Thursday, September 15, 2016

Kenangan di Mina

Hari ini, hari ke-4 Hari Raya Aidil Adha. Alhamdulillah, terima berita daripada adinda saya dan suaminya yang telah selesai mengerjakan rukun haji mereka. Pasti pada saat saya menulis ini, mereka telah berada kembali di kota Mekah.
 
Teringat kenangan manis waktu berada di Mina ketika menjadi tetamu Allah tidak lama dahulu. Memang ketika berada di Mina, agak mencabar namun, alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Daripada khabar yang diterima daripada adinda saya, syukur mereka berdua juga dipermudahkan dalam menyelesaikan ibadah haji sewaktu di Arafah dan Mina.

Pada tahun lepas, seorang adik perempuan saya yang bongsu berpeluang menjadi tetamu Allah. Ketika peristiwa rempuhan berlaku di Mina, memang agak cemas kami sekeluarga menanti khabar. Syukurlah pada zaman teknologi maklumat ini, mudah untuk mendapatkan khabar dan mereka di sana juga segera menyampaikan khabar bahawa mereka selamat. 
 
Saya bersyukur kerana urusan kami dulu juga dipermudahkan. Paling manis, apabila berada dalam kelompok yang sangat baik dan bertimbang rasa. Saya juga berpeluang ke sana bersama-sama suami, adik dan adik ipar saya. Makan maggi pada pagi raya juga memang sesuatu yang pasti menjadi kenangan yang tidak dilupakan. Berpeluang ke sana ketika masih bertenaga memang satu daripada rezeki yang Allah anugerahkan. Semoga dianugerahkan lagi peluang untuk menjadi tetamuNya saban tahun. 




Monday, August 22, 2016

Pembantu rumahku lelaki muda

Pembantu rumah saya? Saya dah temui pembantu rumah seorang lelaki. Muda pula tu. Betul ke ni? Sebenarnya. saya masih berbincang dengan agen pembantu rumah untuk mencari seorang pembantu rumah yang sesuai setelah pembantu rumah yang lama pulang ke kampungnya hujung tahun lepas. Bagi saya, sukar juga hendak mencari pembantu rumah setelah pembantu yang lama berkhidmat pulang ke kampungnya. Belum pernah dalam sejarah berbelas tahun saya menggunakan khidmat pembantu rumah, pembantu rumah saya melarikan diri semasa bekerja dengan saya, tetapi awal tahun lepas, pembantu rumah yang baru dua bulan bekerja tiba-tiba melarikan diri ketika kami sekeluarga ke rumah kawan saya yang mengadakan kenduri sempena pernikahan anaknya. Sebulan kemudian, pengganti yang dihantar oleh agen pembantu rumah pula mohon berhenti kerana katanya sebelum dia dihantar ke rumah saya lagi dia sudah memberitahu agennya itu bahawa dia tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah kerana telah biasa kerja di restoran. Semenjak itu, rasa serik pula hendak mencari pembantu rumah. Baru dua kali terkena dah serik, kan!  Padahal ada orang yang lebih buruk lagi pengalamannya dengan pembantu rumah. 

Semalam hari cuti. Alhamdulillah, bahagia rasanya dapat menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga. Awal pagi, saya menyediakan macaroni cheese untuk anak-anak dan mee goreng untuk suami.

Seperti biasa, semenjak hampir setahun tiada khidmat pembantu rumah, hari Sabtu dan minggu memang tak menang tangan dibuatnya. namun syukur alhamdulillah, anak bujangku memang ringan tangan membantu. Kerja-kerja mop lantai dan vakum lantai, mencuci pakaian dan memasukkan baju dalam mesin pengering, biasanya saya serahkan pada dia. Bersyukur sungguh saya, biarpun tiada anak perempuan, saya mempunyai anak bujang yang bertimbang-rasa untuk membantu, sekurang-kurangnya masa saya dapat dijimatkan untuk tugas yang lain. Inilah pembantu rumah saya sekarang,  hehehe...

