua juga dipermudahkan dalam menyelesaikan ibadah haji sewaktu di Arafah dan Mina.

Pada tahun lepas, seorang adik perempuan saya yang bongsu berpeluang menjadi tetamu Allah. Ketika peristiwa rempuhan berlaku di Mina, memang agak cemas kami sekeluarga menanti khabar. Syukurlah pada zaman teknologi maklumat ini, mudah untuk mendapatkan khabar dan mereka di sana juga segera menyampaikan khabar bahawa mereka selamat. 
 
Saya bersyukur kerana urusan kami dulu juga dipermudahkan. Paling manis, apabila berada dalam kelompok yang sangat baik dan bertimbang rasa. Saya juga berpeluang ke sana bersama-sama suami, adik dan adik ipar saya. Makan maggi pada pagi raya juga memang sesuatu yang pasti menjadi kenangan yang tidak dilupakan. Berpeluang ke sana ketika masih bertenaga memang satu daripada rezeki yang Allah anugerahkan. Semoga dianugerahkan lagi peluang untuk menjadi tetamuNya saban tahun. 




Monday, August 22, 2016

Pembantu rumahku lelaki muda

Pembantu rumah saya? Saya dah temui pembantu rumah seorang lelaki. Muda pula tu. Betul ke ni? Sebenarnya. saya masih berbincang dengan agen pembantu rumah untuk mencari seorang pembantu rumah yang sesuai setelah pembantu rumah yang lama pulang ke kampungnya hujung tahun lepas. Bagi saya, sukar juga hendak mencari pembantu rumah setelah pembantu yang lama berkhidmat pulang ke kampungnya. Belum pernah dalam sejarah berbelas tahun saya menggunakan khidmat pembantu rumah, pembantu rumah saya melarikan diri semasa bekerja dengan saya, tetapi awal tahun lepas, pembantu rumah yang baru dua bulan bekerja tiba-tiba melarikan diri ketika kami sekeluarga ke rumah kawan saya yang mengadakan kenduri sempena pernikahan anaknya. Sebulan kemudian, pengganti yang dihantar oleh agen pembantu rumah pula mohon berhenti kerana katanya sebelum dia dihantar ke rumah saya lagi dia sudah memberitahu agennya itu bahawa dia tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah kerana telah biasa kerja di restoran. Semenjak itu, rasa serik pula hendak mencari pembantu rumah. Baru dua kali terkena dah serik, kan!  Padahal ada orang yang lebih buruk lagi pengalamannya dengan pembantu rumah. 

Semalam hari cuti. Alhamdulillah, bahagia rasanya dapat menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. Awal pagi, saya menyediakan macaroni cheese untuk anak-anak dan mee goreng untuk suami.

Seperti biasa, semenjak hampir setahun tiada khidmat pembantu rumah, hari Sabtu dan minggu memang tak menang tangan dibuatnya. namun syukur alhamdulillah, anak bujangku memang ringan tangan membantu. Kerja-kerja mop lantai dan vakum lantai, mencuci pakaian dan memasukkan baju dalam mesin pengering, biasanya saya serahkan pada dia. Bersyukur sungguh saya, biarpun tiada anak perempuan, saya mempunyai anak bujang yang bertimbang-rasa untuk membantu, sekurang-kurangnya masa saya dapat dijimatkan untuk tugas yang lain. Inilah pembantu rumah saya sekarang,  hehehe...

