Wednesday, March 25, 2009

Penyuburan jiwa elak derhaka

Menonton cerekarama hujung minggu lalu mengingatkan saya tentang filem P.Ramlee Anakku Sazali. Kenapa anak-anak yang begitu kaya dilimpahi kasih sayang, boleh tersasar jauh daripada landasan kehidupan yang sewajarnya? Adakah ibu bapa yang bersalah atau anak-anak yang tak pandai mengenang jasa ibu atau bapa yang sanggup berkorban jiwa raga demi kebahagiaan anak?


Si Tanggang juga merupakan satu lagi kisah seorang anak yang tidak mampu dibentuk untuk mengenang jasa ibu yang menyayanginya dengan sepenuh kasih sayang. Kemewahan dan kekayaan yang dimiliki kiranya mampu menjadikan seorang anak derhaka dan berasa malu untuk mengakui ibunya sendiri.


imej dimuat turun daripada: http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/d/df/Poster_Si_Tanggang.jpg


Alangkah sedihnya kalau hal tersebut terjadi pada diri kita. Memikirkan tentang flem-filem dan cerekarama tadi, apakah agaknya yang perlu kita lakukan untuk membendung tragedi tersebut menimpa diri kita?

Dalam dunia yang serba pantas ini, kadang-kala kita memang tidak dapat mengelakkan diri daripada kesibukan bekerja sehingga terlupa tentang anak-anak yang sentiasa mengharap belaian dan kasih sayang daripada kita. Memang benar, kita sentiasa bekerja kuat untuk anak-anak kita. Kita perlu memastikan segala-galanya mencukupi buat mereka terutama dalam memastikan mereka mendapat pendidikan dan kemudahan yang sewajarnya. Memang benar, kita lakukan semuanya untuk kepentingan mereka juga.Namun begitu, seandainya kita terlalu sibuk, apakah kita hanya perlu menanti hujung minggu atau mengambil cuti khas untuk berada bersama anak-anak kita. Adakah kita akan mengehadkan masa untuk menunjukkan kasih sayang kepada permata hati kita ini sekiranya tugas kita hanya membenarkan kita keluar pada awal pagi dan pulang pada lewat malam?

Saya pernah terbaca sebuah artikel yang ditulis oleh Mohd Zawawi Yusoh dalam akhbar Harian Metro bahawa sekiranya kita sibuk, kita masih boleh menyuburkan hubungan rohani dengan anak-anak walaupun semasa anak-anak sedang tidur. Sewaktu kita pulang daripada bekerja di tengah malam, usahlah lupa untuk menunjukkan kasih sayang kita kepada anak-anak. Walaupun pulang di tengah malam, pergilah ke bilik mereka dan cium dahi mereka kerana walaupun mereka sedang tidur, jiwa mereka sentiasa hidup. Kita juga disarankan agar melatih anak-anak mengerjakan solat berjemaah setiap masa yang terluang. Selalu memeluk anak-anak dengan penuh kasih sayang juga dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Selain itu, kita perlu mengelakkan diri daripada mengherdik atau mengeluarkan perkataan yang kurang baik kepada anak-anak kerana segala kata-kata ibu bapa akan menjadi doa buat anak-anak.

Terlalu besar cabaran untuk membesar dan mendidik anak. Semoga kita dikurniai anak-anak yang mampu membahagiakan kita di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment