Friday, May 29, 2009

Coretan pagi Jumaat

Pagi Jumaat yang tenang...
Tadi sewaktu menerima sms yang bertanya tentang perancangan hujung minggu, tertanya juga siapa pengirimnya. Setelah membaca keseluruhan sms, rupa-rupanya seorang teman lama. Lama betul tak bertemu dengannya. Insya Allah, hujung minggu ini beliau berjanji untuk menghubungi saya kembali kerana ada tugas di kawasan tempat tinggal saya.
Nampaknya, hujung minggu ini saya akan sibuk sekali. Perlu menghadiri majlis kenduri saudara-mara dan jiran tetangga. Dan juga menanti kunjungan teman lama. Saya pasti beliau akan membawa keluarganya bersama. Tentu meriah rumah saya nanti.

Sunday, May 24, 2009

Pemergian

Malam tadi saya menerima berita pemergian bapa saudara saya iaitu suami kepada kakak arwah ibu saya. Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah semasa Hari Raya Aidilfitri yang lepas. Pada masa itu beliau sihat sahaja. Saya memang tidak banyak berbual dengannya kerana beliau seorang yang pendiam. Namun begitu, saya memang sangat rapat dengan keluarga beliau dan dua orang daripada anaknya pernah tinggal dengan arwah ibu saya semasa mereka kecil.

Sebaik mendengar berita, pagi ini saya dan keluarga menziarahi keluarga ibu saudara saya. Telah ramai yang sampai ketika saya tiba. Segala urusan nampaknya berjalan dengan lancar dan jenazah selamat dikebumikan sebelum solat dzuhur.
Begitulah kehidupan. Apabila telah sampai masanya, tiada yang dapat mendahului atau melambatkannya. Al-fatihah buat beliau. Semoga rohnya ditempatkan bersama dengan orang yang beriman.





Kata-kata yang ingin dimasukkan ke dalam Read More.

Friday, May 22, 2009

Susu yang mana?

Hari ini, anak saya bertukar susu.
Saya cuba melanjutkan pemberian susu Enfa buatnya.
Jika dulu dia meminum ini,
Sekarang dia meminum yang ini,


Semenjak awal kehamilan, pasti setiap ibu dan bakal ibu didedahkan tentang faedah penyusuan susu ibu ini. Saya juga telah diterangkan tentang keperluan menyusukan anak dengan susu ibu secara ekslusif selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Saya ingin sekali mempraktikkannya tetapi saya tidak berjaya setelah mengalami demam yang agak teruk. Mulai saat itu, si Kecil langsung tidak mahu menerima susu ibu walaupun saya cuba sedaya upaya memaksanya kerana sedar yang susu ibu susu yang terbaik bagi bayi. Memang sedih, tetapi apakan daya. Saya sedar yang semua itu kelemahan saya sendiri. Akhirnya saya terpaksa memberikannya susu formula.

Semenjak awal, saya memang merancang untuk memberikannya susu formula hanya bila dia mencapai usia 6 bulan tetapi saya tetapi saya terpaksa menerima hakikat kegagalan saya itu. Lalu saya berusaha untuk mencari maklumat tentang susu yang baik untuk si Kecil saya. Berdasarkan pembacaan dan maklumat daripada pengalaman rakan-rakan, saya akhirnya memilih untuk memberikannya Enfalac A+. Alhamdulillah, dia serasi dengan susu tersebut dan tidak pernah mengalami masalah kembung perut sehingga sekarang. Tetapi saya faham, saya tidak boleh mengharapkan ia satu makanan yang sempurna. Manalah sama sesuatu yang diciptakan manusia berbanding ciptaan-Nya. Saya berharap si Kecil saya akan terus sihat dan mendapat zat yang diperlukan oleh tubuhnya, walaupun dia tidak lagi mendapat susu daripada ibunya ini.

Wednesday, May 20, 2009

Suntikan Imunisasi



Suntikan imunisasi memang tidak boleh diabaikan. Jadi, semalam saya bawa si Kecil saya ke klinik untuk mendapatkan suntikan.

Seperti dijangka, memanglah menangis, tetapi hero kecil saya yang agak lasak ini kelihatan relax saja. Cuma ada sedikit tangisan. Bimbang juga dia meragam, tapi doktor ada pesan yang kadang-kala lepas seminggu mungkin juga demam sikit. Alahai, kesihannya. kalau demam lagi....sebab dia baru je baik demam (walaupun batuk masih tak juga nak hilang walaupun dah banyak kali ke klinik).