Selepas zuhur, kami sekeluarga keluar ke Aeon. Sudah lama betul tidak keluar bersama-sama. Biasanya, saya shopping online sahaja. Namun, apabila ada peluang dan suami pula tiada program lain hujung minggu ini, saya sarankan kami keluar makan di luar. Suami memang kurang gemar makan di luar, tetapi kali ini beliau setuju sahaja. Mungkin kasihankan saya yang asyik sibuk dengan kerja di rumah dan di tempat kerja, kot..... ahaks. Tambahan pula, kami juga keluar untuk mencari pembakar roti sandwich kerana anak bujang sedang bersemangat untuk membuat roti sandwich cheese dan roti sandwich oreo seperti yang dibelinya beberapa hari lepas. Mula-mula, bongkar stor, cari pembakar roti yang lama tetapi rupa-rupanya, pembakar roti sandwich yang lama telah patah penyangkutnya. Jadi, kenalah beli yang baru supaya semangat ingin mencubanya tidak pudar. Bagus tak alasan tu? 

Pulang dari Aeon, suami terus ajak kami pulang menjengok ibunya. Pada awalnya, nak pergi sebelah tengah hari tetapi ibu mertua saya ada program. Menghadiri kursus, katanya. Bila sampai di sana, adik ipar dan biras saya dah siap memetik rambutan dan manggis. Alhamdulillah, rezeki sungguh.



Thursday, August 18, 2016

Kembali Bertemu

Mencari Pokemon atau Pokemon Go bukanlah sebab saya lama menyepi daripada dunia maya yang amat saya senangi ini. 


Salam mesra. Lebih 3 tahun saya menyepi daripada dunia blogging. Syukur alhamdulillah, blog ini masih ujud, masih ada pengunjungnya. Setelah sekian lama menyepi, memang sukar hendak membersihkan sesawang yang terlekat di sini. Namun begitu, minat yang dipamerkan oleh anak yang meningkat remaja terhadap dunia blogging membuka kembali pintu hati untuk terus berkongsi cerita dan pengalaman di sini.


Terlalu banyak perkara yang ingin dikongsikan, tetapi akhirnya terdiam sendiri apabila tidak tahu hendak bermula di mana. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit, saya akan terus mewarnai semula blog yang semakin pudar warna ini.

Sampai jumpa lagi. 

Sunday, January 6, 2013

Perasaan Wanita Istimewa

Salam mesra. Hari ini saya berpeluang blogwalking ke berapa blog yang follow blog ini. Antaranya blog Zuriat Impian . Saya tersentuh membaca luahan hati penulis blog ini. Saya faham, setiap pasangan berumahtangga impikan zuriat sendiri.

Saya sungguh memahami perasaan mereka yang senasib dengan saya suatu ketika dahulu  sebagaimana yang pernah saya ceritakan dalam entri ini. Saya berharap mereka terus menjadi wanita yang tabah dan tidak mengenal putus asa. Hidup ini memang satu perjuangan. Dalam dunia perubatan yang semakin berkembang, banyak kemudahan dan peluang yang terbuka luas buat golongan seperti kita. Juga, teruskan berdoa dan mengharap kepada Allah yang maha berkuasa kerana tiada siapa yang boleh menandingi kehebatanNya.
 
Membaca luahan perasaan insan wanita yang istimewa ini, saya berazam untuk terus berkongsi pendapat, pengalaman, pengetahuan yang sedikit itu agar mereka yang senasib dengan saya ini turut dianugerahi permata dalam kehidupan mereka. Mungkin selama ini saya lalai dengan anugerah yang dikurniakan olehNya. Saya berharap akan terus diberikan kekuatan dan kesempatan masa untuk berkongsi, sekurang-kurangnya berkongsi perasaan dengan semua wanita istimewa yang ada di sekeliling saya, walaupun tanpa bersua wajah.

Wednesday, January 2, 2013

Jadual Persekolahan 2013 untuk Anak-anak

Salam mesra. Perkongsian Jadual Persekolahan bagi Tahun 2013.

Hari ini merupakan hari pertama persekolahan bagi sekolah-sekolah di seluruh Malaysia kecuali Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pastinya terdapat pelbagai pengalaman yang mencuit hati terutama bagi ibu bapa yang pertama kali menghantar anak-anak ke sekolah.

