Thursday, June 11, 2009

Sedangkan Lidah Lagi Tergigit

Sedutan lagu Allahyarham P.Ramlee ini didendangkan oleh seorang pembicara yang memperkatakan tentang tips membina keluarga bahagia. Tertarik saya dengan satu daripada topik yang dibincangkan iaitu cara mengatasi kemarahan atau rasa tidak puas hati pasangan kita sama ada bagi yang sudah berkahwin ataupun sedang bercinta.


Saya tahu, kita semua pasti mengakui bahawa setiap pasangan mesti pernah mengalami pertengkaran atau perselisihan faham. Tak tahulah pulak kalau memang ada yang tak pernah langsung mengalami sebarang perselisihan? Mungkin kebanyakan kita tidak pernah mengalami perselisihan faham atau pertengkaran yang terlalu serius sehingga boleh menjadi bencana dalam perhubungan. Namun, walau sekecil manapun api sesuatu pertengkaran atau perselisihan itu, ia mesti cuba diatasi, kerana jika tidak ia mungkin boleh menjadi api yang marak dan memusnahkan sesuatu perhubungan sama ada ikatan perkahwinan ataupun percintaan. Bagaimanakah cara nak atasinya?


Saya cuba catatkan beberapa perkara yang telah diperkatakan semoga dapat dikongsi bersama.

1. Buat apa yang dia suka
Kalau pasangan kita sedang marah, pastilah ada sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya. Jadi, cubalah fikirkan apa yang disukainya dan buatlah perkara tersebut tanpa disuruh.

2. Biarkan dia sendirian
Mungkin pasangan kita bukan merupakan seorang yang mudah dipujuk. Jadi, biarkan dia bersendirian buat seketika.

3. Tinggalkan pesanan secara bertulis
Seseorang yang sedang marah mungkin boleh mengeluarkan kata-kata yang akan melukakan hati. Oleh itu, untuk mengelakkan daripada terus bertengkar, tinggalkan pesanan secara bertulis sama ada unuk meminta maaf atau memberitahu tentang perasaan kita kepadanya.

4. Bantuan orang yang paling hampir atau disayanginya
Kita mungkin boleh meminta bantuan orang lain yang paling rapat atau yang paling disayanginya. Orang tersebut mungkin boleh menjadi orang tengah kepada masalah yang dihadapi.

5. Sediakan keperluan
Pastikan segala keperluannya disediakan seperti biasa. Hal ini boleh menyebabkan pasangan terharu atau hatinya akan menjadi lembut dan melupakan persengketaan yang dihadapi.

6. Cuba berbicara selepas satu atau dua jam
Kebiasaannya, semakin lama, darjah kemarahan akan semakin berkurangan. Cuba menangguhkan perbicaraan sewaktu masing-masing sedang marah, sebaliknya tunggu selepas beberapa ketika dan cuba berbincang semula.

Lain orang lain ragam. Kadang-kala apa yang baik untuk orang lain belum tentu baik untuk kita. Jadi pandai-pandailah menyesuaikan keadaan dengan setiap tindakan kita. Moga setiap hubungan yang terjalin akan berpanjangan dan berkekalan.

Friday, June 5, 2009

Tag dari Buntalz

Kali pertama diberitahu yang saya ditag oleh seorang teman blogger, berpeluh juga saya nak fikir tag tu macam mana dan apa yang nak ditulis. Lepas baca soalannya, saya ambil keputusan untuk jawab apa yang terlintas di fikiran saya. Jadi, ini jawapannya ya buntalz ............






1) Letakkan gambar profil anda.




Gambar ni merupakan gambar profil saya.



2. Terangkan maksud gambar itu.


Wanita dan bunga memang tidak dapat dipisahkan. Kelopak bunga memang mempunyai daya penarik sama seperti seorang wanita yang ada misterinya yang tersendiri. Bebunga yang meliputi stigma pada bunga itu menjadikan bunga mempunyai fungsinya yang sangat penting.

3. Kenapa pilih gambar itu?


Gambar bunga ini seperti mempunyai daya penarik beserta misterinya. Saya juga tertarik dengan keindahan seni fotografinya kerana saya memang kurang ilmu dalam bidang otografi ini hinggakan saya sangat suka melihat gambar ini dan meletakkannya sebagai hiasan laptop saya. Lalu apabila saya mula menceburi bidang blogger ini saya terus menjadikannya sebagai gambar profil saya. Lagipun mudah, sebab dah ada dalam laptop saya. (itu logiknya)


4. Tag 5 lagi blogger


Semua yang ada dalam senarai saya dah kena tag. Jadi, saya tidak tahu nak tag sesiapa.. Kalau ada sesiapa yang sukarela nak jawab, 'kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan'.



