Showing posts with label bapa. Show all posts
Showing posts with label bapa. Show all posts

Monday, June 22, 2009

Selamat Hari Bapa

Saya dan adik beradik saya yang lain bertekad untuk pulang untuk tidur beramai-ramai di rumah bapa sempena Hari Bapa walaupun masing-masing memang banyak kekangan. Terpancar cahaya kegembiraan di wajah ayahanda bila semua anak dan cucu-cucunya berkumpul dan bermalam di rumah kecuali seorang adik saya yang terpaksa ke luar negara kerana urusan kerja. Sudah lama kami tidak bermalam di rumah bapa walaupun bukan bermakna kami bertemu dengannya. Cuma kadang-kala, kami mengambil giliran menjenguk bapa ataupun beliau yang berkunjung ke rumah kami.


Kami juga sempat memasak dan membaca doa selamat sempena Hari Bapa dan kebetulan pula dua org anak saudara saya menyambut ulang tahun mereka minggu ini. Bapa saya yang tidak begitu sihat kerana mengalami batuk-batuk seminggu yang lepas kelihatan sihat dan bertenaga bila cucu-cucunya pulang. Rumah yang sepi begitu riuh. Walaupun pening melayan kerenah hero-hero dan heroin-heroin kecil yang sentiasa saja ada benda nak digaduhkan, tetapi meriah. Bapa saya memang seorang yang sangat penyabar. Semenjak kecil, jarang sekali saya mendengar suaranya ditinggikan walaupun kami membuat sebarang kesilapan. Namun kami bimbang untuk melakukan sesuatu yang boleh membuatkan beliau marah. Bapa juga tidak pernah lokek berbelanja untuk kami. Setiap kali cuti, kami sekeluarga akan dibawa bercuti. Begitu juga jika kami adik beradik ingin makan sesuatu yang sukar ditemui di kawasan yang berhampiran, beliau tidak kisah membawa kami walaupun jauh. Sewaktu saya dan adik-adik tinggal di asrama, beliau merupakan orang yang tidak pernah jemu menjenguk kami pada hujung minggu.



Kasihnya ayah, membawa ke syurga.....
Selamat Hari Bapa kepada semua yang bergelar bapa.