Monday, May 18, 2009

Bersenam


Imej daripada Google

Apa kelebihan bersenam?
Antaranya:-
1) Menambahkan kekuatan jantung dan peru-paru.
2) Menurunkan risiko penyakit jantung
3) meningkatkan kolestrol "baik" dalam darah.
4) Meningkatkan kecergasan diri.
5) Menjadikan diri lebih bertenaga.
6) Membakar lemak dan dapat mengekalkan berat badan ideal.
7) Menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporisis

p/s Zaman dulu-dulu, saya rajin juga berjogging. Belakangan ni sibuk sikit dgn urusan keluarga dan ntah apa-apa lagi. Bukannya tak bersenam, tiap-tiap hari bersenam bersenam, dengan tugasan di rumah. Kalau berjogging tu, sehari pergi, sepuluh hari tak buat. Ha, ha, ha.......Ni kena kuatkan semangat ni..Semangat!

Friday, May 15, 2009

Kau cahaya di hatiku

16 Mei ialah Hari Guru. Saya tiba-tiba rasa nak tulis tentang Hari Guru sebab saya diberitahu yang mantan guru saya telah dimasukkan ke hospital. Sempena Hari Guru, saya dan beberapa orang rakan telah merancang untuk melawat beliau.

Guru ini ialah guru darjah saya sewaku saya mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Beliau agak garang orangnya dan sebagai anak kecil, kami semua memang takut walaupun hanya mendengar suaranya. Tetapi dialah antara guru yang paling saya ingat kerana dia guru pertama saya.
Saya masih terbayang-bayang gayanya yang bertocang dua walaupun semasa saya bertemunya pada waktu saya masih menuntut di universiti, beliau telahpun bertudung. Beliau memang sangat garang dan tegas. Namun saya tahu, para pelajarnya tidak pernah ambil hati dengan cara beliau itu. Bukan hanya beliau, malahan hampir semua guru saya memang tegas-tegas belaka. Tapi, saya masih ingat pesanan ibu bahawa jika guru marah, tandanya dia menyayangi kita. Jika tidak, pasti dia biarkan sahaja kita. Justeru, saya tahu, guru-guru saya memang sayangkan semua anak murid mereka. Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang tegas dan mahu memberikan tunjukajar jika saya tersilap langkah. Jika bukan dengan ketegasan itu, mungkin kami tidak akan menjadi 'orang'. Setiap kali bertemu dengan teman-teman lama, nama beliau memang sering bermain di bibir kami. Kata orang, hati terkenang mulut menyebut.
Saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru (termasuk pensyarah) yang pernah menitiskan ilmu buat saya. Saya tahu, saya tidak mungkin dapat membalas semua jasa guru-guru saya ini namun doa saya, semoga mereka semua dilindungiNya. Terima kasih Cikgu! Kau tetap bercahaya di hatiku buat selamanya....

Tuesday, May 12, 2009

Dia Ibuku

Sempena Hari Ibu pada Ahad lepas, saya berkesempatan pulang ke rumah ibu mertua. Sebelum itu, sempatlah juga membawakan sebiji kek untuknya.
Saya telah lama kehilangan ibu kandung, tetapi amat bertuah kerana dikurniakan ibu mertua yang begitu baik dan mengambil berat terhadap menantunya ini hinggakan kalau kami keluar, orang sering terkejut bila tahu bahawa beliau ialah ibu mertua. Saya tak pasti mengapa, tapi mungkin juga sebab keakraban kami. Rumah kami tidaklah terlalu jauh juga memungkinkan kami sering berjumpa dan menziarahinya hampir setiap minggu. Dan kita pun memang dituntut untuk memuliakan ibu mertua. Ibu mertua memang melayan saya dengan baik. Malahan, kalau beliau berkesempatan ke mana-mana, pasti ada sahaja cenderahati buat saya. Untunglah saya kan!

