Monday, August 31, 2009

Selamat Hari Kebangsaan


Pada hari ini kita menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke-52. Tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ialah SATU MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN.


Pada tahun ini, upacara di Ambang Merdeka seperti yang diamalkan pada tengah malam 30 Ogos yang telah diamalkan bertahun-tahun lamanya tidak diadakan sebagai menghormati bulan Ramadan. Pada pendapat saya, sambutan di Ambang Merdeka tu memang baik jika betul cara sambutannya. Tapi bila sambutan di Ambang Merdeka lebih membesar-besarkan konsert, acara bersuka-ria dan menyanyi-nyanyi dan kadangkala mengundang maksiat, pasti sahaja sambutan itu tidak tepat dengan apa yang kita raikan. Kalaupun nanti Hari Kebangsaan tidak lagi hadir pada bulan Ramadan, apa salahnya kita meraikannya dengan cara yang lebih berhemah dan bermakna. Semoga kita akan terus merdeka dengan erti kemerdekaan yang sebenar.

Sunday, August 30, 2009

Peraduan Beautiful Baby Search


Masa sedang jalan-jalan melawat bebarapa blog, saya terjumpa blog Gugu Gaga Mea Zara ni. Ada satu peraduan mencari baby yang comel..
Saya tak pernah menyertai apa-apa peraduanpun, dan saya baca tarikh tutupnya pada 31 Ogos 2009. Maknanya 1 hari lagi. Saya sengaja ceritakan tentang peraduan ini, manalah tahu, kalau ada yang berhajat nak sertai. Saya ntahlah...belum tahu lagi.

Hadiah-hadiahnya adalah seperti berikut:-

1st Prize: 1 printed tshirt(ur bb pic on it) +1 magnetic + 1 keychain + 1Mag baby poster
2nd Prize: 1 Magnetic+ 1 Mag baby Poster+1 keychain
3rd Prize:1 keychain & Mag baby Poster
Mystery gift for number: 9 & 19

Nak tahu apa syarat-syaratnya?

1. Anda kena jd follower Mommy_Zara
2. Anda perlu letakkan banner di atas pada sidebar blog anda.
3. Buat special entry utk contest ini dan sertakan sekali satu picture baby anda yang comel! dan satu gambar baby bersama mommy atau daddy! Kedua2 gambar akan diambil markah..
4. Nyatakan nama baby dan umur baby.

Menurut penganjur gambar baby yang comel dengan aksi bersahaja tetapi masih mengekalkan kecomelannya mungkin menjadi pilihan juri.
5 sila nyatakan bila gambar diambil.
6. Link kan blog Mommy_Zara . sila tinggalkan komen bila dah siapkan entri.
dan umur bayi mestilah tidak lebih daripada 3 tahun.

Jadi, macam mana? Ada yang nak sertai....
Untuk keterangan lanjut, silalah ke blog Mommy_Zara (link....)

Seronok tengok gambar baby yang comel-comel tu...

Saturday, August 29, 2009

Ke mana kita?

Balik daripada rumah adik yang dipanggil Mak Lang, (saya dan adik bongsu saya sekeluarga yang berbuka puasa dan bermalam di rumahnya), tiba-tiba buat rancangan nak shopping di PKNS. Mulanya bimbang juga nak bawa si kecil ni, jadi saya tinggalkan dia dengan pembantu di dalam kereta. Abangnya okaylah, boleh pakai topeng mulut dan hidung. Seronok saja dengan sepupu-sepupunya yang lebih kurang sebaya dengannya.

Walaupun jumlah korban H1N1 sudah agak stabil, tetapi saya takut untuk mendedahkan anak2 kepada bahaya virus itu. Tapi, saya lihat orang lain biasa saja. Cuma kami dan satu keluarga lain saja yang saya jumpa pakai topeng tu. Jurujualpun tak pakai topeng mulut dan hidung tu, takut pelanggal lari....

