Dia hadir dalam hidup saya bagaikan cahaya rembulan yang mencerahkan kegelapan malam. Ketika salah seorang sepupu saya menanyakan saya sama ada saya inginkannya, saya memang terus menjawab mahu. Saya terus ke hospital bersalin beberapa jam selepas dia dilahirkan. Dia diserahkan kepada saya oleh ibunya yang mengalami masalah rumahtangga. Semenjak itu, saya dan suamilah yang menjadi ibu dan bapanya.
Dia tidak pernah merasai susu ibunya kerana ibunya memang tidak mahu langsung menyusukannya. Namun, kuasa Tuhan, iaitu sebulan selepas itu, adik saya yang baru bersalin bermurah hati untuk mengizinkan dia menjadi anak susuannya.
Saya dan suami memang amat menyayanginya. Kalau tidak mengenangkan hukum Tuhan, mahu sahaja kami menukar nama ibu bapanya dengan nama kami. Dialah penghibur, dialah belahan hati kami. Sehinggakan keluarga saya benar-benar lupa yang dia bukanlah anak kandung saya. Ketika saya dikurniakan anak kandung, jauh di sudut hati saya, saya berdoa agar saya tidak akan membeza-bezakan mereka berdua. Alhamdulillah, saya fikir setakat ini saya dan suami memang telah berjaya mendidiknya sedaya upaya kami. Segala yang terbaik telah cuba kami berikan kepadanya. Bermula daripada kasih sayang, makan pakai dan pendidikan. Sebab itu saya tidak pernah menceritakan tentang dia di blog ini sehingga hari ini. Saya tidak tahu bagaimana unttuk bercerita tentangnya sedangkan sejak awal lagi, kisah saya berkisar tentang kejayaan saya memperoleh anak kandung selepas berbelas tahun menanti.
Walaupun ada antara keluarga dan kenalan yang mengetahui kisah ini, namun ramai juga yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap bahawa dia ialah anak sulung saya dan saya sangat menginginkannya begitu. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapapun tahu bahawa dia bukanlah anak kandung saya kerana di dalam hati saya dan suami, dia memang anak kami sama seperti si kecil saya.
Hari berlalu dan dia semakin dewasa. Saya tahu, saya tidak akan mampu menyembunyikannya sampai bila-bila. Namun saya amat bimbang, bagaimanakah penerimaannya. Oh...bagaimanakah cara terbaik untuk saya berterus-terang. Saya mahu dia tahu bahawa saya, lebih-lebih lagi suami amat menyayanginya. Malahan, saya dapat merasakan bahawa suami saya lebih mengutamakan dia dalam segala segi memandangkan dia anak sulung. Saya memang benar-benar dalam dilema....


