Wednesday, August 5, 2009

Wabak

Nampaknya setiap hari ada sahaja pertambahan kes H1N1 di negara kita. Sekarang ini, saya tidak berani membawa anak keluar. Kita pun tidak digalakkan berada di tempat awam. Hari Minggu yang lepas, saya menghadiri kenduri. Tapi saya terpaksa tinggalkan anak di rumah. Saya diberitahu yang kita boleh mengambil vaksin tersebut di klinik2. Saya bercadang untuk bertanyakan klinik berhampiran hari ini. Penularannya memang membimbangkan.

Semoga apa yang melanda kita akan segera berakhir.

Saturday, August 1, 2009

Sebuah rahsia yang terpendam

Bukan mudah untuk memulakan bicara kerana rahsia ini telah terlalu lama saya pendam. Saya tidak pasti sama ada tepatkah langkah saya menyembunyikannya atau bilakah masa yang sesuai untuk saya mendedahkan sebuah rahsia yang terpendam.


Cerita ini bermula kira-kira sembilan tahun yang lalu. Saya pasti teman-teman yang berkunjung ke blog ini telah membaca tentang sejarah hidup saya yang lewat dikurniakan zuriat. Pada waktu itu, usia perkahwinan saya telah mencecah ke tahun yang ke-10. Biarpun kelihatan gembira dan tidak mempedulikan kata-kata orang di sekeliling, jauh di sudut hati, ada masanya kehidupan saya terlalu sunyi tanpa kehadiran cahaya mata yang mampu menjadi peneman. Sehinggalah pada suatu hari.....

Dia hadir dalam hidup saya bagaikan cahaya rembulan yang mencerahkan kegelapan malam. Ketika salah seorang sepupu saya menanyakan saya sama ada saya inginkannya, saya memang terus menjawab mahu. Saya terus ke hospital bersalin beberapa jam selepas dia dilahirkan. Dia diserahkan kepada saya oleh ibunya yang mengalami masalah rumahtangga.
Semenjak itu, saya dan suamilah yang menjadi ibu dan bapanya.

Dia tidak pernah merasai susu ibunya kerana ibunya memang tidak mahu langsung menyusukannya. Namun, kuasa Tuhan, iaitu sebulan selepas itu, adik saya yang baru bersalin bermurah hati untuk mengizinkan dia menjadi anak susuannya.

Saya dan suami memang amat menyayanginya. Kalau tidak mengenangkan hukum Tuhan, mahu sahaja kami menukar nama ibu bapanya dengan nama kami. Dialah penghibur, dialah belahan hati kami. Sehinggakan keluarga saya benar-benar lupa yang dia bukanlah anak kandung saya. Ketika saya dikurniakan anak kandung, jauh di sudut hati saya, saya berdoa agar saya tidak akan membeza-bezakan mereka berdua. Alhamdulillah, saya fikir setakat ini saya dan suami memang telah berjaya mendidiknya sedaya upaya kami. Segala yang terbaik telah cuba kami berikan kepadanya. Bermula daripada kasih sayang, makan pakai dan pendidikan. Sebab itu saya tidak pernah menceritakan tentang dia di blog ini sehingga hari ini. Saya tidak tahu bagaimana unttuk bercerita tentangnya sedangkan sejak awal lagi, kisah saya berkisar tentang kejayaan saya memperoleh anak kandung selepas berbelas tahun menanti.

Walaupun ada antara keluarga dan kenalan yang mengetahui kisah ini, namun ramai juga yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap bahawa dia ialah anak sulung saya dan saya sangat menginginkannya begitu. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapapun tahu bahawa dia bukanlah anak kandung saya kerana di dalam hati saya dan suami, dia memang anak kami sama seperti si kecil saya.

Hari berlalu dan dia semakin dewasa. Saya tahu, saya tidak akan mampu menyembunyikannya sampai bila-bila. Namun saya amat bimbang, bagaimanakah penerimaannya. Oh...bagaimanakah cara terbaik untuk saya berterus-terang. Saya mahu dia tahu bahawa saya, lebih-lebih lagi suami amat menyayanginya. Malahan, saya dapat merasakan bahawa suami saya lebih mengutamakan dia dalam segala segi memandangkan dia anak sulung. Saya memang benar-benar dalam dilema....

Monday, July 27, 2009

Serupa tapi tak sama

Hari ini hanya tinggal di rumah. Memasak dan mengemas. Membaca dan menjawab e-mail yang dah lama tak dijawab.

Teringat nak berkongsi cerita ini. Mungkin ada yang pernah membacanya, tapi kalau dah bacapun bacalah sekali lagi. hehehe..


Seorang teman bertanyakan saya apa beza duit RM 50 dengan RM 1.
Jawab saya, "Tentulah nilainya."

Lalu dia pun mula bercerita:-

Duit seringgit telah bertemu dengan lima puluh ringgit;
Duit seringgit bertanya:
"Oit, lama tak nampak, mana kau pergi?
Duit lima puluh ringgit pun menjawab:
"Aku pergi merata tempat. Pergi stadium tengok bola, naik STAR Cruise, pergi Kota Kinabalu naik Air Asia, lepak di One Utama, tengok konsert AF, Malaysian Idol, tempat-tempat macam tu lah. Eh, kau macam mana pula?"
Duit seringgit menjawab seraya menunduk,
"Hmm...biasalah, balik-balik tempat yang sama.....SURAU......., MASJID....., SURAU......"

p/s Betulkah nilai wang seringgit hanya di surau dan masjid sahaja. Kalau tak ada seringgit, tentu tak cukup lima ringgit. Apa pun nilai wang tersebut yang penting keikhlasan. Kalau memberi banyak hanya untuk menunjuk-nunjuk pun tak berguna juga. Tetapi kalau ada, apa salahnya memberikan lebih untuk membantu ke jalan kebajikan.