Masa saya sampai, alhamdulillah..orang belum begitu ramai. Saya sempat mencarikan baju Melayu untuk si kecil dan abangnya sahaja. Suami seperti biasa, tak akan beli kat tempat lain kecuali ke kedai favoruite dia di Jalan Masjid India tu. Adik saya bukan main banyak lagi memborong tapi saya minta diri dulu. Bimbang tinggalkan si kecil lama-lama dalam kereta.

Saya tak beli apa-apa pun lagi. Bimbang nak bawa si kecil yang tentu sahaja tak nak pakai topeng mulut dan hidung.

Thursday, August 27, 2009

Anda penghidap Polyscystic Ovaries?


Saya ingin berkongsi tentang Polycystic Ovaries (PCO) dan simptom-simptonnya yang saya dapati daripada Komuniti Hamid Arshat Dot Com. Saya berpendapat, perlu berkongsi maklumat ini supaya sesiapa yang mengalami masalah ini menyedari bahawa merawatnya dengan segera kerana sindrom ini boleh menyebabkan seseorang itu sukar untuk mendapatkan anak (mengandung).


Polcystic Ovaries atau PCO adalah sejenis sindrom yang menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengandung. Sindrom ini boleh menyebabkan mereka sukar untuk menghasilkan telur yang elok yang dapat dilepaskan ke dalam salur fallopian, seterusnya ke rahim.

Ia membesar tetapi ia tidak matang(masak). Ini bermaksud ia tidak membesar ke saiz 20mm. Kemudian ia tidak dilepaskan oleh kilang ovari masuk ke dalam fallopian tiub iaitu tangan rahim. Seterusnya ia kecut dan karung itu kemudian bengkak dipenuhi air dan menjadi cyst. Sindrom PCO ini dikatakan bermula dengan paras hormon yang tidak seimbang di dalam badan. Ia juga selalu terjadi apabila seseorang meningkat berat badan. Terdapat juga sebilangan kecil wanita kurus mengidap PCO.

Bagaimana Hendak Mengenali Anda Penghidap Simptom PCO

1. Kelewatan datang haid
2. Haid yang jarang datang
3. Darah haid yang keluar sedikit dan berwarna kecoklatan
4. Adakalanya darah haid keluar banyak sehingga berketul-ketul dan menyebabkan cramping.
5. Kadang-kadang ada rasa sakit senggugut
6. Badan yang gemuk
7. Badan ditumbuhi bulu seperti lelaki, di kaki, misai dan buah dada
5. Rambut tipis di kepala

Jika anda mengesaki anda ada penghidap PCO ini, cubalah makan supliment Saw Palmetto Extract yang boleh didapati di farmasi. Supliment ini biasanya digunakan untuk merawat perkencingan lelaki. Tetapi jika digunakan untuk wanita, ia boleh digunakan untuk merawat masalah hormon lelaki di dalam badan.


Rujukan :- http://www.hamidarshat.com/

Saturday, August 22, 2009

Menyambut Ramadhan

Hari ini hujan semenjak pagi. Selepas subuh tadi, masih ada matahari yang menjengukkan wajahnya. Hampir tengah hari baru hujan turun.Baju yang dibasuh pagi tadi tak sempat kering lagi. Kenalah sidai dalam rumah.

Hari ini saya memasakkan si Kecil tu ikan salamon dengan tomato. Dari pagi tadi sibuk sangat bermain. Masa makan pun tak reti nak duduk diam. Letih mengikutnya ke sana ke mari. Si abang pun sama, ada kawan baiknya di sini, lepas aje kelas Bahasa Inggerisnya, dia pun lekalah dengan Play stationnya. Saya beri dia peluang bermain pada hari ini, maklumlah hari pertama di bulan Ramadhan. Saya harap dia akan berpuasa penuh seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya masih ingat semasa mula-mula di sekolah tadika, puas saya paksa dia tak mahu berpuasa. Punyalah risau, tetapi bila berada di Tahun 1, terus sahaja dia berpuasa penuh walaupun pada hari pertama saya terpaksa mengikut rentaknya membeli enam jenis air semata-mata untuk memujuknya yang merengek untuk berbuka sejak pukul 5 petang. Alhamdulillah, sejak hari itu, saya tiada masalah untuk memintanya berpuasa.