Sebagai rujukan untuk merancang hari persekolahan dan cuti, jom kita lihat Jadual Hari Persekolahan termasuk cuti am bagi Penggal Persekolahan 2012 di sini. (sumber :- kabinet.gov.my)  



Friday, December 21, 2012

Kesabaran teman kehidupan

Petang ini kakak menghadiri majlis pernikahan sepupu kakak. Gembira rasanya bertemu kaum keluarga kerana ada antaranya yang sudah lama tidak bertemu.


Majlis berlangsung dengan lancar. Syukur kami panjatkan kehadrat Ilahi kerana dengan sekali lafaz, sepupu kakak telah menjadi seorang isteri kepada suami yang berjanji untuk menjaga dan melindunginya. Kakak doakan agar mereka hidup dalam kebahagiaan dan keimanan hingga jannah.




Dalam bersuka-ria dan riuh rendah, kakak juga bertemu dengan seorang sepupu yang sedang sarat mengandung. Syukur alhamdulillah kerana khabarnya akan menerima bayi lelaki sebulan dua lagi. Kakak juga bertemu kakak iparnya bersama anak perempuannya yang sedang meningkat dewasa. Kakak masih ingat, pada waktu dia beberapa kali keguguran hinggalah ke saat ini, zuriat yang dinanti masih belum tiba. Namun pasrah kepada ketentuannya, dia juga dapat hidup dalam keadaan yang tidak kurang bahagianya dengan orang lain. Biarpun sudah berkahwin hampir sepuluh tahun dan masih belum berkesempatan menimang cahaya mata sendiri, anak perempuan adiknya yang dipelihara sejak kecil mampu menyeri kehidupan. 

Kakak faham tentang perasaan inginkan zuriat sendiri, namun setiap yang berlaku adalah ketentuannya. Kesabaran, doa dan ketabahan pastinya menghiasi kehidupan. Semoga penantiannya akan bernokhtah dengan kegembiraan dan doa kakak semoga penantiannya berakhir lebih awal daripada penantian kakak selama berbelas tahun.

Friday, September 7, 2012

11 petua bantu anak hadapi peperiksaan

Sejak akhir-akhir ini, memang terasa sangat sibuk. Pada tahun ini anak sulung akan menduduki peperiksaan UPSR. Semenjak tahun lepas dah sibuk jadi pemandu tak berbayar yang berulang alik menghantar ke kelas tusyen dan sekolah. Hanya beberapa hari lagi peperiksaan UPSR akan bermula. Saya dan suami sudah mula mengatur cuti agar kami dapat memberikan sokongan dan semangat yang diperlukan oleh anak. Saat-saat akhir ini, pasti sedikit sebanyak, ada tekanan dirasainya. Oleh itu, perhatian yang lebih memang diperlukan.


Pada saat-saat akhir ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha dan selebihnya berdoa agar dia mampu memberikan yang terbaik. Teringat pesanan atau petua Dato Dr Hj. Fadzilah Kamsah untuk membantu anak menghadapi peperiksaan yang antara lainnya:-
 
1) Doa, fikir, cakap dan yakin anak akan berjaya.
2) Membentuk suasana yang tenang di rumah
3) Pengorbanan ahli keluarga dengan membantu, menemaninya sewaktu belajar dan menutup TV
4) Menyediakan getaran positif untuknya di rumah dengan mengelakkan gaduh, marah & rajuk.
5) Maaf dan doakan guru & kawan-kawan
6) Pesan kepada anak agar mengamalkan rutin harian seperti hari peperiksaan agar tidak terperanjat semasa peperiksaan.
7) Pesan anak supaya menghadap qiblat & baca surah Al Insyirah sebelum belajar
8) Ibu bapa berpuasa, solat hajat dan banyak belajar
9) Nyatakan kita redha dengan keputusannya asalkan dia sudah mencuba yang terbaik
10)Bimbing anak untuk solat taubat, hajat & istikharah untuk mudah belajar dan menjawab soalan peperiksaan
11)Sediakan air penerang hati sebagai booster kepada anak.

