Showing posts with label pengorbanan. Show all posts
Showing posts with label pengorbanan. Show all posts

Friday, May 15, 2009

Kau cahaya di hatiku

16 Mei ialah Hari Guru. Saya tiba-tiba rasa nak tulis tentang Hari Guru sebab saya diberitahu yang mantan guru saya telah dimasukkan ke hospital. Sempena Hari Guru, saya dan beberapa orang rakan telah merancang untuk melawat beliau.

Guru ini ialah guru darjah saya sewaku saya mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Beliau agak garang orangnya dan sebagai anak kecil, kami semua memang takut walaupun hanya mendengar suaranya. Tetapi dialah antara guru yang paling saya ingat kerana dia guru pertama saya.
Saya masih terbayang-bayang gayanya yang bertocang dua walaupun semasa saya bertemunya pada waktu saya masih menuntut di universiti, beliau telahpun bertudung. Beliau memang sangat garang dan tegas. Namun saya tahu, para pelajarnya tidak pernah ambil hati dengan cara beliau itu. Bukan hanya beliau, malahan hampir semua guru saya memang tegas-tegas belaka. Tapi, saya masih ingat pesanan ibu bahawa jika guru marah, tandanya dia menyayangi kita. Jika tidak, pasti dia biarkan sahaja kita. Justeru, saya tahu, guru-guru saya memang sayangkan semua anak murid mereka. Saya bersyukur kerana mempunyai guru-guru yang tegas dan mahu memberikan tunjukajar jika saya tersilap langkah. Jika bukan dengan ketegasan itu, mungkin kami tidak akan menjadi 'orang'. Setiap kali bertemu dengan teman-teman lama, nama beliau memang sering bermain di bibir kami. Kata orang, hati terkenang mulut menyebut.
Saya ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru (termasuk pensyarah) yang pernah menitiskan ilmu buat saya. Saya tahu, saya tidak mungkin dapat membalas semua jasa guru-guru saya ini namun doa saya, semoga mereka semua dilindungiNya. Terima kasih Cikgu! Kau tetap bercahaya di hatiku buat selamanya....

Monday, March 9, 2009

Hujung Minggu


Hujung minggu kali ini agak panjang kerana bersambung dengan cuti Maulidur Rasul pada hari ini. Sepanjang cuti hujung minggu, saya banyak menghabiskan masa di luar rumah. Saya berkesempatan berkunjung ke utara menziarahi anak sulung sepupu saya 'S' yang pernah saya ceritakan dalam entri 'Kesabaran Yang Terbalas' sebelum ini. Saya pernah bercerita tentang kesabaran kami menanti cahaya mata pertama bertahun-tahun lamanya. Saya agak lewat menziarahinya, namun kehadiran kami sekeluarga disambut 'S' dan babynya dengan hujan renyai-renyai.

Seronok sungguh saya sewaktu dapat bertemu dengan 'S'. Melihat raut wajahnya, saya tahu yang 'S' walaupun masih dalam tempoh berpantang, begitu ceria dan bahagia sekali. Bukan sedikit dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuh, namun itulah kehidupan. 'S' sempat bercerita dengan saya pengalamannya sepanjang mengandung dan dia juga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji beberapa bulan sehingga kandungannya stabil kerana bimbang keguguran yang pernah dialami tidak berulang.

Begitulah pengorbanan dan kesungguhan untuk mendapat zuriat sendiri. Dan alangkah malangnya bagi mereka yang telah dikurniai zuriat dengan mudah tapi mencampakkannya sesuka hati.