Hari ini saya akan pulang ke rumah bapa saya. Insya Allah, seorang adik saya dan anak-anaknya juga akan balik bersama. Jadi, sebelum itu, saya nak memasak dahulu untuk dibawa pulang.

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Tuesday, August 18, 2009

Fertility Foundation

Saya percaya ramai yang pernah mendengar tentang Yayasan TAAF. Ada yang bertanya kepada saya tentang yayasan ini. Saya memang pernah menjalani rawatan IVF beberapa tahun yang lalu. Tetapi saya menjalaninya atas tanggungan sendiri. Justeru, saya tidak boleh bercerita panjang tentang yayasan ini.

Saya menjalani program IVF setelah pelbagai usaha saya sebelum ini menemui kegagalan. Pada mulanya saya berusaha menjalani rawatan kesuburan di klinik swasta yang mempunyai pakar gynae dan juga berubat secara tradisional. Mungkin juga kesilapan saya yang utama ialah kami suami isteri tidak menjalani rawatan secara serius dari awal lagi. Tambahan pula saya hanya mula menjalani rawatan kesuburan lima tahun selepas berkahwin. Pada masa itu pun saya menjalaninya di hospital swasta. Setelah sekian lama, iaitu selepas sepuluh tahun, barulah saya sedar yang saya tidak boleh menanti dan melihat sahaja. Usaha yang maksimum amat perlu sebelum saya berserah kepada Qada dan QadarNya.

Saya juga ada mendapat maklumat yang saya boleh mendapatkan perkhimatan doktor kerajaan di LPPKN. Pastinya saya juga ingin mendapatkan perkhidmatan yang lebih murah tetapi disebabkan terdapat beberapa syarat dan perlu menunggu agak lama, tambahan pula usia yang semakin lanjut, serta setelah mendapatkan pandangan daripada pakar sakit puan yang telah merawat saya agak lama, akhirnya saya dan suami mengambil keputusan untuk menjalani program IVF dengan belanja sendiri di sebuah hospital swasta. Sebelum memulakan rawatan itu pun, saya diberikan kaunseling bahawa proses ini tidak semestinya berjaya seratus-peratus walaupun harapan untuk berjaya memang agak tinggi dibandingkan dengan rawatan yang lain.


Apabila proses itu gagal, walaupun berasa sedikit sedih, namun saya tidaklah sampai berputus asa kerana yang penting bagi saya ialah usaha. Dan, saya telah berusaha dengan seluruh kemampuan saya. Justeru, kalaupun saya gagal ketika itu, saya tahu bahawa sekurang-kurangnya saya tidak menyerah begitu sahaja.


Selepas kegagalan itu, saya pernah juga membaca tentang Yayasan TAAF ini. Ada juga terlintas di hati saya untuk memohonnya. Melihat syarat-syaratnya, saya memang layak kecuali pendapatan pemohon pada masa itu mestilah kurang daripada RM4000 kalau saya tidak silap. Jadi, saya mengambil keputusan untuk tidak memohonnya. Lagipun pada ketika itu, saya telah ada sponsor (hehehe...ahli keluarga saya yang baik hati itu!). Tambahan pula, saya memang masih trauma dengan pelbagai proses yang harus saya lalui kembali jika saya perlu mengulangi proses IVF ini. Dan rupanya, Allah memang mahu memberikan saya rezeki dan rahmat tanpa perlu bersusah-payah mengeluarkan wang dan mengulangi segala proses yang agak rumit itu lagi kerana saya mengandung secara semula jadi tanpa perlu mengulangi proses IVF sedangkan sebelum ini, telah lama saya berusaha tetapi tidak berjaya.


