Showing posts with label anugerah. Show all posts
Showing posts with label anugerah. Show all posts

Sunday, January 6, 2013

Perasaan Wanita Istimewa

Salam mesra. Hari ini saya berpeluang blogwalking ke berapa blog yang follow blog ini. Antaranya blog Zuriat Impian . Saya tersentuh membaca luahan hati penulis blog ini. Saya faham, setiap pasangan berumahtangga impikan zuriat sendiri.

Saya sungguh memahami perasaan mereka yang senasib dengan saya suatu ketika dahulu  sebagaimana yang pernah saya ceritakan dalam entri ini. Saya berharap mereka terus menjadi wanita yang tabah dan tidak mengenal putus asa. Hidup ini memang satu perjuangan. Dalam dunia perubatan yang semakin berkembang, banyak kemudahan dan peluang yang terbuka luas buat golongan seperti kita. Juga, teruskan berdoa dan mengharap kepada Allah yang maha berkuasa kerana tiada siapa yang boleh menandingi kehebatanNya.
 
Membaca luahan perasaan insan wanita yang istimewa ini, saya berazam untuk terus berkongsi pendapat, pengalaman, pengetahuan yang sedikit itu agar mereka yang senasib dengan saya ini turut dianugerahi permata dalam kehidupan mereka. Mungkin selama ini saya lalai dengan anugerah yang dikurniakan olehNya. Saya berharap akan terus diberikan kekuatan dan kesempatan masa untuk berkongsi, sekurang-kurangnya berkongsi perasaan dengan semua wanita istimewa yang ada di sekeliling saya, walaupun tanpa bersua wajah.

Saturday, August 1, 2009

Sebuah rahsia yang terpendam

Bukan mudah untuk memulakan bicara kerana rahsia ini telah terlalu lama saya pendam. Saya tidak pasti sama ada tepatkah langkah saya menyembunyikannya atau bilakah masa yang sesuai untuk saya mendedahkan sebuah rahsia yang terpendam.


Cerita ini bermula kira-kira sembilan tahun yang lalu. Saya pasti teman-teman yang berkunjung ke blog ini telah membaca tentang sejarah hidup saya yang lewat dikurniakan zuriat. Pada waktu itu, usia perkahwinan saya telah mencecah ke tahun yang ke-10. Biarpun kelihatan gembira dan tidak mempedulikan kata-kata orang di sekeliling, jauh di sudut hati, ada masanya kehidupan saya terlalu sunyi tanpa kehadiran cahaya mata yang mampu menjadi peneman. Sehinggalah pada suatu hari.....

Dia hadir dalam hidup saya bagaikan cahaya rembulan yang mencerahkan kegelapan malam. Ketika salah seorang sepupu saya menanyakan saya sama ada saya inginkannya, saya memang terus menjawab mahu. Saya terus ke hospital bersalin beberapa jam selepas dia dilahirkan. Dia diserahkan kepada saya oleh ibunya yang mengalami masalah rumahtangga.
Semenjak itu, saya dan suamilah yang menjadi ibu dan bapanya.

Dia tidak pernah merasai susu ibunya kerana ibunya memang tidak mahu langsung menyusukannya. Namun, kuasa Tuhan, iaitu sebulan selepas itu, adik saya yang baru bersalin bermurah hati untuk mengizinkan dia menjadi anak susuannya.

Saya dan suami memang amat menyayanginya. Kalau tidak mengenangkan hukum Tuhan, mahu sahaja kami menukar nama ibu bapanya dengan nama kami. Dialah penghibur, dialah belahan hati kami. Sehinggakan keluarga saya benar-benar lupa yang dia bukanlah anak kandung saya. Ketika saya dikurniakan anak kandung, jauh di sudut hati saya, saya berdoa agar saya tidak akan membeza-bezakan mereka berdua. Alhamdulillah, saya fikir setakat ini saya dan suami memang telah berjaya mendidiknya sedaya upaya kami. Segala yang terbaik telah cuba kami berikan kepadanya. Bermula daripada kasih sayang, makan pakai dan pendidikan. Sebab itu saya tidak pernah menceritakan tentang dia di blog ini sehingga hari ini. Saya tidak tahu bagaimana unttuk bercerita tentangnya sedangkan sejak awal lagi, kisah saya berkisar tentang kejayaan saya memperoleh anak kandung selepas berbelas tahun menanti.

Walaupun ada antara keluarga dan kenalan yang mengetahui kisah ini, namun ramai juga yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap bahawa dia ialah anak sulung saya dan saya sangat menginginkannya begitu. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapapun tahu bahawa dia bukanlah anak kandung saya kerana di dalam hati saya dan suami, dia memang anak kami sama seperti si kecil saya.

Hari berlalu dan dia semakin dewasa. Saya tahu, saya tidak akan mampu menyembunyikannya sampai bila-bila. Namun saya amat bimbang, bagaimanakah penerimaannya. Oh...bagaimanakah cara terbaik untuk saya berterus-terang. Saya mahu dia tahu bahawa saya, lebih-lebih lagi suami amat menyayanginya. Malahan, saya dapat merasakan bahawa suami saya lebih mengutamakan dia dalam segala segi memandangkan dia anak sulung. Saya memang benar-benar dalam dilema....

Friday, May 22, 2009

Susu yang mana?

