Showing posts with label Kenanganku. Show all posts
Showing posts with label Kenanganku. Show all posts

Thursday, June 25, 2009

Kenangan di Bulan Rejab

Semalam telah masuk dalam Bulan Rejab mengikut kalander Islam. Semoga kehadiran bulan Rejab tambah mendekatkan kita kepadaNya dengan melakukan pelbagai amalan yang digalakkan. Semoga bulan Rejab ini membantu kita bersedia untuk menghadapi Ramadhan yang semakin menjelang tiba.

Setiap kali 1 Rejab tiba, saya pasti teringatkan satu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan saya. Pada tarikh 1 Rejab, ibu saya pergi menyambut panggilan Ilahi. Ibu pergi pada dinihari 1 Rejab dalam pangkuan bapa saya. Pada masa itu, tiada seorangpun anak-anak ibu yang ada di rumah. Namun saya bersyukur kerana saya sempat menunaikan hajat arwah iaitu untuk pergi bersama-sama menghadiri kenduri kahwin jiran yang masih tinggal di kawasan rumah yang saya diami semasa kecil.

Tiada apa-apa keganjilan yang boleh saya kesan pada sikapnya sebelum itu, cuma arwah meminta kami pergi dengan sebuah kereta sahaja pada siang Ahad itu. Semasa menaiki kereta yang dipandu suami saya, arwah menyuruh saya duduk di hadapan kerana katanya, dia mahu duduk di belakang bersama bapa saya. Semasa kenduri itu, arwah sempat menemui ramai sungguh kenalannya serta semua bekas jiran kami dahulu.

Pulang daripada kenduri, arwah sempat memasak sup ikan jenak yang saya bawa pulang ke rumah mertua lewat petang itu. Pada petang itu juga, salah seorang bapa saudara saya juga sempat merasai air tangan arwah ibu buat kali terakhir. Arwah memang kelihatan sangat sihat ketika saya dan suami meminta diri untuk pulang. Pada malam itu, saya dan suami ke rumah mertua dan bermalam di sana pula.

Pagi itu, lebih kurang pukul 3 pagi, seisi rumah mertua dikejutkan dengan bunyi telefon. Bapa mertua yang menyambut panggilan tersebut. Beliau memanggil suami saya keluar dan bercakap-cakap sebentar. Hati berdebar-debar bila suami meminta saya segera bersiap untuk pulang ke rumah ibu bapa saya semula kerana katanya ibu sakit. Saya amat faham sikap bapa saya. Pasti ada sesuatu yang serius. Jika tidak, mustahil bapa saya tidak akan menunggu sehingga hari siang.

Dalam kereta sewaktu perjalanan menuju ke rumah ibu bapa saya, kaki tangan saya terasa dingin. Saya tidak bersuara langsung. Suami saya cuba memberikan semangat dan menenangkan saya. Namun daripada caranya, saya dapat merasakan yang ibu saya bukannya sakit, tetapi telah tiada. Saya paksa suami berterus-terang dan bila suami tidak dapat mengelak daripada memberitahu hal sebenar, segala tangis yang saya tahan semenjak tadi mula pecah.

Sejak awal pagi, ramai kenalan dan saudara-mara yang tidak putus-putus datang menziarahi. Dua orang adik saya yang tinggal di asrama juga pulang. Cuma seorang daripada adik saya yang sedang menuntut di luar negara tidak mampu bersama kami. Pemergian ibu memang merupakan ujian hebat buat kami sekeluarga kerana tiada siapapun yang menduga arwah akan pergi secepat itu. Pemergiannya bukan sahaja mengejutkan kami sekeluarga, malahan semua yang mengenalinya juga terkejut menerima berita tersebut. Namun, ajal dan maut memang hakNya.

Pada malam itu, kami mengadakan tahlil dan menyediakan hidangan berbuka puasa memandangkan ramai yang sedang berpuasa sempena 1 Rejab. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlalu, segala peristiwa yang berlaku pada tarikh 1 Rejab tahun itu masih terbayang di ruangan mata saya.

