Friday, December 21, 2012

Kesabaran teman kehidupan

Petang ini kakak menghadiri majlis pernikahan sepupu kakak. Gembira rasanya bertemu kaum keluarga kerana ada antaranya yang sudah lama tidak bertemu.


Majlis berlangsung dengan lancar. Syukur kami panjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan sekali lafaz, sepupu kakak telah menjadi seorang isteri kepada suami yang berjanji untuk menjaga dan melindunginya. Kakak doakan agar mereka hidup dalam kebahagiaan dan keimanan hingga jannah.




Dalam bersuka-ria dan riuh rendah, kakak juga bertemu dengan seorang sepupu yang sedang sarat mengandung. Syukur alhamdulillah kerana khabarnya akan menerima bayi lelaki sebulan dua lagi. Kakak juga bertemu kakak iparnya bersama anak perempuannya yang sedang meningkat dewasa. Kakak masih ingat, pada waktu dia beberapa kali keguguran hinggalah ke saat ini, zuriat yang dinanti masih belum tiba. Namun pasrah kepada ketentuannya, dia juga dapat hidup dalam keadaan yang tidak kurang bahagianya dengan orang lain. Biarpun sudah berkahwin hampir sepuluh tahun dan masih belum berkesempatan menimang cahaya mata sendiri, anak perempuan adiknya yang dipelihara sejak kecil mampu menyeri kehidupan. 

Kakak faham tentang perasaan inginkan zuriat sendiri, namun setiap yang berlaku adalah ketentuannya. Kesabaran, doa dan ketabahan pastinya menghiasi kehidupan. Semoga penantiannya akan bernokhtah dengan kegembiraan dan doa kakak semoga penantiannya berakhir lebih awal daripada penantian kakak selama berbelas tahun.

Friday, September 7, 2012

11 petua bantu anak hadapi peperiksaan

Sejak akhir-akhir ini, memang terasa sangat sibuk. Pada tahun ini anak sulung akan menduduki peperiksaan UPSR. Semenjak tahun lepas dah sibuk jadi pemandu tak berbayar yang berulang alik menghantar ke kelas tusyen dan sekolah. Hanya beberapa hari lagi peperiksaan UPSR akan bermula. Saya dan suami sudah mula mengatur cuti agar kami dapat memberikan sokongan dan semangat yang diperlukan oleh anak. Saat-saat akhir ini, pasti sedikit sebanyak, ada tekanan dirasainya. Oleh itu, perhatian yang lebih memang diperlukan.


Pada saat-saat akhir ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha dan selebihnya berdoa agar dia mampu memberikan yang terbaik. Teringat pesanan atau petua Dato Dr Hj. Fadzilah Kamsah untuk membantu anak menghadapi peperiksaan yang antara lainnya:-
 
1) Doa, fikir, cakap dan yakin anak akan berjaya.
2) Membentuk suasana yang tenang di rumah
3) Pengorbanan ahli keluarga dengan membantu, menemaninya sewaktu belajar dan menutup TV
4) Menyediakan getaran positif untuknya di rumah dengan mengelakkan gaduh, marah & rajuk.
5) Maaf dan doakan guru & kawan-kawan
6) Pesan kepada anak agar mengamalkan rutin harian seperti hari peperiksaan agar tidak terperanjat semasa peperiksaan.
7) Pesan anak supaya menghadap qiblat & baca surah Al Insyirah sebelum belajar
8) Ibu bapa berpuasa, solat hajat dan banyak belajar
9) Nyatakan kita redha dengan keputusannya asalkan dia sudah mencuba yang terbaik
10)Bimbing anak untuk solat taubat, hajat & istikharah untuk mudah belajar dan menjawab soalan peperiksaan
11)Sediakan air penerang hati sebagai booster kepada anak.

Bagi yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan, marilah sama-sama kita amalkan. Juga jangan lupa, kebolehan setiap anak adalah berbeza.

Sunday, May 20, 2012

Sudah lama saya tidak mengupdate blog ini. Sudah bertahun saya tinggalkan blog ini selepas membeli domain dan hosting untuk berkarya di blog. Namun begitu, sesekali saya kembali berkunjung ke sini bersama teman-teman lama yang sebahagiannya masih aktif dan maju menulis. Saya sayangkan blog ini, kerana di sini bermulanya saya menjadikan blog sebagai luahan hati tentang kehidupan sebenar.

Monday, January 30, 2012

Awan Nano Juara Lagu ke-26, Hafiz Vokal Terbaik

Dah selesai AJL ke-26. Hafiz yang membuat persembahan dengan berkaki ayam berjaya mendapat anugerah Vokal Terbaik. Lagu Awan Nano yang didendangkannya juga berjaya menjadi Juara Lagu ke-26. Lagu tersebut dicipta oleh Sifu M Nasir.

Lagu Beribu Sesalan yang dipersembahkan oleh Jac, Ning dan Shila berjaya mendapat tempat ke-2 diikuti oleh Lagu Karma yang didendangkan oleh Faizal Tahir.

Saturday, January 28, 2012

12 Lagu Hebat Bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 26

29 Januari 2012, Anugerah Juara Lagu ke-26 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil akan disiarkan secara langsung. Sebanyak 12 lagu akan dipertandingkan pada malam itu, iaitu Wanita Seluruh Dunia nyanyian kumpulan Projek Pistol, Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Sungai Lui (Aizat), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet) dan Awan Nano (Hafiz).

Selain itu, Kekanda Adinda nyanyian bersama Atilia dan Monoloque, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn Victor), Karma (Faizal Tahir), Kisah Hati (Alyah) serta Penakut dan Gadis Semasa (Yuna) juga dipertandingkan.

Kesemua lagu itu memang hebat belaka, tapi saya lebih menggemari lagu Kisah Hati, Beribu Sesalan dan Awan Nano. Lagu Sedetik Lebih pun sedap didengar, tapi saya lebih suka kalau ia dinyanyikan sendiri penyanyi asalnya Anwar Zain.

Saya malas nak tengok semasa pertandingan separuh akhir tempoh hari, tapi, berkemungkinan besar, masa siaran langsung tu, saya teringin nak menontonnya di depan TV sambil duduk-duduk makan kacang.