Bagi yang mempunyai anak yang akan menghadapi peperiksaan, marilah sama-sama kita amalkan. Juga jangan lupa, kebolehan setiap anak adalah berbeza.

Sunday, May 20, 2012

Sudah lama saya tidak mengupdate blog ini. Sudah bertahun saya tinggalkan blog ini selepas membeli domain dan hosting untuk berkarya di blog. Namun begitu, sesekali saya kembali berkunjung ke sini bersama teman-teman lama yang sebahagiannya masih aktif dan maju menulis. Saya sayangkan blog ini, kerana di sini bermulanya saya menjadikan blog sebagai luahan hati tentang kehidupan sebenar.

Monday, January 30, 2012

Awan Nano Juara Lagu ke-26, Hafiz Vokal Terbaik

Dah selesai AJL ke-26. Hafiz yang membuat persembahan dengan berkaki ayam berjaya mendapat anugerah Vokal Terbaik. Lagu Awan Nano yang didendangkannya juga berjaya menjadi Juara Lagu ke-26. Lagu tersebut dicipta oleh Sifu M Nasir.

Lagu Beribu Sesalan yang dipersembahkan oleh Jac, Ning dan Shila berjaya mendapat tempat ke-2 diikuti oleh Lagu Karma yang didendangkan oleh Faizal Tahir.

Saturday, January 28, 2012

12 Lagu Hebat Bertanding dalam Anugerah Juara Lagu 26

29 Januari 2012, Anugerah Juara Lagu ke-26 yang diadakan di Stadium Bukit Jalil akan disiarkan secara langsung. Sebanyak 12 lagu akan dipertandingkan pada malam itu, iaitu Wanita Seluruh Dunia nyanyian kumpulan Projek Pistol, Sedetik Lebih (Jaclyn Victor), Sungai Lui (Aizat), Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Sohaimi Mior Hassan, Ana Raffali & Altimet) dan Awan Nano (Hafiz).

Selain itu, Kekanda Adinda nyanyian bersama Atilia dan Monoloque, Beribu Sesalan (Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn Victor), Karma (Faizal Tahir), Kisah Hati (Alyah) serta Penakut dan Gadis Semasa (Yuna) juga dipertandingkan.

Kesemua lagu itu memang hebat belaka, tapi saya lebih menggemari lagu Kisah Hati, Beribu Sesalan dan Awan Nano. Lagu Sedetik Lebih pun sedap didengar, tapi saya lebih suka kalau ia dinyanyikan sendiri penyanyi asalnya Anwar Zain.

Saya malas nak tengok semasa pertandingan separuh akhir tempoh hari, tapi, berkemungkinan besar, masa siaran langsung tu, saya teringin nak menontonnya di depan TV sambil duduk-duduk makan kacang.





Tuesday, January 24, 2012

Maklumat Lebuhraya untuk Perjalanan Lancar

Pada hari ini, pasti banyak kenderaan yang sedang bergerak di lebuhraya utama di negara ini. Memandangkan ramai yang akan mengakhiri cuti sempena Tahun Baru Cina, pasti lebuhraya akan sesak seperti biasa.

Pada waktu ini, kesabaran dan kebijaksanaan sangat penting. Mengikut saranan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mungkin dapat mengelakkan keadaan yang tidak selesa kepada para pengguna lebuhraya.




Laporan Keadaan Trafik Semasa yang dikeluarkan oleh LLM ialah seperti berikut:

Keadaan Trafik
24-Jan-2012 04:36 TRAFIK PERLAHAN DARI R&R SG.PERAK KE TEROWONG MENORA
24-Jan-2012 04:36 TRAFIK PERLAHAN DARI JURU KE BUKIT TAMBUN
24-Jan-2012 04:36 TRAFIK PERLAHAN DARI BUKIT GANTANG KE KUALA KANGSAR
24-Jan-2012 04:36 TRAFIK PERLAHAN DARI ALOR SETAR KE PENDANG
24-Jan-2012 04:38 TRAFIK PERLAHAN DARI SG.PETANI KE BERTAM
24-Jan-2012 04:48 TRAFIK PERLAHAN DARI SLIM RIVER KE SUNGKAI
24-Jan-2012 04:48 TRAFIK PERLAHAN DARI GOPENG KE R&R TAPAH

Untuk maklumat terkini, pengguna jalanraya digalakkan untuk melayari laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia ataupun mendapatkan maklumat terkini di twitter


Semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam selesai dalam tempoh 3 bulan.

