Saya percaya ramai yang telah membaca artikel 'Bahana nafsu' yang telah ditulis oleh Mohd Azis Ngah (azis@bharian.com.my ) dalam akhbar Berita Minggu semalam (19 April 2009). Melihat gambar dan membaca cerita yang disiarkan, rasa sedih kerana kes seperti yang dilaporkan bukanlah kes terpencil. Menurut pengakuan Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof seperti yang dicatatkan oleh Mohd Azis, beliau telah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998 dan rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun. Bilangan itu, bilangan yang dikendalikan oleh Kem Modal Insan Kewaja. Bagaimana pula dengan kes-kes yang kita tidak tahu, yang disembunyikan daripada pengetahuan umum malahan ada pula yang sanggup membunuh janin yang tidak berdosa sebelum rahsia mereka terbongkar?
Pada usia seperti itu, sepatutnya gadis-gadis yang masih muda belia ini sedang berlumba-lumba untuk mencari ilmu namun alangkah malangnya apabila mereka terjebak dalam masalah yang bukan sahaja mampu merosakkan masa depan mereka, malahan turut menghancurkan hati keluarga yang menaruh harapan yang besar terhadap mereka. Mereka juga telah tersasar daripada tuntutan agama yang melarang pergaulan bebas sebelum nikah.
Ramai juga yang terlibat ini terdiri daripada golongan terpelajar yang masih menuntut di IPT. Siapakah yang patut dipersalahkan dalam soal ini? Tiada ibu bapa yang sanggup membiarkan anak mereka mengikuti jalan yang salah. Namun, mampukah ibu bapa mengekori setiap langkah anak-anak mereka setiap masa? Tuntutan nafsu memang tidak mengenal siapa. Hanya iman di dada yang mampu menjadi benteng agar tidak terjerumus. Sebagai ibu bapa, kita hanya mampu berdoa dan berusaha membekalkan ilmu yang perlu agar mereka dapat menjauhi diri daripada hanyut dalam nafsu yang tidak terkawal.
Daripada pengakuan yang dipaparkan, mereka mengakui bahawa mereka hanya melakukan seks sekali sahaja sebelum menyedari bahawa mereka mengandung tanpa nikah. Saya terfikir betapa besarnya kuasa Tuhan kerana ramai antara pasangan yang berkahwin begitu sukar untuk mendapat cahaya mata sehinggakan sanggup berhabis-habisan demi usaha mendapatkan zuriat. Manakala mereka ini pula, begitu mudah mengandung sedangkan perkara itu tentu sekali tidak mereka ingini. Tentu sahaja Tuhan mengetahui, mengapa semua ini terjadi. Semoga segala yang terjadi terhadap diri mereka ini akan menjadikan mereka insaf dan berfikiran lebih matang, lebih beriman dan menghargai apa yang ada pada mereka.

No comments:
Post a Comment