Petang ini kakak menghadiri majlis pernikahan sepupu kakak. Gembira rasanya bertemu kaum keluarga kerana ada antaranya yang sudah lama tidak bertemu.
Majlis berlangsung dengan lancar. Syukur kami panjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan sekali lafaz, sepupu kakak telah menjadi seorang isteri kepada suami yang berjanji untuk menjaga dan melindunginya. Kakak doakan agar mereka hidup dalam kebahagiaan dan keimanan hingga jannah.
Dalam bersuka-ria dan riuh rendah, kakak juga bertemu dengan seorang sepupu yang sedang sarat mengandung. Syukur alhamdulillah kerana khabarnya akan menerima bayi lelaki sebulan dua lagi. Kakak juga bertemu kakak iparnya bersama anak perempuannya yang sedang meningkat dewasa. Kakak masih ingat, pada waktu dia beberapa kali keguguran hinggalah ke saat ini, zuriat yang dinanti masih belum tiba. Namun pasrah kepada ketentuannya, dia juga dapat hidup dalam keadaan yang tidak kurang bahagianya dengan orang lain. Biarpun sudah berkahwin hampir sepuluh tahun dan masih belum berkesempatan menimang cahaya mata sendiri, anak perempuan adiknya yang dipelihara sejak kecil mampu menyeri kehidupan.
Kakak faham tentang perasaan inginkan zuriat sendiri, namun setiap yang berlaku adalah ketentuannya. Kesabaran, doa dan ketabahan pastinya menghiasi kehidupan. Semoga penantiannya akan bernokhtah dengan kegembiraan dan doa kakak semoga penantiannya berakhir lebih awal daripada penantian kakak selama berbelas tahun.
No comments:
Post a Comment