SBPA dikatakan tidak memenuhi harapan sebahagian besar penjawat awam hingga YAB Perdana Menteri memutuskan agar semakan dan penambahbaikan dilakukan demi keadilan dan kepuasan semua pihak.

Jom baca laporan akhbar yang mengulas tentang hal itu:

SUMBER : BERITA HARIAN 24/1/2012

CUEPACS menyifatkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi tempoh tiga bulan bagi semakan dan penambahbaikan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai langkah terbaik dan adil kepada penjawat awam.

Presidennya, Omar Osman berkata, setiap kali kongres mengadakan taklimat di seluruh negara, kira-kira 1.3 juta penjawat awam terutama kakitangan Gred 54 ke bawah dan Kumpulan Pelaksana Satu dan Dua memang melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap SBPA sedia ada.


“Ketika ini skim itu dilihat seolah-olah berat sebelah, tidak adil dan mempunyai jurang besar daripada segi keistimewaan pekerja kelas atasan dan bawahan. Justeru, kita menyambut baik keputusan Perdana Menteri supaya SBPA diperbaiki dengan mengambil kira cadangan dan suara hati penjawat awam semua peringkat bagi memastikan nasib kami lebih terbela.

“Pada masa sama, kita mahu keistimewaan diterima kumpulan atasan disemak semula menentukan sama ada benar-benar layak diterima atau sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab dan bebanan tugasan masing-masing,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Najib supaya pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, membuat penambahbaikan dan menyediakan cadangan baru yang akan memuaskan hati setiap penjawat awam semua peringkat.

Omar berkata, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan dengan penjawat awam di seluruh negara pada Februari ini untuk membincangkan semakan semula SBPA.

Friday, December 16, 2011

Boleh pilih usia bersara?

Bila membaca artikel di Berita Harian Online yang ditulis oleh Badrul Hizar Ab Jabar dan S Anand Kumar yang bertajuk :

Majikan, pekerja swasta boleh pilih usia bersara : Cadangan MEF pastikan tiada paksaan terus bekerja

terasa lega dan adalah harapan untuk memikirkan sama ada boleh memilih ataupun tidak mengikut kemampuan sediri untuk bekerja. Pada pendapat saya, cadangan MEF ini memang masuk akal sebab bukan semua orang mampu berkhidmat sehingga usia 60. Semoga cadangan MEF itu diberi perhatian sebab usia persaraan sekarang pun sudah memadai dan setiap pekerja diberikan peluang memilih sama ada mereka mampu dan sesuai untuk terus berkhidmat hingga usia 60 tahun. Jika mereka fikir mereka mampu dan mereka mahu, biarlah orang ini sahaja yang diberi peluang memilih usia persaraan wajib pada usia 60 tahun itu.



KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan supaya umur persaraan sektor swasta dilanjutkan kepada 60 tahun tidak seharusnya dijadikan sebagai satu mandatori, sebaliknya majikan dan pekerja wajar diberi pilihan.


Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata MEF secara dasarnya bersetuju dengan lanjutan usia persaraan sektor swasta, namun berpendapat pekerja tidak seharusnya dipaksa untuk bersara pada usia 60 tahun.

MEF melihat majikan juga tidak seharusnya dipaksa kerana kemungkinan ada pekerja yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik atau menghadapi masalah kesihatan. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)

“Ini disebabkan kemungkinan segelintir pekerja swasta itu mempunyai rancangan lain yang mahu dilakukan selepas mencapai usia 55 tahun... jika kita memaksa mereka untuk bekerja sehingga 60 tahun, ia mungkin menyebabkan mereka berasa bosan dan boleh menjejaskan produktiviti.

