Thursday, January 29, 2009

Aku dan IVF

Keluarga kami menerima berita gembira lagi. Adikku kini telah disahkan hamil anak ke-4. Anak-anaknya begitu gembira. Kalau tak silap, dah nak masuk 3 bulan. Berita tersebut membuatkan saya terkenang tentang saat-saat manis saya disahkan mengandung pada tahun 2007 setelah menunggu selama 17 tahun sehinggalah selamat melahirkan anak. Saya bersyukur kerana setelah sekian lama, akhirnya saya dikurniakan rezeki yang amat berharga ini. Walaupun mungkin merupakan satu-satunya anak kandung saya, saya tetap bersyukur kerana berpeluang mengalami sesuatu yang sangat berharga bagi setiap wanita. Saya juga terkenangkan betapa ramai lagi pasangan yang masih menanti dan berharap untuk mendapatkan zuriat sendiri.
Saya ingin sekali mengabadikan segala usaha dan kenangan pahit manis yang saya alami selama ini. Mana tahu, segala catatan saya dapat digunapakai oleh adik-adik, anak-anak dan rakan-rakan.



Saya pernah mencuba kaedah IVF. Walaupun usaha itu tidak berjaya pada diri saya, saya tidak pernah putus asa kerana biar secanggih manapun kaedah perubatan itu, segalanya akhirnya kembali kepada Yang Maha Kuasa. Perkara itu juga yang telah ditegaskan oleh pakar yang merawat saya agar saya bersedia dengan segala kemungkinan yang timbul serta dapat menerima kemungkinan sekiranya percubaan saya tidak berjaya.

Saya masih ingat tentang pertemuan dengan seorang pakar sakit puan yang terkenal semasa mendapatkan rawatan kerana masalah kesakitan semasa datang haid. Apabila membincangkan masalah saya yang masih belum mempunyai anak ketika itu, beliau ada menyebut tentang beberapa kaedah moden termasuk IVF (in virto fertilization) yang mungkin belanjanya lebih mahal tetapi sebagai langkah terakhir bagi pasangan yang meningkat usia setelah gagal mencuba pelbagai kaedah semulajadi. Kaedah IVF boleh dilakukannya di HUKM jika usia kurang daripada 35 tahun tetapi malangnya syarat itu tidak boleh kami penuhi dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjalaninya di hospital swasta.
Beliau menyarankan saya berbincang sendiri dengan seorang pakar yang pernah menjadi teman kuliah beliau. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan belanja tersebut memandangkan kami perlu mencuba sebarang kaedah yang ada sebelum benar-benar terlewat.
Bukan mudah sebenarnya menjalani kaedah ini. Selain menyediakan wang yang secukupnya (hampir 20 ribu belanja keseluruhan sehingga selesai memindahkan embrio ke dalam rahim), persediaan fizikal dan mental juga perlu.
Saya tidak ingat sepenuhnya tentang proses IVF tersebut tetapi saya akan ceritakan serba sedikit apa yang saya terpaksa tempuhi sepanjang proses tersebut:-
(Sebenarnya proses tu tak lah lama sangat. Keseluruhannya lebih kurang dalam masa sebulan)
1) Saya perlu menyuntik ubat-ubat kesuburan. Kata doktor, untuk merangsang telur daripada ovari. (Bahagian suntik menyuntik diri sendiri setiap pagi tu yang saya fobia tu! Kadang-kala saya suruh orang lain suntik perut saya sebab rasa macam tak lut aja jarum tu)
2) Saya terpaksa berulang-alik ke hospital tempat menjalani kaedah ini kerana doktor terpaksa memantau perkembangan telur dalam ovari.
3) Beberapa jam sebelum proses mengeluarkan telur dari ovari, kena suntik ubat kesuburan yang lain daripada di atas untuk mematangkan telur.
4) Telur yang telah dikeluarkan (masa keluarkan telur ni, kalau tak silap, tak sedar kena bius) disatukan dengan sperma dalam tempoh secepat mungkin pada hari yang sama.
5) Telur dan sperma yang disenyawakan tadi disimpan dalam inkubator supaya membentuk embrio.
6) Beberapa hari kemudian, (kalau tak silap 5 hari lepas tu) datang lagi ke hospital dan embrio yang paling baik dipindahkan ke dalam rahim.
Sebenarnya, dalam kes saya, tiga saja embrio yang betul-betul sihat dan ketiga-tiganya dipindahkan ke dalam rahim. Doktor pakar tu beritahu saya, kalau berjaya menghasilkan embrio yang lebih banyak, embrio tu boleh di simpan di hospital (ada pusat yang menempatkannya). Dah mungkin bukan rezeki saya agaknya, seminggu selepas menjalani proses pemindahan embrio ke dalam rahim, saya terpaksa menjalani satu pembedahan di hospital berhampiran tempat tinggal saya walaupun berulangkali saya beritahu doktor tu yang saya baru sahaja mmenjalani IVF. Tapi katanya, pembedahan memang ada risikonya kepada janin tetapi jika tidak menjalani pembedahan, proses tersebut mungkin tetap gagal kerana tekanan kesakitan yang saya alami.
Begitulah...akhirnya usaha saya gagal kerana begitulah takdirnya dan setelah dua tahun berlalu, saya mengandung secara semulajadi. Alangkah besarnya kekuasaan Allah.