Al-Fatihah buat arwah ibu. Semoga roh ibu ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Friday, May 15, 2009

Kau cahaya di hatiku

16 Mei ialah Hari Guru. Saya tiba-tiba rasa nak tulis tentang Hari Guru sebab saya diberitahu yang mantan guru saya telah dimasukkan ke hospital. Sempena Hari Guru, saya dan beberapa orang rakan telah merancang untuk melawat beliau.

Guru ini ialah guru darjah saya sewaku saya mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Beliau agak garang orangnya dan sebagai anak kecil, kami semua memang takut walaupun hanya mendengar suaranya. Tetapi dialah antara guru yang paling saya ingat kerana dia guru pertama saya.
Saya masih terbayang-bayang gayanya yang bertocang dua walaupun semasa saya bertemunya pada waktu saya masih menuntut di universiti, beliau telahpun bertudung. Beliau memang sangat garang dan tegas. Namun saya tahu, para pelajarnya tidak pernah ambil hati dengan cara beliau itu. Bukan hanya beliau, malahan hampir semua guru saya memang tegas-tegas belaka. Tapi, saya masih ingat pesanan ibu bahawa jika guru marah, tandanya dia menyayangi kita. Jika tidak, pasti dia biarkan sahaja kita. Justeru, saya tahu, guru-guru saya memang sayangkan semua anak murid mereka. Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang tegas dan mahu memberikan tunjukajar jika saya tersilap langkah. Jika bukan dengan ketegasan itu, mungkin kami tidak akan menjadi 'orang'. Setiap kali bertemu dengan teman-teman lama, nama beliau memang sering bermain di bibir kami. Kata orang, hati terkenang mulut menyebut.
Saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru (termasuk pensyarah) yang pernah menitiskan ilmu buat saya. Saya tahu, saya tidak mungkin dapat membalas semua jasa guru-guru saya ini namun doa saya, semoga mereka semua dilindungiNya. Terima kasih Cikgu! Kau tetap bercahaya di hatiku buat selamanya....

Saturday, May 9, 2009

Setahun sudah berlalu

SETAHUN SUDAH BERLALU......

Happy birthday To My Little Boy.


Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran yang Pertama

Hari ni genap setahun usia Si Kecil saya. Tak sangka dah setahun masa berlalu semenjak hari yang paling bertuah buat saya kerana dikurniakan seorang cahaya mata yang sihat sempurna setelah berbelas-belas tahun menanti seperti yang pernah saya ceritakan dalam entri terdahulu.
Dalam masa setahun bersama si Kecil memang merupakan saat-saat terindah.


Selamat Hari Ulang Tahun Anakku!

Ketika baru dilahirkan beratnya hanya 2.5 kg







Semasa Sedang Membesar





Thursday, January 29, 2009

Aku dan IVF

Keluarga kami menerima berita gembira lagi. Adikku kini telah disahkan hamil anak ke-4. Anak-anaknya begitu gembira. Kalau tak silap, dah nak masuk 3 bulan. Berita tersebut membuatkan saya terkenang tentang saat-saat manis saya disahkan mengandung pada tahun 2007 setelah menunggu selama 17 tahun sehinggalah selamat melahirkan anak. Saya bersyukur kerana setelah sekian lama, akhirnya saya dikurniakan rezeki yang amat berharga ini. Walaupun mungkin merupakan satu-satunya anak kandung saya, saya tetap bersyukur kerana berpeluang mengalami sesuatu yang sangat berharga bagi setiap wanita. Saya juga terkenangkan betapa ramai lagi pasangan yang masih menanti dan berharap untuk mendapatkan zuriat sendiri.
Saya ingin sekali mengabadikan segala usaha dan kenangan pahit manis yang saya alami selama ini. Mana tahu, segala catatan saya dapat digunapakai oleh adik-adik, anak-anak dan rakan-rakan.



