Saturday, October 17, 2009

Cerita biasa

Pada hari Deepavali ini, saya cuma duduk di rumah. Lama tak update blog. Ada juga sesekali datang tapi cuma sempat jenguk dan berkunjung membaca blog teman2 tapi selalunya tak sempat tinggalkan komen. Tugasan sentiasa bertimbun dan tidak pernah berakhir. Tambah pula menguruskan rumahtangga dan anak-anak menjadi agenda penting. Tidak lama lagi si abang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Tidak lama lagi penerbangan pertama jemaah haji akan berangkat ke tanah suci. Pada masa ini, memang banyak jemputan untuk ke majlis kenduri saudara mara dan rakan-rakan yang akan menunaikan haji. Hmmm....mengingatkan kenangan menunaikan umrah di sana pun memang menarik. Memang terasa ingin lagi mengunjungi rumah-Nya itu. Doa semoga Allah segera memakbulkan impian untuk ke sana lagi dalam jangka waktu terdekat.

Selain itu, marilah kita sama-sama doakan semoga Allah memberikan pelindungan dan kemudahan pada semua jemaah yang berpeluang menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

Sunday, October 11, 2009

Berehat Sebentar

Selepas lama bercuti raya, banyak kerja menanti. Pada tahun ini, saya belum berpeluang mengadakan rumah terbuka walaupun banyak soalan daripada teman-teman yang menanyakan tentang rumah terbuka saya. Saya katakan bahawa, rumah saya sentiasa terbuka untuk tetamu sepanjang bulan syawal ini.

Pada minggu lepas, si kecil saya tidak sihat. Pada mulanya hanya saya yang mengalami selsema. Selepas beberapa hari, dia pun turut sama. Kumannya dijangkiti daripada saya agaknya. Tambahan pula pada musim raya ini, apa yang kami makan, semuanya dia hendak juga. Saya hanya selsema, tetapi pada hari ke-2 dia mengalami tanda-tanda akan mendapat batuk namun menurut doktor dia tidak menghidap demam.. Syukur juga abangnya tak ada apa-apa. Saya tidak menunggu lama untuk mendapatkan rawatan. Dan nampaknya dia telah sembuh sepenuhnya.

Selepas ini, saya akan berada jauh dari komputer untuk sedikit masa, mungkin seminggu dua kerana banyak perancangan kerja yang perlu diberikan tumpuan. Namun saya harap saya akan berpeluang menjengok blog kawan-kawan semua.

Saturday, October 3, 2009

Raya lagi

Sudah hampir 2 minggu memasuki syawal, masih berkisar tentang raya.
Minggu lepas sibuk dengan kerja dan seperti tahun-tahun sebelum ini, keluarga saya memang menanti hujung minggu untuk meneruskan program raya. Tentu banyak rumah terbuka yang diadakan dan perlu dihadiri.

Hari ini saya memperuntukkan waktu untuk bersama keluarga agar dapat menhunjungi sanak-saudara yang tinggal di sekitar Lembah Kelang dan di Kelang. Sejak semalam saya telah sibuk menghubungi adik-beradik saya agar mereka turut sama kerana bapa saya memang mengharapkan anak2nya dapat bersama jika berkunjung ke rumah saudara-mara. Memang susah untuk menyesuaikan jadual kerana sekarang ini masing-masing terikat dengan jadual kerja dan jadual anak-anak yang bersekolah dan sebagainya tapi nampaknya semuanya berjanji akan cuba memberikan komitmen.

Dah lama betul tak merayau blog teman-teman. Tadi melawat blog Niza dan dia ada tawaran durian runtuh. Bagi yang ada baby tu, bolehlah rebut tawaran tu. Malam tadi sempat kejap melawat blog potpouri. Kak Wan ada bagi tips tentang cara-cara menulis novel. Sesiapa yang berminat nak menulis tu, bolehlah lihat panduan tersebut. Banyak ilmu yang dikongsi bersama. Dalam masa yang singkat sebelum pergi mengunjungi sanak-saudara ni, harap-harap dapatlah 'berhari raya' di blog semua teman.

Friday, September 25, 2009

Hari Raya

Wah, kejap aje dah sampai hari raya ke-6. Sepanjang Syawal 1 hingga , memang sangat sibuk melayan tetamu dan mengunjungi sanak-saudara.
Tahun ini giliran kami adik beradik beraya bersama. Semua adik-beradik saya sudah berumah-tangga dan pada setiap raya mempunyai bergilir-gilir berhari raya di rumah mertua dan di rumah bapa kami.

Pada hari raya kali ini, sehari sebelumnya kami telah sama-sama pulang ke rumah bapa dan bergotong-royong membuat persediaan raya. Sibuk merendang ayam dan daging, merebus ketupat dan menantu2 bapa saya sibuk membakar lemang. Memang meriah kerana anak-anak kami semuanya turut sama diperintahkan oleh penyimpan mohor rumah, untuk membersihkan kawasan rumah walaupun mereka tu lebih banyak main daripada kerja.
Pada hari raya pertama dan kedua, tak henti-henti saudara mara datang berkunjung. Selepas sembahyang raya, kami mengadakan majlis bersalam-salaman dan meminta maaf bermula daripada ahli keluarga yang paling tua hinggalah yang paling muda. Pada masa ini, anak-anaklah yang paling seronok kerana di samping bersalam-salaman, mereka juga dihulurkan dengan duit raya. Selepas itu, sempat juga bergambar. Tapi tak boleh berlama-lama sebab belum sempat selesai, dah ada yang datang berkunjung. Nasib baik semuanya telah disediakan awal. Walaupun letih, tapi sangat seronok sebab bukannya selalu dapat berkumpul dan bertemu. Pada tahun ini, ahli keluargapun dah bertambah. Saudara-mara yang berkunjung pun bertambah ramai.

Pada petang hari raya pertama, saya ke rumah mertua. Hmmm....tetap penuh juga sebab adik beradik dan anak saudara mertua saya memang datang berkumpul di rumah itu pada hari raya pertama dan kedua.
Petang raya ke-2, balik semula ke rumah bapa saya. Kami keluar beraya beramai-ramai mengunjungi ibu saudara yang tinggal jauh sedikit daripada rumah bapa saya. Di sana pun sempat bertemu sepupu-sepupu dan ibu saudara yang lain. Meriah macam ada kenduri pulak.

Hari Raya ke 3, adik beradik saya semuanya bertolak ke rumah mertua masing-masing. Saya sekeluarga bersama keluarga mertua hanya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur untuk beraya. Semalam pula, saya sempat ke Bandar Seri Jempol dan Gemas untuk melawat ibu saudara suami saya di sana. Hmm...melalui jalan raya bukit putus, hilang glamour sebab si kecil saya berlambak-lambak muntah ke atas saya... agaknya pening kepala melalui jalan yang berlengkang-lengkok itu.

Sempat candid penjual telur itik di jalan selepas bukit putus..


Kami pulang setelah matahari lama menghilangkan diri. Hari ini, saya akan pulang ke rumah setelah hampir seminggu beraya di kampung....





Saturday, September 19, 2009

Hari-hari terakhir di bulan Ramadan


Hari ini hari terakhir kita berpuasa.
Rasanya memang semua umat Islam mengalami kesibukan sama ada tahap kecil, sederhana ataupun tahap melampau.
Nak update blog pun masa amat terhad....

Mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan:-

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MAAF ZAHIR DAN BATIN