Monday, July 13, 2009

Jejak bertapak

Hari ini si kecil saya mula menapak beberapa langkah tanpa berpaut kepada sesiapa. Sebelum ini dia memang telah mula menapak, tetapi mungkin kerana masih kurang yakin, dia akan cepat-cepat menjatuhkan diri atau mencari tempat berpaut. Seronok hati saya bila melihat dia sudak mula melangkah. Risau juga kerana dalam usia setahun dua bulan dia masih tidak mampu berjalan sendiri. Tapi, ada pula teman-teman yang berkata, tak perlu risau dan tak perlu dipaksa kerana dia akan berjalan sendiri mengikut kehendaknya. Dan alhamdulillah, si kecil saya dah mula berjalan sendiri biarpun masih belum jauh jalannya.


Lepas ni, nampaknya saya kena bersedia pulalah nak mengawal dia kerana pastilah lebih lasak. Sedangkan semasa belum boleh berdiri sendiri dulupun dah mula memanjat, apatah lagi dah dapat kaki ni.

Semasa suami menelefon petang dan malam tadi, saya lupa pula hendak mengkhabarkan kepadanya. Sejak semalam, suami saya telah pergi berkursus. Wah, si kecil ini menanti bapanya tiada di rumah sebalum menunjukkan skilnya, sesuailah tu...nak menunjukkan ciri-ciri berdikari kerana bila bapanya tiada dia dah boleh berdiri dan berjalan atas kaki sendiri.

Kenduri lagi

Hujung minggu ni memang sibuk betul. Terasa begitu cepat masa berlalu dan minggu baru muncul lagi. Banyak betul jemputan ke majlis-majlis yang saya perlu hadiri pada hujung minggu. Kalau berterusan begini, seratus persen mesti naik berat ni kalau ditimbang.


Saya perlu menghadiri majlis tahlil, majlis kenduri doa selamat, kenduri kahwin dan kenduri kesyukuran serta majlis Aqiqah. Majlis Aqiqah menyambut anak saudara baru saya diadakan semalam. Tetapi saya hanya dapat hadir sebentar kerana terpaksa menghadiri majlis kenduri yang lain. Tambahan pula saya terpaksa menyediakan persiapan suami yang terpaksa ke luar daerah kerana tugasnya.



Terasa bersalah juga tak mampu menolong persiapan kenduri tetapi syukurlah sebab segalanya disediakan oleh perkhidmatan katering termasuk memasak nasi beriani yang di masak bersama kambing. Hem...memang saya makan banyak juga sebab kuih muih dan bubur yang disediakan pun enak-enak belaka.



Saya terlupa nak ambil gambar nasi beriani kambing tu sebab sibuk sangat makan... >

Tuesday, July 7, 2009

Maaf ya.. (Wajah Manusia II)

Saya baru sedar yang entri saya sebelum ni tak ada kena-mengena dengan taju entri tu. Sebenarnya masa saya menulis tajuk tu, saya sedang terfikir untuk berkongsi tentang sesuatu. Tetapi entah bagaimana, tiba-tiba saya kehilangan idea.

Saya memang tak berapa pandai bercerita. Lebih-lebih lagi kalau cerita itu melibatkan perasaan orang lain. Bimbang, ntah-ntah saya terumpat pulak. Akhirnya, langsung pulak tak jadi cerita. Namun disebabkan saya dah terlepas tajuk tu, saya rajinkan juga diri menulis tentangnya.
Hari ini, seorang adik (bukan adik kandung) bercerita tentang kekecewaannya terhadap seorang insan yang pada mulanya ingin berkongsi hidup dengannya. Setiap orang pasti mengharap kehidupan yang lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Namun siapalah kita yang mampu menentukannya?

Saya pernah menasihatinya agar tidak terlalu percaya kepada seseorang. Entah mengapa, sejak saya tahu dia berkawan dengan lelaki itu, hati saya seperti berkata sesuatu. Mungkin pengalaman hidup memungkinkan saya membaca serba sedikit tingkah manusia. Apa yang dipamerkan pada awal pekenalan tidak semestinya menggambarkan wajah sebenarnya. Kenapa wajah manusia boleh berubah-ubah? Sudah menjadi sifat manusia, sukakan yang baik-baik dan indah-indah sahaja. Sebab itu, kadang-kala, setiap orang cuba untuk mempamerkan wajah yang baik-baik dan indah-indah itu dan menyembunyikan yang lain selagi terdaya.
Saya bukanlah pandai sangat 'membaca' hati orang. Saya juga tidak mempunyai ilmu psikologi untuk mengenal dan membantu orang lain. Tetapi saya memang ikhlas menasihatinya kerana saya mengenalinya agak lama. Saya tahu, bukan semua manusia ikhlas berkawan dengan kita. Ada yang hanya manis di bibir, namun kelingking berkait...
Nampaknya, kebimbangan saya berasas. Hari ini dia menyedari bahawa apa yang saya pernah nyatakan adalah sesuatu yang berasas. Tetapi saya tidak boleh membantunya, kerana hanya dia sendiri yang boleh membantu dirinya. Saya harap dia sudah kenal akan wajah manusia yang mudah berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan.


Wajah Manusia

Entah mengapa sejak kebelakangan ini terlalu payah mencari masa untuk update entri di blog ini. Selain masalah internet yang bagai siput sedut yang terengsot-engsot untuk mencari laman yang dikehendaki sampaikan nak menziarahi blog kawang-kawan dan meninggalkan komenpun berjam-jam lamanya, tugasan yang bertimbun nak diselesaikan bagaikan bertimpa-timpa datangnya.
Ada masanya, berkobar-kobar semangat nak menulis, tapi baru aje nak publish atau save, tak kesampaian. Bilalah agaknya talian nak pulih seperti dulu. Rasanya, dalam sebulan ni masalah ni ketara timbulnya. Tak pastilah bagi orang lain, tetapi itulah yang saya alami. Agaknya dah terlalu sesak talian. Maklumlah, sekarang ni hampir semua orang dah pandai berblog. Daripada anak kecil yang dah mengenal IT sehinggalah yang dah beranak cucu. Nampaknya, matlamat kerajaan nak mewujudkan masyarakat berilmu yang celik IT memang dah tercapai...... jadi, harap-harap biarlah seiring dengan perkembangan talian yang lebih cepat dan pintar untuk menampung keperluan ini.....walaupun sekarang ni dah ada pelbagai pilihan untuk online.

Wednesday, July 1, 2009

Buah hati ibu


Saya mendapat seorang lagi anak saudara. Adik perempuan saya yang pernah saya ceritakan tentang berita kehamilannya dulu selamat melahirkan bayi seberat 3.3kg kelmarin. Adik saya telah mempunyai 3 orang anak perempuan dikurniai seorang anak lelaki. Tentu sahaja kegembiraan berganda apabila mendapat bayi yang sihat dan sempurna. Saya sempat juga mencuri sedikit masa untuk menziarahi adik dan anak saudara baru saya ini di hospital.

Tahniah buat adikku dan suaminya.