Friday, September 25, 2009

Hari Raya

Wah, kejap aje dah sampai hari raya ke-6. Sepanjang Syawal 1 hingga , memang sangat sibuk melayan tetamu dan mengunjungi sanak-saudara.
Tahun ini giliran kami adik beradik beraya bersama. Semua adik-beradik saya sudah berumah-tangga dan pada setiap raya mempunyai bergilir-gilir berhari raya di rumah mertua dan di rumah bapa kami.

Pada hari raya kali ini, sehari sebelumnya kami telah sama-sama pulang ke rumah bapa dan bergotong-royong membuat persediaan raya. Sibuk merendang ayam dan daging, merebus ketupat dan menantu2 bapa saya sibuk membakar lemang. Memang meriah kerana anak-anak kami semuanya turut sama diperintahkan oleh penyimpan mohor rumah, untuk membersihkan kawasan rumah walaupun mereka tu lebih banyak main daripada kerja.
Pada hari raya pertama dan kedua, tak henti-henti saudara mara datang berkunjung. Selepas sembahyang raya, kami mengadakan majlis bersalam-salaman dan meminta maaf bermula daripada ahli keluarga yang paling tua hinggalah yang paling muda. Pada masa ini, anak-anaklah yang paling seronok kerana di samping bersalam-salaman, mereka juga dihulurkan dengan duit raya. Selepas itu, sempat juga bergambar. Tapi tak boleh berlama-lama sebab belum sempat selesai, dah ada yang datang berkunjung. Nasib baik semuanya telah disediakan awal. Walaupun letih, tapi sangat seronok sebab bukannya selalu dapat berkumpul dan bertemu. Pada tahun ini, ahli keluargapun dah bertambah. Saudara-mara yang berkunjung pun bertambah ramai.

Pada petang hari raya pertama, saya ke rumah mertua. Hmmm....tetap penuh juga sebab adik beradik dan anak saudara mertua saya memang datang berkumpul di rumah itu pada hari raya pertama dan kedua.
Petang raya ke-2, balik semula ke rumah bapa saya. Kami keluar beraya beramai-ramai mengunjungi ibu saudara yang tinggal jauh sedikit daripada rumah bapa saya. Di sana pun sempat bertemu sepupu-sepupu dan ibu saudara yang lain. Meriah macam ada kenduri pulak.

Hari Raya ke 3, adik beradik saya semuanya bertolak ke rumah mertua masing-masing. Saya sekeluarga bersama keluarga mertua hanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk beraya. Semalam pula, saya sempat ke Bandar Seri Jempol dan Gemas untuk melawat ibu saudara suami saya di sana. Hmm...melalui jalan raya bukit putus, hilang glamour sebab si kecil saya berlambak-lambak muntah ke atas saya... agaknya pening kepala melalui jalan yang berlengkang-lengkok itu.

Sempat candid penjual telur itik di jalan selepas bukit putus..


Kami pulang setelah matahari lama menghilangkan diri. Hari ini, saya akan pulang ke rumah setelah hampir seminggu beraya di kampung....





4 comments:

  1. selamat hari raya kakak...

    maaf zahir dan batin dr kami sekeluarga..

    ReplyDelete
  2. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin....

    ReplyDelete
  3. salam kakak...selamat hariraya, maaf zahir batin. Best kan dapat berkumpul ramai2 adik beradik...

    ReplyDelete
  4. Salam buat mama-danish&sarah,
    Selamat Hari Raya.

    Tie,
    Selamat Berhari Raya dan Maaf Zahir Batin

    Mawar Merah,
    Memang seronok berkumpul ramai-ramai. Walaupun kecoh dengan anak2 dan anak2 saudara yang tak reti duduk diam, tapi seronok. Selamat Hari Raya.

    ReplyDelete