Selepas zuhur, kami sekeluarga keluar ke Aeon. Sudah lama betul tidak keluar bersama-sama. Biasanya, saya shopping online sahaja. Namun, apabila ada peluang dan suami pula tiada program lain hujung minggu ini, saya sarankan kami keluar makan di luar. Suami memang kurang gemar makan di luar, tetapi kali ini beliau setuju sahaja. Mungkin kasihankan saya yang asyik sibuk dengan kerja di rumah dan di tempat kerja, kot..... ahaks. Tambahan pula, kami juga keluar untuk mencari pembakar roti sandwich kerana anak bujang sedang bersemangat untuk membuat roti sandwich cheese dan roti sandwich oreo seperti yang dibelinya beberapa hari lepas. Mula-mula, bongkar stor, cari pembakar roti yang lama tetapi rupa-rupanya, pembakar roti sandwich yang lama telah patah penyangkutnya. Jadi, kenalah beli yang baru supaya semangat ingin mencubanya tidak pudar. Bagus tak alasan tu? 

Pulang dari Aeon, suami terus ajak kami pulang menjengok ibunya. Pada awalnya, nak pergi sebelah tengah hari tetapi ibu mertua saya ada program. Menghadiri kursus, katanya. Bila sampai di sana, adik ipar dan biras saya dah siap memetik rambutan dan manggis. Alhamdulillah, rezeki sungguh.



Thursday, August 18, 2016

Kembali Bertemu

Mencari Pokemon atau Pokemon Go bukanlah sebab saya lama menyepi daripada dunia maya yang amat saya senangi ini. 


Salam mesra. Lebih 3 tahun saya menyepi daripada dunia blogging. Syukur alhamdulillah, blog ini masih ujud, masih ada pengunjungnya. Setelah sekian lama menyepi, memang sukar hendak membersihkan sesawang yang terlekat di sini. Namun begitu, minat yang dipamerkan oleh anak yang meningkat remaja terhadap dunia blogging membuka kembali pintu hati untuk terus berkongsi cerita dan pengalaman di sini.


Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan, tetapi akhirnya terdiam sendiri apabila tidak tahu hendak bermula di mana. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit, saya akan terus mewarnai semula blog yang semakin pudar warna ini.

Sampai jumpa lagi. 

Sunday, January 6, 2013

Perasaan Wanita Istimewa

Salam mesra. Hari ini saya berpeluang blogwalking ke berapa blog yang follow blog ini. Antaranya blog Zuriat Impian . Saya tersentuh membaca luahan hati penulis blog ini. Saya faham, setiap pasangan berumahtangga impikan zuriat sendiri.

Saya sungguh memahami perasaan mereka yang senasib dengan saya suatu ketika dahulu  sebagaimana yang pernah saya ceritakan dalam entri ini. Saya berharap mereka terus menjadi wanita yang tabah dan tidak mengenal putus asa. Hidup ini memang satu perjuangan. Dalam dunia perubatan yang semakin berkembang, banyak kemudahan dan peluang yang terbuka luas buat golongan seperti kita. Juga, teruskan berdoa dan mengharap kepada Allah yang maha berkuasa kerana tiada siapa yang boleh menandingi kehebatanNya.
 
Membaca luahan perasaan insan wanita yang istimewa ini, saya berazam untuk terus berkongsi pendapat, pengalaman, pengetahuan yang sedikit itu agar mereka yang senasib dengan saya ini turut dianugerahi permata dalam kehidupan mereka. Mungkin selama ini saya lalai dengan anugerah yang dikurniakan olehNya. Saya berharap akan terus diberikan kekuatan dan kesempatan masa untuk berkongsi, sekurang-kurangnya berkongsi perasaan dengan semua wanita istimewa yang ada di sekeliling saya, walaupun tanpa bersua wajah.

Wednesday, January 2, 2013

Jadual Persekolahan 2013 untuk Anak-anak

Salam mesra. Perkongsian Jadual Persekolahan bagi Tahun 2013.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan bagi sekolah-sekolah di seluruh Malaysia kecuali Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pastinya terdapat pelbagai pengalaman yang mencuit hati terutama bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak-anak ke sekolah.

Sebagai rujukan untuk merancang hari persekolahan dan cuti, jom kita lihat Jadual Hari Persekolahan termasuk cuti am bagi Penggal Persekolahan 2012 di sini. (sumber :- kabinet.gov.my)