“Kita harus memberi peluang kepada pekerja sama ada mereka mahu bersara pada 55 tahun atau bekerja lagi lima tahun... peluang sama juga harus diberikan kepada majikan.

“MEF melihat majikan juga tidak seharusnya dipaksa kerana kemungkinan ada pekerja yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik atau menghadapi masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, laporan muka depan akhbar ini melaporkan umur persaraan pekerja sektor swasta akan dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun mulai tahun depan selepas mendapat sokongan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan MEF.
Shamsuddin berkata, mekanisme pelaksanaan dasar itu masih pada peringkat perbincangan dan Kementerian Sumber Manusia juga sedang memperhalusi cadangan dikemukakan oleh MEF dan MTUC.

Di AYER KEROH: Kementerian Sumber Manusia dijangka hanya dapat membentangkan Akta Persaraan Pekerja Swasta (APPS) bagi membolehkan had umur persaraan pekerja swasta dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 60 tahun pada sesi Parlimen akan datang.

Menterinya, Datuk Seri S Subramaniam, berkata kerajaan ketika ini dalam peringkat perbincangan untuk menggubal akta berkenaan bagi membolehkannya diselaraskan dengan had persaraan kakitangan awam.

“Kementerian masih pada peringkat perbincangan dengan wakil pekerja dan majikan bagi menggubal undang-undang untuk membolehkan APPS dilaksanakan.

“Apabila kedua-dua pihak sudah bersetuju dengan apa dicadangkan, termasuk beberapa faktor lain dibangkitkan dalam penggubalan undang-undang dan ia dapat diselesaikan, akta ini akan dibawa ke Parlimen. Jika boleh pada sesi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ijazah, diploma dan sijil kepada graduan di Majlis Konvokesyen Ke-9 Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di Dewan Seri Negeri, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, pada masa ini, dari segi perundangan, tiada had umur persaraan ditetapkan untuk sektor swasta dan ia terpulang kepada majikan masing-masing.

“Apabila akta ini dilaksana, ia diseragam di seluruh negara dan boleh digunakan sebagai satu perlindungan kepada pekerja, termasuk mengambil kira jangka hayat usia penduduk di Malaysia secara purata pada masa ini adalah 75 tahun,” katanya.



bhnews@bharian.com.my
2011/12/16

Thursday, October 20, 2011

Penyakit wanita dan ikan sardin?