Thursday, June 4, 2009

Kembali

Rabu


Pagi

Ke kolam. Mandi-manda.



Tengah hari


Mengelilingi Pulau Langkawi. Bermula dengan Telaga Habour. Cantik pemandangan dan dalam hati berkata juga bilalah cik abang saya ni nak hadiahkan saya sebuah kapal persendirian bila terpandangkan sebuah kapal layar yang ditulis dengan nama saya. Hehehe...berangan ajalah konon-kononnya kapal tu saya punya.



Pergi ke arah Teluk Datai. Singgah sebentar di Muzium Kesenian Ibrahim Hussein Langkawi. Bangunannya nampak tidak menarik tapi karya yang dipamerkan mengkagumkan pada pandangan mata saya.




Lewat petang, sempat shopping dulu. Oh wanita dan shopping memang tidak dapat dipisahkan.



Malam


Terbang pulang ke Kuala Lumpur.

Wednesday, June 3, 2009

Cuti-cuti Malaysia...Part 2


SELASA

Pagi

Sejuk. Tak jadi ke tepi kolam madi awal-awal seperti yang dirancang walaupun Si Kecil tu dah bangun pagi. Dijemput oleh shuttle, sarapan pagi dan bersiar-siar di tepi kolam. Bawa si kecil tu mandi kolam, tapi dia takut pula bila diletakkan atas pelampung bayi tu. Sekejap aja di kolam, kemudian bersiar-siar di tepi pantai.



Tengah hari

Balik ke bilik. Siap-siap dan panggil shuttle lagi untuk ke parking lot.



Keluar makan di sebuah kedai makan ikan bakar berhampiran Beras Terbakar. Ramai orang. Lauk banyak tapi banyak juga yang habis sebab ramai orang makan di situ.
Melawat ke Makam Mahsuri dan membaca sejarah kedatangan keluarga Pandak Mayah hingga kisah pembunuhan Mahsuri. Terbuai sebentar. Sedih sebab dari dulu hingga kini Melayu dan fitnah tak boleh dipisahkan hingga membawa bencana.


Selepas itu ke Underwater World Langkawi. Seronok melihat ikan, peguin dan pelbagai hidupan air yang cantik menawan.


Malam

Balik ke bilik. Semua orang dah letih.








Monday, June 1, 2009

Cuti-cuti Malaysia

Ahad malam


Saya dan keluarga sampai di Lapangan Terbang Langkawi. Sengaja bercuti kerana kebetulan suami pun telah memohon cuti. Si Kecil nampaknya seronok saja walaupun masa nak mendarat tu adalah merengek sekejap mungkin telinganya sakit.

Sedang menunggu penerbangan ke Langkawi


Segalanya telah tersedia awal dan selepas mendapat kereta yang disewa selama kami berada di sini, kami pun ke hotel penginapan yang terletak berhampiran lapangan terbang itu untuk malam ini sahaja.




Isnin


Pagi agak berkabus. Sempat juga jalan-jalan seketika di sekitar hotel yang terletak di tepi pantai ini.





Setelah menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak hotel, sempat juga meronda sebentar di sekitar pekan Kuah.



Pada waktu tengah hari, pulang ke hotel dan check-out. Kemudian, ke Padang Masirat untuk melawat kawasan Beras Terbakar. Daripada tempat parkir kereta, ada banyak gerai yang menjual pakaian, cenderamata, dan minya gamat. Sempat juga menyinggah sebentar untuk membeli sedikit buah tangan.




Kawasan Beras Terbakar itu ada sedikit sahaja perubahan daripada kali terakhir saya datang ke sini dua tahun lepas.


Selepas melawat, kami bersiar-siar sekitar kawasan yang berhampiran. Pada sebelah petang, sempat juga ke pekan Kuah semula sebelum menuju ke arah Pantai Kok untuk daftar masuk ke hotel. Tidak berapa jauh daripada kawasan hotel, Gunung Mat Cincang iaitu salah satu tempat tumpuan pelancong yang menaiki kereta kabel.




Setelah mendaftar dan menikmati welcome drink di cafe yang terletak di lobi hotel, kami dihantar oleh shuttle. Kereta persendirian memang tidak dibenarkan memasuki kawasan resort dan semua yang menginap di sini terpaksa bergantung kepada perkhidmatan shuttle ini untuk ke mana-mana di sekitar resort ini. Tetapi kami tak perlu bimbang sebab banyak shuttle disediakan dan cuma perlu angkat telefon dan sebentar kemudian, sampailah mereka.




Selepas makan malam, kami hanya berada di bilik sahaja. Si kecil pun dah letih. Esok, rancangan telah diatur dan saya harap dapat update lagi.