Saturday, August 1, 2009

Sebuah rahsia yang terpendam

Bukan mudah untuk memulakan bicara kerana rahsia ini telah terlalu lama saya pendam. Saya tidak pasti sama ada tepatkah langkah saya menyembunyikannya atau bilakah masa yang sesuai untuk saya mendedahkan sebuah rahsia yang terpendam.


Cerita ini bermula kira-kira sembilan tahun yang lalu. Saya pasti teman-teman yang berkunjung ke blog ini telah membaca tentang sejarah hidup saya yang lewat dikurniakan zuriat. Pada waktu itu, usia perkahwinan saya telah mencecah ke tahun yang ke-10. Biarpun kelihatan gembira dan tidak mempedulikan kata-kata orang di sekeliling, jauh di sudut hati, ada masanya kehidupan saya terlalu sunyi tanpa kehadiran cahaya mata yang mampu menjadi peneman. Sehinggalah pada suatu hari.....

Dia hadir dalam hidup saya bagaikan cahaya rembulan yang mencerahkan kegelapan malam. Ketika salah seorang sepupu saya menanyakan saya sama ada saya inginkannya, saya memang terus menjawab mahu. Saya terus ke hospital bersalin beberapa jam selepas dia dilahirkan. Dia diserahkan kepada saya oleh ibunya yang mengalami masalah rumahtangga.
Semenjak itu, saya dan suamilah yang menjadi ibu dan bapanya.

Dia tidak pernah merasai susu ibunya kerana ibunya memang tidak mahu langsung menyusukannya. Namun, kuasa Tuhan, iaitu sebulan selepas itu, adik saya yang baru bersalin bermurah hati untuk mengizinkan dia menjadi anak susuannya.

Saya dan suami memang amat menyayanginya. Kalau tidak mengenangkan hukum Tuhan, mahu sahaja kami menukar nama ibu bapanya dengan nama kami. Dialah penghibur, dialah belahan hati kami. Sehinggakan keluarga saya benar-benar lupa yang dia bukanlah anak kandung saya. Ketika saya dikurniakan anak kandung, jauh di sudut hati saya, saya berdoa agar saya tidak akan membeza-bezakan mereka berdua. Alhamdulillah, saya fikir setakat ini saya dan suami memang telah berjaya mendidiknya sedaya upaya kami. Segala yang terbaik telah cuba kami berikan kepadanya. Bermula daripada kasih sayang, makan pakai dan pendidikan. Sebab itu saya tidak pernah menceritakan tentang dia di blog ini sehingga hari ini. Saya tidak tahu bagaimana unttuk bercerita tentangnya sedangkan sejak awal lagi, kisah saya berkisar tentang kejayaan saya memperoleh anak kandung selepas berbelas tahun menanti.

Walaupun ada antara keluarga dan kenalan yang mengetahui kisah ini, namun ramai juga yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap bahawa dia ialah anak sulung saya dan saya sangat menginginkannya begitu. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapapun tahu bahawa dia bukanlah anak kandung saya kerana di dalam hati saya dan suami, dia memang anak kami sama seperti si kecil saya.

Hari berlalu dan dia semakin dewasa. Saya tahu, saya tidak akan mampu menyembunyikannya sampai bila-bila. Namun saya amat bimbang, bagaimanakah penerimaannya. Oh...bagaimanakah cara terbaik untuk saya berterus-terang. Saya mahu dia tahu bahawa saya, lebih-lebih lagi suami amat menyayanginya. Malahan, saya dapat merasakan bahawa suami saya lebih mengutamakan dia dalam segala segi memandangkan dia anak sulung. Saya memang benar-benar dalam dilema....

8 comments:

  1. salam...syahdunya,rasanya beri tau dia bila dia faham, jgn sampai dia tahu dari mulut org lain. Ada kawan saya cakap, takut nak ambil anak angkat ...nanti dia cari mak bapaknya semula. Tapi bagi saya, kalau kita ikhlas memelihara dia...datang lah apapun halangan..Allah akan mempermudahkan urusan untuk kita...syabas!!!

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas pandangan mawar merah.

    memang kakak takut sangat orang lain yang beritahu padanya kerana banyak kes yang kakak lihat, ada yang memberontak hingga melakukan perkara yang bukan2 kerana menganggap dia ditipu.

    sebenarnya kakak sedang cuba untuk berikan dia hint agar dia dapat memahaminya sedikit demi sedikit, tapi memang bukan mudah.

    semoga segalanya dipermudahkan buat kami...