Amalan untuk mendapatkan zuriat

Saya ada terbaca satu artikel tentang usaha dan tawakal yang boleh diamalkan untuk mendapatkan zuriat yang ditulis oleh Zuhriah dalam majalah Pa & Ma Julai 2003. Saya percaya, setiap pasangan yang mengalami masalah kesukaran mendapatkan zuriat, seringkali rasa tertekan namun akan terus mencuba pelbagai kaedah yang disarankan tanpa jemu asalkan impian untuk mendapatkan zuriat tercapai. Memang banyak pengorbanan yang dituntut dan bagi mereka yang bertuah tanpa perlu menempuh cubaan ini, janganlah menambah beban mereka yang ada kerana 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul'.

Sebagai orang yang pernah mengalami masalah ini selama berbelas tahun, saya amat memahami perasaan mereka yang sukar memperoleh zuriat ini. Apabila terbaca artikel ini, saya berasa terpanggil untuk berkongsi apa yang saya baca itu.

Dalam artikel tersebut, beliau menuliskan 3 kaedah iaitu:

1) menggunakan ubat-ubatan tradisional (seperti herba, madu, cendawan, bawang putih dan sebagainya)

2) mengamalkan ayat-ayat al-Quran selepas sembahyang (seperti Ayat 74 Surah Al-Furqan, Surah An Nisa Ayat 89 dan Surah Maryam Ayat 4 dan 5) berpuasa dan amalan membaca nama-nama yang berikut ketika hendak berbuka puasa iaitu Ya Musawwir - Yang Membentuk, Ya Bari (Yang Mencipta), Ya Khaliq (Yang Menjadikan), menghembuskan pada segelas air dan berbuka dengan meminum air tersebut.

3) berjumpa pakar (sama ada doktor @ pakar sakit puan, pakar urut dll asalkan tidak mendatangkan syirik kepada Allah)

Saya cuma ingin berkongsi pembacaan saya. Semoga ia akan memberikan sedikit sebanyak manfaat pada pasangan yang mengalami masalah sukar mendapatkan zuriat. Suami isteri perlu berusaha dan memberikan kerjasama tanpa menunding jari kepada satu pihak sahaja. Walau apapun yang kita tempuhi, hadapilah dengan sabar dan ingatlah bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh di samping memohon kepada-Nya yang maha pemurah lagi maha mengasihani.

Wednesday, January 28, 2009

Cahaya Mata - Impian Terindah


Membaca sebuah blog tentang doa untuk memperoleh zuriat menemukan saya dengan mereka yang pernah dan sedang mengalami apa yang pernah saya rasai suatu ketika dahulu. Lalu teruja hati saya untuk berkongsi pengalaman dan luahan rasa.


Cahaya Mata adalah impian terindah buat hampir semua (saya tidak berani menyatakan semua - pasti anda dapat meneka sebabnya - rambut mungkin sama hitam, tapi hati lain-lain) pasangan yang telah berumah-tangga. Hidup berumah-tangga pasti kurang serinya tanpa kehadiran anak-anak. Namun tidak semua pasangan bertuah dikurnia cahaya mata sebaik sahaja mendirikan rumah tangga walaupun ada yang memang masih belum bersedia untuk memperolehnya pada awal perkahwinan. Biarpun telah mencuba pelbagai cara, kehadiran cahaya mata masih belum menjelma. Namun generasi masa kini lebih beruntung, kerana telah banyak kaedah perubatan moden, namun segalanya masih dalam ketentuanNya. Kepada yang masih belum berjaya, usah berputus asa. Doa dan usaha perlu seiring.