Hari ini, anak saya bertukar susu.
Saya cuba melanjutkan pemberian susu Enfa buatnya.
Jika dulu dia meminum ini,
Sekarang dia meminum yang ini,


Semenjak awal kehamilan, pasti setiap ibu dan bakal ibu didedahkan tentang faedah penyusuan susu ibu ini. Saya juga telah diterangkan tentang keperluan menyusukan anak dengan susu ibu secara ekslusif selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Saya ingin sekali mempraktikkannya tetapi saya tidak berjaya setelah mengalami demam yang agak teruk. Mulai saat itu, si Kecil langsung tidak mahu menerima susu ibu walaupun saya cuba sedaya upaya memaksanya kerana sedar yang susu ibu susu yang terbaik bagi bayi. Memang sedih, tetapi apakan daya. Saya sedar yang semua itu kelemahan saya sendiri. Akhirnya saya terpaksa memberikannya susu formula.

Semenjak awal, saya memang merancang untuk memberikannya susu formula hanya bila dia mencapai usia 6 bulan tetapi saya tetapi saya terpaksa menerima hakikat kegagalan saya itu. Lalu saya berusaha untuk mencari maklumat tentang susu yang baik untuk si Kecil saya. Berdasarkan pembacaan dan maklumat daripada pengalaman rakan-rakan, saya akhirnya memilih untuk memberikannya Enfalac A+. Alhamdulillah, dia serasi dengan susu tersebut dan tidak pernah mengalami masalah kembung perut sehingga sekarang. Tetapi saya faham, saya tidak boleh mengharapkan ia satu makanan yang sempurna. Manalah sama sesuatu yang diciptakan manusia berbanding ciptaan-Nya. Saya berharap si Kecil saya akan terus sihat dan mendapat zat yang diperlukan oleh tubuhnya, walaupun dia tidak lagi mendapat susu daripada ibunya ini.

Saturday, May 9, 2009

Setahun sudah berlalu

SETAHUN SUDAH BERLALU......

Happy birthday To My Little Boy.


Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran yang Pertama

Hari ni genap setahun usia Si Kecil saya. Tak sangka dah setahun masa berlalu semenjak hari yang paling bertuah buat saya kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang sihat sempurna setelah berbelas-belas tahun menanti seperti yang pernah saya ceritakan dalam entri terdahulu.
Dalam masa setahun bersama si Kecil memang merupakan saat-saat terindah.


Selamat Hari Ulang Tahun Anakku!

Ketika baru dilahirkan beratnya hanya 2.5 kg







Semasa Sedang Membesar





Thursday, February 19, 2009

Kesabaran Yang Terbalas

Hari ini, sepupu saya menelefon untuk memberitahu tentang kelahiran bayi sulungnya. Dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Saya tumpang gembira mendengar berita tersebut. Maklumlah, dulu saya dan isterinya 'S' memang sering berkongsi cerita dan perasaan. Kami berdua sama-sama lewat dikurniai zuriat. Walaupun saya yang memegang rekod paling lama kerana dia berkahwin dengan sepupu saya hampir satu dekad selepas saya mendirikan rumah tangga, kebimbangan kami sebenarnya hampir serupa. Tahun demi tahun dilalui tanpa kehadiran cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah biarpun kami cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu memikirkannya. Setiap kali bertemu, kami sering berkongsi perasaan lebih-lebih lagi setelah adik ipar saya dan kemudiannya adik iparnya yang baru sahaja berkahwin terus mendapat cahaya mata. Kami sering tertanya-tanya, masih adakah ruang bagi kami menikmati keriangan kerana mendapat penyeri dalam rumahtangga?

Kami sama-sama memotivasi satu sama lain. Apabila saya disahkan mengandung kira-kira 2 tahun yang lalu, 'S' begitu teruja untuk terus berusaha. Saya yang telah berumur ini pun masih mampu bersabar berusaha dan menanti, apatah lagi dirinya yang masih muda. Tentu sahaja peluangnya lebih cerah.
Semasa saya sarat mengandung, saya ada berkata kepadanya bahawa selepas ini gilirannya pula. Saya agak yakin jika dia terus berusaha, dia juga akan dikurniai rezeki seperti saya memandangkan usianya yang masih muda berbanding saya. Lagipun sebelum ini dia pernah mengandung beberapa bulan sebelum keguguran. Alhamdulillah, sepupu saya iaitu suaminya yang sebelum ini agak 'liat' untuk sama-sama mengunjungi doktor pun bersedia memberikan kerjasama. Selain bertemu doktor, 'S' juga telah pergi berulang-alik untuk berurut. Macam-macam lagi usaha yang dilakukannya sama seperti saya dulu, cuma dia masih belum ke tahap melakukan proses IVF.

Akhirnya, beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, saya diberitahu yang 'S' telah mengandung. Dan akhirnya berkat kesabaran selama lebih kurang 8 tahun, 'S' telah berjaya mendapat zuriat yang dinanti-nantikannya selama ini.

Begitulah, berkat kesabaran, akhirnya kami berdua kini sama-sama telah mempunyai seorang putera, zuriat kami sendiri. Saya percaya masih ramai yang menanti untuk dikurniai zuriat sendiri. Saya tahu, kebanyakannya masih muda dan usia perkahwinan mereka masih belum begitu lama berbanding kami. Semoga kisah dan pengalaman kami menjadi pendorong buat mereka yang masih lagi menanti. Usahlah jemu berusaha dan jangan sesekali putus asa. Usah juga salahkan ketentuan Tuhan. Jika kita redha dengan ujiannya serta sering mengadu kepadaNya, Dia sentiasa mendengar doa dan keluhan kita. Dia juga pasti lebih tahu, apa dan bila masa terbaik untuk memberikan apa yang kita pinta!