Selamat memberi dan menerima.

Wednesday, July 22, 2009

Santai

Beberapa hari ini saya hanya bersantai. Cuti hujung minggu. Sambil jalan-jalan cari makan. Ada juga beberapa peristiwa yang menarik dan sangat tidak menarik berlaku.

Suami berkursus agak lama kali ini. Jadi segalanya perlu saya uruskan sendiri. Bertambah kuranglah masa saya untuk 'update' blog ini. Si kecil pun bukan main lasak.Hari ini dia seperti kena selsema, tetapi sedikit sahaja. Cepat-cepat berikan ubat dan alhamdulillah, nampaknya okay. Mungkin selsema akibat berendam dengan 'abang-abang'dia tu kerana kami ke kolam renang. Mula-mula macam takut. Tapi bila dah seronok, macam tak nak naik pula. Menjerit-jerit bila saya bawa dia keluar dari kolam renang. Geram betul.

Setiap hari suami buat video call, jadi taklah terasa sangat. Si kecil pun bukan main riuh bercakap dengan bapanya macamlah faham sangat apa yang dia cakap tu. Seronok betul tengok telatahnya. Kebelakangan ini saya memang kurang masa dan idea pun semakin terbantut untuk menulis........tapi saya akan cuba juga.

Wednesday, July 15, 2009

Siapa yang menanam?



"Barangsiapa menanam dialah yang menuai."




Gambar ini saya dapat di www.flickr.com/photos/faizzaini


Biasanya siapa yang berbuat, dialah yang menerima balasan. Maksudnya setiap orang perlu mendapat balasan hasil perbuatannya sendiri. Tidak kiralah sama ada dia berbuat baik atau sebaliknya.

Orang yang menanam pokok atau tumbuh-tumbuhan, lazimnya setelah jangka masa tertentu, pasti dia akan dapat menikmati buah-buahan atau hasil pokok yang ditanamnya. Begitu juga jika seseorang itu berbuat baik, dia akan menerima hasil daripada perbuatan baiknya.

Sebaliknya jika dia membuat sesuatu yang negatif, menurut hukumnya, dialah yang patut menerima balasan atau hukuman perbuatannya itu. Di dunia ini, jika dia melanggar undang-undang, pasti dia akan dikenakan denda yang berupa wang ringgit ataupun penjara manakala menurut hukum, jika dia melanggar hukum agama, pasti sahaja balasannya ialah dosa.

Semasa berbual-bual lalu menyentuh tentang peribahasa ini, sengaja saya bangkitkan bahawa adakah semestinya orang yang menanam itu, dialah yang menuai. Ada yang menjawab tidak semestinya siapa menanam, dialah yang menuai. Hujahnya, lihat sahaja musim buah-buahan ini. Pada musim buah-buahan ini, ada antara orang yang menanamnya tidak merasapun hasil pokok yang ditanamnya. Sebab itu, ada juga orang yang menanam tidak merasai hasilnya dan orang yang tidak menanam pula yang dapat menuai hasilnya. Hehe....sekali fikir, betul juga. Namun, bagi saya, orang yang menanam itu bukan semuanya berbuat demikian kerana mengharapkan bahawa mereka dapat menikmati hasilnya. Saya percaya ramai yang menanam kerana bagi mereka kesenangan anak cucu merupakan satu kepuasan bagi mereka. Kegembiraan dan kebahgiaan orang yang disayangi merupakan balasan kepada penat lelah mereka itu.


Jika soal pembalasan pada perbuatan yang tidak baik pun turut menjadi perbahasan. Ada yang berpendapat, sekarang ini, kadang-kala orang lain yang melakukannya, orang lain pula yang menerima pembalasannya. Ada masanya saya setuju juga dengan kenyataan ini. Namun, kebanyakan kita pasti setuju bahawa hal-hal itu cuma kes-kes terpinggir sahaja. Hal itu berlaku kerana sudah menjadi lumrah dalam dunia yang fana ini, manusia dengan segala sifat tamaknya kadang kala sanggup berbuat apa sahaja asalkan terlepas daripada hukuman.

Kita pasti sedar bahawa biasanya siapa yang membuat kesalahan, dialah yang menanggung kesan dan pembalasan terhadap perbuatannya. Begitu juga sesiapa yang membuat kebaikan, pasti sahaja kebaikan yang diperolehinya sama ada cepat mahupun lambat. Walaupun tidak mendapat balasan di dunia, kita perlu sentiasa ingat bahawa janjiNya adalah benar dan setiap perbuatan sama ada kecil atau besar, pasti akan mendapat balasan daripadaNya.
Kacang botol yang ditanam di belakang rumah dah banyak. Cili api yang di tanam di dalam pasu pun bolehlah menampung keperluan keluarga. Hmmmm, siapa menanam dialah yang akan menuai!