Thursday, August 18, 2016

Kembali Bertemu

Mencari Pokemon atau Pokemon Go bukanlah sebab saya lama menyepi daripada dunia maya yang amat saya senangi ini. 


Salam mesra. Lebih 3 tahun saya menyepi daripada dunia blogging. Syukur alhamdulillah, blog ini masih ujud, masih ada pengunjungnya. Setelah sekian lama menyepi, memang sukar hendak membersihkan sesawang yang terlekat di sini. Namun begitu, minat yang dipamerkan oleh anak yang meningkat remaja terhadap dunia blogging membuka kembali pintu hati untuk terus berkongsi cerita dan pengalaman di sini.


Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan, tetapi akhirnya terdiam sendiri apabila tidak tahu hendak bermula di mana. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit, saya akan terus mewarnai semula blog yang semakin pudar warna ini.

Sampai jumpa lagi. 

Sunday, January 6, 2013

Perasaan Wanita Istimewa

Salam mesra. Hari ini saya berpeluang blogwalking ke berapa blog yang follow blog ini. Antaranya blog Zuriat Impian . Saya tersentuh membaca luahan hati penulis blog ini. Saya faham, setiap pasangan berumahtangga impikan zuriat sendiri.

Saya sungguh memahami perasaan mereka yang senasib dengan saya suatu ketika dahulu  sebagaimana yang pernah saya ceritakan dalam entri ini. Saya berharap mereka terus menjadi wanita yang tabah dan tidak mengenal putus asa. Hidup ini memang satu perjuangan. Dalam dunia perubatan yang semakin berkembang, banyak kemudahan dan peluang yang terbuka luas buat golongan seperti kita. Juga, teruskan berdoa dan mengharap kepada Allah yang maha berkuasa kerana tiada siapa yang boleh menandingi kehebatanNya.
 
Membaca luahan perasaan insan wanita yang istimewa ini, saya berazam untuk terus berkongsi pendapat, pengalaman, pengetahuan yang sedikit itu agar mereka yang senasib dengan saya ini turut dianugerahi permata dalam kehidupan mereka. Mungkin selama ini saya lalai dengan anugerah yang dikurniakan olehNya. Saya berharap akan terus diberikan kekuatan dan kesempatan masa untuk berkongsi, sekurang-kurangnya berkongsi perasaan dengan semua wanita istimewa yang ada di sekeliling saya, walaupun tanpa bersua wajah.

Wednesday, January 2, 2013

Jadual Persekolahan 2013 untuk Anak-anak

Salam mesra. Perkongsian Jadual Persekolahan bagi Tahun 2013.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan bagi sekolah-sekolah di seluruh Malaysia kecuali Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pastinya terdapat pelbagai pengalaman yang mencuit hati terutama bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak-anak ke sekolah.

Sebagai rujukan untuk merancang hari persekolahan dan cuti, jom kita lihat Jadual Hari Persekolahan termasuk cuti am bagi Penggal Persekolahan 2012 di sini. (sumber :- kabinet.gov.my)  



Friday, December 21, 2012

Kesabaran teman kehidupan

Petang ini kakak menghadiri majlis pernikahan sepupu kakak. Gembira rasanya bertemu kaum keluarga kerana ada antaranya yang sudah lama tidak bertemu.


Majlis berlangsung dengan lancar. Syukur kami panjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan sekali lafaz, sepupu kakak telah menjadi seorang isteri kepada suami yang berjanji untuk menjaga dan melindunginya. Kakak doakan agar mereka hidup dalam kebahagiaan dan keimanan hingga jannah.




Dalam bersuka-ria dan riuh rendah, kakak juga bertemu dengan seorang sepupu yang sedang sarat mengandung. Syukur alhamdulillah kerana khabarnya akan menerima bayi lelaki sebulan dua lagi. Kakak juga bertemu kakak iparnya bersama anak perempuannya yang sedang meningkat dewasa. Kakak masih ingat, pada waktu dia beberapa kali keguguran hinggalah ke saat ini, zuriat yang dinanti masih belum tiba. Namun pasrah kepada ketentuannya, dia juga dapat hidup dalam keadaan yang tidak kurang bahagianya dengan orang lain. Biarpun sudah berkahwin hampir sepuluh tahun dan masih belum berkesempatan menimang cahaya mata sendiri, anak perempuan adiknya yang dipelihara sejak kecil mampu menyeri kehidupan. 

Kakak faham tentang perasaan inginkan zuriat sendiri, namun setiap yang berlaku adalah ketentuannya. Kesabaran, doa dan ketabahan pastinya menghiasi kehidupan. Semoga penantiannya akan bernokhtah dengan kegembiraan dan doa kakak semoga penantiannya berakhir lebih awal daripada penantian kakak selama berbelas tahun.

Friday, September 7, 2012

11 petua bantu anak hadapi peperiksaan

Sejak akhir-akhir ini, memang terasa sangat sibuk. Pada tahun ini anak sulung akan menduduki peperiksaan UPSR. Semenjak tahun lepas dah sibuk jadi pemandu tak berbayar yang berulang alik menghantar ke kelas tusyen dan sekolah. Hanya beberapa hari lagi peperiksaan UPSR akan bermula. Saya dan suami sudah mula mengatur cuti agar kami dapat memberikan sokongan dan semangat yang diperlukan oleh anak. Saat-saat akhir ini, pasti sedikit sebanyak, ada tekanan dirasainya. Oleh itu, perhatian yang lebih memang diperlukan.


Pada saat-saat akhir ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha dan selebihnya berdoa agar dia mampu memberikan yang terbaik. Teringat pesanan atau petua Dato Dr Hj. Fadzilah Kamsah untuk membantu anak menghadapi peperiksaan yang antara lainnya:-
 
1) Doa, fikir, cakap dan yakin anak akan berjaya.
2) Membentuk suasana yang tenang di rumah
3) Pengorbanan ahli keluarga dengan membantu, menemaninya sewaktu belajar dan menutup TV
4) Menyediakan getaran positif untuknya di rumah dengan mengelakkan gaduh, marah & rajuk.
5) Maaf dan doakan guru & kawan-kawan
6) Pesan kepada anak agar mengamalkan rutin harian seperti hari peperiksaan agar tidak terperanjat semasa peperiksaan.
7) Pesan anak supaya menghadap qiblat & baca surah Al Insyirah sebelum belajar
8) Ibu bapa berpuasa, solat hajat dan banyak belajar
9) Nyatakan kita redha dengan keputusannya asalkan dia sudah mencuba yang terbaik
10)Bimbing anak untuk solat taubat, hajat & istikharah untuk mudah belajar dan menjawab soalan peperiksaan
11)Sediakan air penerang hati sebagai booster kepada anak.

Bagi yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan, marilah sama-sama kita amalkan. Juga jangan lupa, kebolehan setiap anak adalah berbeza.