Saya faham bahawa bukan semua orang diberikan ujian seperti saya. Juga saya yakin bahawa bukan semua orang bertuah seperti saya dikurniakan rezeki ketika saya pada masa itu berfikir bahawa memang saya ditentukan untuk begitu. Saya sangat gembira membaca cerita pasangan yang dikurniai anak setelah bertahun-tahun menanti. Saya faham perasaan itu kerana saya tidak tahu macam mana hendak gambarkan perasaan ketika melihat wajah zuriat saya sendiri selepas berbelas tahun menanti. Serasa tidak percaya. Saya sangat kagum dengan usaha YM Tunku Azizah yang bermurah hati menaungi yayasan ini yang telah banyak memberikan cahaya kepada pasangan yang menghadapi masalah untuk memperoleh zuriat. Saya berdoa lebih ramai pasangan yang akan berjaya setelah usaha lain menemui jalan buntu. Sesungguhnya kita memang perlu berusaha, selebihnya serahkan kepadaNya.

Ramai orang bertanya dengan TAFF. Walaupun saya tidak pernah mendapatkan bantuan daripada yayasan ini tetapi, saya tahu tentangnya. Saya cuba mencari maklumat tersebut.

Justeru, saya harap alamat dan nombor telefon yang saya paparkan di bawah dapat membantu. Semoga tidak ada sebarang masalah.

Segala pertanyaan tentang TAFF, sila hubungi alamat atau no telefon di bawah…
Yayasan Fertiliti Tunku Azizah(Tunku Azizah Fertility Foundation)
Istana Abdul Aziz
Bandar Indera Mahkota
25200 Kuantan,Pahang Darul Makmur.
Tel: 09-7533241Email: taff2004@streamyx.com

Saturday, August 15, 2009

Mari mencuci


Sudah lama saya tidak membaca dan membalas email. Lagipun, sekarang jarang berurusan melalui email. Dengan sms lebih mudah dan cepat. Namun ada juga urusan yang tidak boleh dilakukan melalui sms. Tadi saya pun mengambil masa yag lama untuk membaca dan mengemaskinikan kota email saya. Justeru, saya sekadar mahu berkongsi email yang dihantar kepada saya iaitu Motivasi Datuk Dr Haji Fadilah Kamsah.

Petua Mencuci Hati oleh Datuk Dr Haji Fadzilah Kamsah

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.


1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma' afan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah "Aku sebenarnya... ....(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian saikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya

8. Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa, terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan..

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan - jangan makan makanan yang subhat..

14. Berkawan dengan ulama.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi) .

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut....dsb) , jangan dengar orang mengumpat..

"sampaikanlah pesanan yang baik walaupun 1 ayat….. "


Wednesday, August 12, 2009

Bila penyakit menyerang

Sejak belakangan ni, keadaan sekeliling suram aja dengan jerebu dan berita-berita yang tidak begitu menyenangkan tentang virus yang makin lama makin banyak menagih mangsanya.

Saya dah beli banyak mask untuk diri sendiri dan keluarga. Saya paksa si abang pakai mask tu untuk ke sekolah. Nasib baiklah dia tak kisah walaupun katanya tak ramaipun cikgu atau pelajar-pelajar lain yang pakai. Tak kisahlah, saya cuma mahu mencegah dan usaha apa yang boleh saya buat.


Dah agak lama juga penyakit malas menulis menyerang. Tak nak bagi alasan sibuk sebab tiap-tiap hari memang sibuk, tapi kalau masa rajin tu, banyak aja yang nak ditulis. Minggu lepas birthday ibu mertua saya. Kami sekeluarga balik ke rumah beliau dengan membawa hidangan serta kek.

Sepatutnya kami bercuti di Genting tapi disebabkan wabak yang makin serius, terpaksalah dibatalkan sahaja. Insya Allah, lain kali bila semuanya dah okay, bolehlah bercuti.

Setiap kali saya baca berita atau menonton TV, saya sering tertanya-tanya, bagaimana agaknya nak memastikan penularan virus H1N1 ini dapat diberhentikan segera. Hanya Allah yang tahu tapi sebagai anggota masyarakat, mungkin kita boleh sama-sama menjalankan tanggungjawab mengelakkan virus ini terus tersebar....