Saya pernah mencuba kaedah IVF. Walaupun usaha itu tidak berjaya pada diri saya, saya tidak pernah putus asa kerana biar secanggih manapun kaedah perubatan itu, segalanya akhirnya kembali kepada Yang Maha Kuasa. Perkara itu juga yang telah ditegaskan oleh pakar yang merawat saya agar saya bersedia dengan segala kemungkinan yang timbul serta dapat menerima kemungkinan sekiranya percubaan saya tidak berjaya.

Saya masih ingat tentang pertemuan dengan seorang pakar sakit puan yang terkenal semasa mendapatkan rawatan kerana masalah kesakitan semasa datang haid. Apabila membincangkan masalah saya yang masih belum mempunyai anak ketika itu, beliau ada menyebut tentang beberapa kaedah moden termasuk IVF (in virto fertilization) yang mungkin belanjanya lebih mahal tetapi sebagai langkah terakhir bagi pasangan yang meningkat usia setelah gagal mencuba pelbagai kaedah semulajadi. Kaedah IVF boleh dilakukannya di HUKM jika usia kurang daripada 35 tahun tetapi malangnya syarat itu tidak boleh kami penuhi dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjalaninya di hospital swasta.
Beliau menyarankan saya berbincang sendiri dengan seorang pakar yang pernah menjadi teman kuliah beliau. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan belanja tersebut memandangkan kami perlu mencuba sebarang kaedah yang ada sebelum benar-benar terlewat.
Bukan mudah sebenarnya menjalani kaedah ini. Selain menyediakan wang yang secukupnya (hampir 20 ribu belanja keseluruhan sehingga selesai memindahkan embrio ke dalam rahim), persediaan fizikal dan mental juga perlu.
Saya tidak ingat sepenuhnya tentang proses IVF tersebut tetapi saya akan ceritakan serba sedikit apa yang saya terpaksa tempuhi sepanjang proses tersebut:-
(Sebenarnya proses tu tak lah lama sangat. Keseluruhannya lebih kurang dalam masa sebulan)
1) Saya perlu menyuntik ubat-ubat kesuburan. Kata doktor, untuk merangsang telur daripada ovari. (Bahagian suntik menyuntik diri sendiri setiap pagi tu yang saya fobia tu! Kadang-kala saya suruh orang lain suntik perut saya sebab rasa macam tak lut aja jarum tu)
2) Saya terpaksa berulang-alik ke hospital tempat menjalani kaedah ini kerana doktor terpaksa memantau perkembangan telur dalam ovari.
3) Beberapa jam sebelum proses mengeluarkan telur dari ovari, kena suntik ubat kesuburan yang lain daripada di atas untuk mematangkan telur.
4) Telur yang telah dikeluarkan (masa keluarkan telur ni, kalau tak silap, tak sedar kena bius) disatukan dengan sperma dalam tempoh secepat mungkin pada hari yang sama.
5) Telur dan sperma yang disenyawakan tadi disimpan dalam inkubator supaya membentuk embrio.
6) Beberapa hari kemudian, (kalau tak silap 5 hari lepas tu) datang lagi ke hospital dan embrio yang paling baik dipindahkan ke dalam rahim.
Sebenarnya, dalam kes saya, tiga saja embrio yang betul-betul sihat dan ketiga-tiganya dipindahkan ke dalam rahim. Doktor pakar tu beritahu saya, kalau berjaya menghasilkan embrio yang lebih banyak, embrio tu boleh di simpan di hospital (ada pusat yang menempatkannya). Dah mungkin bukan rezeki saya agaknya, seminggu selepas menjalani proses pemindahan embrio ke dalam rahim, saya terpaksa menjalani satu pembedahan di hospital berhampiran tempat tinggal saya walaupun berulangkali saya beritahu doktor tu yang saya baru sahaja mmenjalani IVF. Tapi katanya, pembedahan memang ada risikonya kepada janin tetapi jika tidak menjalani pembedahan, proses tersebut mungkin tetap gagal kerana tekanan kesakitan yang saya alami.
Begitulah...akhirnya usaha saya gagal kerana begitulah takdirnya dan setelah dua tahun berlalu, saya mengandung secara semulajadi. Alangkah besarnya kekuasaan Allah.