Saya memanjatkan syukur kerana diberikan peluang menjadi ibu. Peluang ini membuatkan saya lebih menghargai jasa seorang ibu. Sesungguhnya bukan ringan tugas seorang ibu. Pengorbanan dan kasih arwah ibu tidak pernah saya lupa. Doa dan Al-Fatihah buat arwah ibu yang begitu banyak berjasa dan membentuk kami adik beradik. Semoga rohnya dicucuri rahmat.....

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu walaupun kadangkala panggilannya berbeza. Setiap hari adalah Hari Ibu kerana peranan ibu terlalu besar dalam kehidupan setiap manusia.

Saturday, May 9, 2009

Setahun sudah berlalu

SETAHUN SUDAH BERLALU......

Happy birthday To My Little Boy.


Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran yang Pertama

Hari ni genap setahun usia Si Kecil saya. Tak sangka dah setahun masa berlalu semenjak hari yang paling bertuah buat saya kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang sihat sempurna setelah berbelas-belas tahun menanti seperti yang pernah saya ceritakan dalam entri terdahulu.
Dalam masa setahun bersama si Kecil memang merupakan saat-saat terindah.


Selamat Hari Ulang Tahun Anakku!

Ketika baru dilahirkan beratnya hanya 2.5 kg







Semasa Sedang Membesar





Friday, May 8, 2009

Resah yang belum berkesudahan

Telah beberapa hari tidak update blog. Agak sibuk menguruskan si Kecil yang demam. Biarpun tidaklah teruk sangat, tetapi saya pun rasa macam nak demam sebab tidur yang memang langsung tak menentu kerana bimbang panas badannya meningkat sewaktu saya lena tidur. Telah dua malam si Kecil saya tidak lagi mengalami suhu badan yang tinggi. Rasa resah yang selama ini bersarang di jiwa beransur pergi.



Rupanya saya masih belum boleh berasa senang hati. Pagi tadi telah kelihatan bintik-bintik kecil yang merah pada serata tubuh badan si Kecil. Campak! Rupanya demam panasnya selama ini petanda dia mengalami demam campak dan baru hari ini saya tahu. Pesan orang tua, bila demam campak, anak tidak boleh dimandikan dan hanya dilap dengan air kelapa muda.

Esok genaplah setahun usia si Kecil. Nampaknya dia menyambutnya dengan demam campak!

Tuesday, May 5, 2009

Cuaca dan kesihatan

Baru-baru ini saya terbaca dalam sebuah akhbar tempatan yang melaporkan cuaca panas di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Ada juga diingatkan agar warga emas dan kanak-kanak diminta mengelakkan daripada banyak elakukan aktiviti di luar rumah. Selain itu, adalah digalakkan supaya meminum banyak air untuk mengelakkan tubuh daripada kehilangan air.
Sejak malam Ahad lagi Si Kecil saya demam. Agak membimbangkan kerana panasnya yang turun naik. Kalau zaman dahulu, kalau demam dilarang mandi, tetapi sekarang doktor nasihatkan supaya bila suhu badan mencapai 38 darjah celcius, mandikan sahaja kanak-kanak tersebut untuk mengimbangi suhu badannya.
Pagi tadi, sekali lagi saya membawanya ke klinik pakar kanak-kanak. Ini kali ke-2 saya membawanya ke klinik kerana saya amat bimbang dengan impak demam panas terhadap kanak-kanak.


Kali pertama, tengah malam Ahad iaitu 3 hari lepas, sebaik menyedari suhu badannya agak panas daripada biasa. Semasa sampai di klinik pakar kanak-kanak itu tadi, punyalah ramai orang. Hampir 2 jam lebih saya menunggu giliran. Doktor itu menyatakan bahawa sekarang ini memang sangat ramai kanak-kanak yang menghidapi demam panas. Hari ini pula, saya bertanyakan doktor tentang panas badannya yang asyik turun naik itu. Pagi ok, malam panas sangat.
Doktor menasihati saya membenarkan Si Kecil itu menjalani ujian darah untuk mengesan puncanya. Saya menurut sahaja. Keputusan ujian menunjukkan ada sedikit jangkitan kuman namun tidak begitu serius dan doktor memberikan dua jenis ubat demam dan antibiotik. Alhamdulillah, malam ini Si Kecil saya nampaknya tidur lena dan semenjak pulang daripada klinik tadi, suhu badannya terkawal.
Kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil, elakkan anak anda terdedah di tempat orang ramai dan terdedah pada cahaya.