Hari ini, sepupu saya menelefon untuk memberitahu tentang kelahiran bayi sulungnya. Dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Saya tumpang gembira mendengar berita tersebut. Maklumlah, dulu saya dan isterinya 'S' memang sering berkongsi cerita dan perasaan. Kami berdua sama-sama lewat dikurniai zuriat. Walaupun saya yang memegang rekod paling lama kerana dia berkahwin dengan sepupu saya hampir satu dekad selepas saya mendirikan rumah tangga, kebimbangan kami sebenarnya hampir serupa. Tahun demi tahun dilalui tanpa kehadiran cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah biarpun kami cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu memikirkannya. Setiap kali bertemu, kami sering berkongsi perasaan lebih-lebih lagi setelah adik ipar saya dan kemudiannya adik iparnya yang baru sahaja berkahwin terus mendapat cahaya mata. Kami sering tertanya-tanya, masih adakah ruang bagi kami menikmati keriangan kerana mendapat penyeri dalam rumahtangga?
Kami sama-sama memotivasi satu sama lain. Apabila saya disahkan mengandung kira-kira 2 tahun yang lalu, 'S' begitu teruja untuk terus berusaha. Saya yang telah berumur ini pun masih mampu bersabar berusaha dan menanti, apatah lagi dirinya yang masih muda. Tentu sahaja peluangnya lebih cerah.
Semasa saya sarat mengandung, saya ada berkata kepadanya bahawa selepas ini gilirannya pula. Saya agak yakin jika dia terus berusaha, dia juga akan dikurniai rezeki seperti saya memandangkan usianya yang masih muda berbanding saya. Lagipun sebelum ini dia pernah mengandung beberapa bulan sebelum keguguran. Alhamdulillah, sepupu saya iaitu suaminya yang sebelum ini agak 'liat' untuk sama-sama mengunjungi doktor pun bersedia memberikan kerjasama. Selain bertemu doktor, 'S' juga telah pergi berulang-alik untuk berurut. Macam-macam lagi usaha yang dilakukannya sama seperti saya dulu, cuma dia masih belum ke tahap melakukan proses IVF.
Akhirnya, beberapa bulan selepas saya melahirkan anak, saya diberitahu yang 'S' telah mengandung. Dan akhirnya berkat kesabaran selama lebih kurang 8 tahun, 'S' telah berjaya mendapat zuriat yang dinanti-nantikannya selama ini.
Begitulah, berkat kesabaran, akhirnya kami berdua kini sama-sama telah mempunyai seorang putera, zuriat kami sendiri. Saya percaya masih ramai yang menanti untuk dikurniai zuriat sendiri. Saya tahu, kebanyakannya masih muda dan usia perkahwinan mereka masih belum begitu lama berbanding kami. Semoga kisah dan pengalaman kami menjadi pendorong buat mereka yang masih lagi menanti. Usahlah jemu berusaha dan jangan sesekali putus asa. Usah juga salahkan ketentuan Tuhan. Jika kita redha dengan ujiannya serta sering mengadu kepadaNya, Dia sentiasa mendengar doa dan keluhan kita. Dia juga pasti lebih tahu, apa dan bila masa terbaik untuk memberikan apa yang kita pinta!
alhamdulillah,
ReplyDeleteAllah maha kaya, sukanya akak baca topik kali ni.. semoga 'kakak' dan S dan keluarga masing2 berbahagia dgn kurniaan Allah ini..
Terima kasih Kak Wan. Segala yang baik daripadaNya.
ReplyDeletegugur air mata bila membaca entri ini.
ReplyDeletesangat terasa diri ini..
"Ya Allah..kuatkan semangat ku.."
yer kakak, semoga bai dimurahkan rezeki..
semoga ditabahkan hati atas penantian yang tidak tahu bila akhirnya..semoga saat bahagia itu akan tiba..
amin..
(maaf, bai sedikit emo. air mata tidak boleh ditahan...)
Kakak doakan bai tabah. Tuhan menguji kita krn dia tahu kita kuat dan boleh menghadapi ujianNya itu. Mgk dgn cara ini menjadikan kita manusia yg lebih bersyukur dan menghargai.
ReplyDelete