Wednesday, August 5, 2009

Wabak

Nampaknya setiap hari ada sahaja pertambahan kes H1N1 di negara kita. Sekarang ini, saya tidak berani membawa anak keluar. Kita pun tidak digalakkan berada di tempat awam. Hari Minggu yang lepas, saya menghadiri kenduri. Tapi saya terpaksa tinggalkan anak di rumah. Saya diberitahu yang kita boleh mengambil vaksin tersebut di klinik2. Saya bercadang untuk bertanyakan klinik berhampiran hari ini. Penularannya memang membimbangkan.

Semoga apa yang melanda kita akan segera berakhir.

Saturday, August 1, 2009

Sebuah rahsia yang terpendam

Bukan mudah untuk memulakan bicara kerana rahsia ini telah terlalu lama saya pendam. Saya tidak pasti sama ada tepatkah langkah saya menyembunyikannya atau bilakah masa yang sesuai untuk saya mendedahkan sebuah rahsia yang terpendam.


Cerita ini bermula kira-kira sembilan tahun yang lalu. Saya pasti teman-teman yang berkunjung ke blog ini telah membaca tentang sejarah hidup saya yang lewat dikurniakan zuriat. Pada waktu itu, usia perkahwinan saya telah mencecah ke tahun yang ke-10. Biarpun kelihatan gembira dan tidak mempedulikan kata-kata orang di sekeliling, jauh di sudut hati, ada masanya kehidupan saya terlalu sunyi tanpa kehadiran cahaya mata yang mampu menjadi peneman. Sehinggalah pada suatu hari.....

Dia hadir dalam hidup saya bagaikan cahaya rembulan yang mencerahkan kegelapan malam. Ketika salah seorang sepupu saya menanyakan saya sama ada saya inginkannya, saya memang terus menjawab mahu. Saya terus ke hospital bersalin beberapa jam selepas dia dilahirkan. Dia diserahkan kepada saya oleh ibunya yang mengalami masalah rumahtangga.
Semenjak itu, saya dan suamilah yang menjadi ibu dan bapanya.

Dia tidak pernah merasai susu ibunya kerana ibunya memang tidak mahu langsung menyusukannya. Namun, kuasa Tuhan, iaitu sebulan selepas itu, adik saya yang baru bersalin bermurah hati untuk mengizinkan dia menjadi anak susuannya.

Saya dan suami memang amat menyayanginya. Kalau tidak mengenangkan hukum Tuhan, mahu sahaja kami menukar nama ibu bapanya dengan nama kami. Dialah penghibur, dialah belahan hati kami. Sehinggakan keluarga saya benar-benar lupa yang dia bukanlah anak kandung saya. Ketika saya dikurniakan anak kandung, jauh di sudut hati saya, saya berdoa agar saya tidak akan membeza-bezakan mereka berdua. Alhamdulillah, saya fikir setakat ini saya dan suami memang telah berjaya mendidiknya sedaya upaya kami. Segala yang terbaik telah cuba kami berikan kepadanya. Bermula daripada kasih sayang, makan pakai dan pendidikan. Sebab itu saya tidak pernah menceritakan tentang dia di blog ini sehingga hari ini. Saya tidak tahu bagaimana unttuk bercerita tentangnya sedangkan sejak awal lagi, kisah saya berkisar tentang kejayaan saya memperoleh anak kandung selepas berbelas tahun menanti.

Walaupun ada antara keluarga dan kenalan yang mengetahui kisah ini, namun ramai juga yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap bahawa dia ialah anak sulung saya dan saya sangat menginginkannya begitu. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapapun tahu bahawa dia bukanlah anak kandung saya kerana di dalam hati saya dan suami, dia memang anak kami sama seperti si kecil saya.

Hari berlalu dan dia semakin dewasa. Saya tahu, saya tidak akan mampu menyembunyikannya sampai bila-bila. Namun saya amat bimbang, bagaimanakah penerimaannya. Oh...bagaimanakah cara terbaik untuk saya berterus-terang. Saya mahu dia tahu bahawa saya, lebih-lebih lagi suami amat menyayanginya. Malahan, saya dapat merasakan bahawa suami saya lebih mengutamakan dia dalam segala segi memandangkan dia anak sulung. Saya memang benar-benar dalam dilema....