    ReplyDelete
  3. Umurnya sekarang berapa, 9 tahun ? Lelaki atau perempuan ? Saya ada pengalaman tu, tak mudah. Tapi dipermudahkan kerana ibu anak saya sendiri yang ceritakan kisah sebenar.

    Apa yang saya buat, diawal usia dia lagi saya sebutkan yang dia ada dua mak. Saya sebutkan berkali kali... dan dia memang tak faham.

    Dia faham, bila ada orang yang bercerita dengan dia hal yang sebenar. Dia bertanya semula pada kita dengan tangisan dan tidak percaya yang mama ini bukan mama dia...

    Lelaki dan perempuan bebeza waktu matang. Jadi, carilah masa yang sesuai mengikut jantina. Tapi, lebih baik cakap waktu umurnya masih muda kerana pembrontakan tidak sampai lari dari rumah.

    Cuma, jangan terkilan jika selepas ini dia ungkit

    "Dia tak perlu dengar cakap mama, kerana mama ini bukan mama dia..."

    Atau

    "Saya anak orang... mama tak sayang saya... mama lebih sayang adik... bla bla bla..."

    Insya-Allah, saya berjaya buktikan saya sayangkan dia... cuma sesekali saja dia tetap akan kata dia nak balik rumah mak kandung dia...
    Dan sekarang, saya tidak akan menghalang dah jika itu yang dia mahu... kerana saya dan suami telah cuba menerima takdir itu, jika berlaku...

    Cakap kita ambil dia kerana kita sayang dia (bukan sebab kita tak ada anak !)... sambung la sendiri.... jangan sampai dia anggap kehadiran dia tak diperlukan lagi bila kita dah ada anak sendiri.

    Cakap juga, kita bagi adik kat dia sebab dia nak sangat adik !!!

    (Pernah tak dia nak adik dulu ???)

    Harap dapat membantu...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih banyak-banyak jeen..
    Rasa lega sikit baca komen Jeen.
    Memang sekarang usianya 9 tahun. Kakak pernah kata yang dia ada mak lain, tapi dia anggap adik kakak tu yang kakak maksudkan.
    Kakak dan suami cuba buktikan bahawa tiada apa yang lebih pada adik atau yang kurang pada dia.
    Alhamdulillah, dia memang sangat sayang pada adiknya cuma dulu dia kata dia nak adik peempuan.

    ReplyDelete
  5. Terharu bila Tie baca kisah kakak ni...

    Mudah2an dia dapat terima hal yang sebenar bila sampai masanya nanti. Mungkin bila dia sudah cukup matang.

    Tie pun ada rahsia. Tapi Tie tak berani nak luahkan di blog sendiri. Lagi pun Tie sekarang sedang belajar untuk terima dugaan ini....

    ReplyDelete
  6. Terima kasih tie.
    Memang ada kalanya sukar kita nak luahkan sesuatu secara terbuka kerana kadang kala boleh mendatangkan masalah pada kita. Cuma Kakak harap dapat pandangan yang terbaik daripada teman-teman agar Kakak dapat menangani hal ini dengan baik kerana ada antara rakan2 yang telah ada pengalaman tentang hal ini.

    ReplyDelete
  7. Kakak sepatutnya berciter ttg ni sejak dulu lagi.. xdelah rasa terbeban je.. Readers kakak matang orgnya, bleh menerima apa sj..

    Kja ucap tahniah kat Kakak sbb at last kja ada guts utk berciter gak.. Dan tahniah jugak sbb kakak berjaya treat yg sulung dan adiknya tanpa membeza2kan depa.. Kakak, itu membuktikan yg kita tak perlu melahirkan anak itu utk mengasihinya sbg anak sendiri..

    Kja bersetuju dgn pandangan Jeen.. Mgkn kakak bleh jdkan panduan dlm mengatasi dilema kakak ni..

    Semoga Allah swt memberkati Kakak 4 beranak!!

    ReplyDelete
  8. Kak ja,
    Terima kasih pada Kak Ja dan rakan-rakan semua yang sudi mendengar cerita saya dan memberikan pandangan tentang dilema saya ni.
    Saya cuba juga mengikut saranan yang diberikan dan semoga dipermudahkan buat saya dan anak saya agar dia dapat menerima semua kenyataan ini nanti dengan baik.

    ReplyDelete