Saturday, February 14, 2009

Sebuah cerita lama

Semalam saya berkunjung ke laman Nuriman. Terbaca catatan Dek Na tentang kesedihannya waktu seorang kawan mengatakannya mandul. 'Mandul' maksudnya menurut Kamus Dewan ialah tidak boleh beranak. Sesiapapun akan berasa sedih jika dikatakan mandul.
Saya faham sangat perasaan seorang wanita bila dia dikatakan mandul. Kadang-kala ada orang yang bercakap mengikut sedap mulut tanpa memikirkan perasaan orang lain. Mereka menganggap perkataan itu hanya perkataan biasa, tanpa mengetahui bahawa bagi seseorang yang masih belum mempunyai anak, perkataan itu dapat menerbitkan perasaan sedih yang amat mendalam. Lebih sakit daripada dihiris belati yang tajam.
Saya pernah mengalami pengalaman yang dilalui oleh Dek Na itu bertahun-tahun lamanya. Dan peristiwa itu masih tidak mampu terpadam daripada minda saya, walaupun kini saya telah dikurniai seorang anak yang menjadi permata hati dalam kehidupan saya. Peristiwa itu terjadi semasa saya menanti bapa saya di Masjid Negeri kerana menghadiri kursus haji di sana. Pada waktu itu, saya baru selesai daripada menunaikan solat dzuhur. Suami telah menanti di dalam kereta dan ibu saudara, nenek dan bapa saya serta beberapa orang wanita yang merupakan orang kampung saya sedang menanti di hadapan Masjid Negeri. Saya bersalaman dengan mereka. Pada waktu itulah, salah seorang daripadanya bertanyakan saya ini anak yang mana? Ibu saudara saya memperkenalkan saya. Lalu wanita itu tanpa mempedulikan orang ramai yang ada di hadapan masjid itu terus menyatakan,
"Oh, inilah anak ..... yang mandul tu!"
Semua yang ada di situ terdiam. Mungkin yang lain itu faham perasaaan saya ketika itu. Saya cuma tersenyum paling manis, sedangkan di dalam hati, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sebenarnya, saya boleh menerima apa sahaja kata-kata wanita itu, tetapi saya sangat sedih terpandangkan muka suami saya yang 'agak berubah' pada masa itu kerana beliau berada di dalam kereta yang berhampiran tempat kami berada itu.
Dan kini, apabila saya telah mempunyai anak, ingin sangat saya bertemunya dan membawa anak saya sambil memberitahunya perasaan saya, namun saya fikir, tak perlulah saya mengambil kisah tentang apa yang telah terjadi bertahun-tahun lalu. Betul kata orang, mudah sangat untuk memaafkan, tetapi amat sukar untuk melupakan! Saya telah lama memaafkannya, namun kata-katanya itu tidak pernah saya lupakan!
Saya tahu, ramai wanita yang masih belum dikurniai zuriat mengalami peristiwa yang saya dan Dek Na hadapi. Mungkin ada yang lebih hebat daripada itu. Semoga kita semua tabah menghadapinya dan kita akan berhati-hati dengan tutur-kata kita. Semoga kita dijauhi daripada berbicara tanpa berfikir.

4 comments:

  1. Mmg masaalah manusia ni kekdg mulut dah terlepas baru nak berfikir.. Sedap2 mengata org mandul..

    Tuhan tahu apa yg Dia ada in store utk hambaNya.. BELUM dikurniakan anak tak patut dijadikan sebab utk merasa rendah diri.. Berusaha je.. Selebihnya mmg hak Yang Di Atas Sana nak memberi ataupun tidak..Yg dah diberi pun kekdg diambil balik, kan? Hak Dia..

    Sorang adik Kja, 4 thn kawin baru mengandung.. Tapi dlm masa 9 thn, dia dpt 5 anak, including a pair of twins!!

    ReplyDelete
  2. Ya Kak Ja, Tuhan sentiasa tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. Segala ujian yang pernah diberikanNya kepada kita seringkali menjadikan kita lebih kuat dan mensyukuri segala nikmatNya.

    ReplyDelete
  3. Yalah kakak...senangnya nak kata kita mandul. Cuba baca kisah isteri Nabi Allah Ibrahim Alaihi salam. Biarpun sudah berusia tetapi masih mampu hamil. Saya sedih kalau ada orang labelkan perkataan mandul..tak kiralah gelaran itu utk isteri atau suami..kalau boleh perkataan tu tak nak sebut langsung..menyakitkan...semuanya kuasa Allah kalau Allah kata Kun Jadilah maka tak mustahil esok lusa pasti Allah makbulkan juga segala permintaan hambaNYA...

    ReplyDelete
  4. Kakak pun tak tahu bagaimana seseorang itu tergamak mengeluarkan kata-kata seperti itu. Tak tahu langsung nak jaga perasaan orang lain. Tapi iyalah, memang ada manusia yang suka bercakap sesedap rasa. Macam Kak Ja katakan tu, mulut dah lepas baru nak fikir.

    ReplyDelete