Sardin merupakan makan kegemaran terutama semasa seringkali mengikuti perkhemahan semasa menuntut dahulu. Sebabnya, sardin mudah dan ringkas dimasak walaupun jika difikirkan, stok sardin boleh disimpan walaupun tiada peti sejuk. Baru-baru ini, terbaca tentang artikel ini. Bila diteliti, banyak maklumat pada artikel ini memang boleh diakui kesahihannya. Marilah baca dan kongsikannya.



~~~BAHAYA SARDIN. ~~~ BACA! PENTING untuk PEREMPUAN!

Bila terjumpa artikel ini, saya berasa patut berkongsi, kerana penyakit yang diceritakan, ada yang pernah saya hadapi sehinggakan saya perlu menjalani pembedahan dan hilang agak lama dalam dunia blog. Saya terfikir bahawa kes yang saya pernah saya hadapi juga seperti ada persamaan dengan masalah yang menimpa kenalan penulis, (seorang lelaki) walaupun sardin bukanlah hidangan wajib saya setiap masa.

Bacalah : Penemuan menakjubkan. .JANGAN MAKAN SARDIN



Saya dilahirkan dari keluarga miskin. Ibu bapa saya mengusahakan kebun getah. Waktu kecil, apabila ibu atau bapa membeli ikan sardin dalam tin, ia seperti satu makanan mewah. Sejak kecil memang saya suka makan sardin. Apatah lagi kalau masakan sardin yang dimasak oleh arwah ibu. Walau pun saya suka makan sardin, namun tidak berpeluang makan dengan kerap maklumlah bagi keluarga saya ketika itu, ia dianggap mahal.

Harga ikan sardin dalam tin pada hari ini dikira amat murah. Dalam lingkungan RM3 – RM4 sudah dapat satu tin sardin bersaiz besar. Kalau nak dibandingkan dengan membeli ikan kembung segar di pasar, rasanya lebih mudah dan murah membeli ikan sardin dalam tin. Tidak perlu memproses buang perut dan membasuh dan membubuh garam dan kunyit. Pendek kata, kalau beli ikan sardin, buka penutup, potongkan sedikit bawang dan tumiskan dengan cili, dalam tempuh yang singkat sudah siap lauk ikan sardin.

Tabiat suka makan sardin saya berterusan sesudah kahwin. Namun tidak kerap kerana isteri kurang gemar ikan sardin.

Setelah saya berkenalan dan berguru dengan arwah guru, barulah saya terpaksa berhenti terus dari makan ikan sardin. Arwah guru saya bertegas memberikan arahan kepada saya “JANGAN MAKAN IKAN SARDIN”. Satu ketika setelah lama tidak makan ikan sardin, sewaktu saya makan tengahari bersama arwah guru, saya sangat terliur untuk makan lauk ikan sardin. Saya mengambil sepotong ikan sardin. Selepas itu, arwah guru saya tidak mahu bercakap dengan saya untuk beberapa jam kerana sangat marah kepada saya kerana mengambil lauk ikan sardin.

Lama kelamaan saya terpaksa belajar untuk tidak makan lagi ikan sardin. Alhamdulillah dengan pengalaman yang Allah berikan sepanjang bersama arwah guru dan terlibat dengan beberapa kes orang yang suka makan sardin, akhirnya kini saya memandang sangat jijik ikan sardin. Saya tidak akan memakan karipap ikan sardin dan sandwic sardin yang dihidangkan setiap kali mesyuarat di pejabat saya.

Mari kita lihat ikan sardin. Sewaktu saya suka makan ikan sardin dahulu, saya sangat suka makan bahagian tulang ikan sardin kerana ia lembut. Bagaimanakah ikan sardin ini diproses sehingga semua tulangnya menjadi lembut??. Kalau kita membuat eksperimen sains yang mudah di rumah dengan merebus seekor ikan kembung selama 3 hari 3 malam secara berterusan, insya-Allah akan kita dapati bahawa tulang ikan kembung ini tidak akan lembut. Mari kita ubah eksperimen ini dengan menggunakan pressure cooker memasak ikan kembung tersebut selama 3 hari 3 malam juga. Keputusannya akan tetap sama, tulang ikan kembung ini akan tetap keras.

Apa yang ingin saya persoalkan di sini ialah mengapa tulang ikan sardin ini sedia lembut apabila dikeluarkan dari tinnya? Jawapannya ialah sudah tentu terdapat bahan kimia khas yang dimasukkan ke dalam tin ikan sardin ini yang telah bertindak balas dengan tulang ikan ini sehingga menjadikan tulang ini lembut. Mengikut arwah guru saya, bahan kimia inilah yang menjadi ancaman kepada manusia apabila mereka memakan ikan sardin.

Apakah ancaman kepada manusia apabila memakan ikan sardin? Pemerhatian pertama atau kes pertama yang gunakan sebagai bahan bukti buruknya amalan makan sardin ialah kes seorang jiran saya yang terpaksa dibuang keseluruhan rahimnya kerana ketumbuhan fibroid di dalam rahimnya. Semenjak sekian lama saya berjiran dengan hamba Allah ini, saya memang tahu melalui anak-anak saya yang kerap ke rumahnya bahawa hamba Allah ini memang gemar memakan ikan sardin dan mee maggi. Maklumlah bagi seorang wanita dengan kerjaya besar yang sentiasa sibuk dan tiada orang gaji, penyelesaian mudah ialah memasak nasi berlauk ikan sardin dan kalau ingin lebih ringkas, stok mee maggi sentiasa tersedia.

Hamba Allah ini telah kehilangan rahimnya semenjak usianya awal 40an. Begitulah, jikalau kerap seseorang terutama sekali orang perempuan gemar makan sardin, jawapannya, pelbagai tumor seperti fibroid di dalam rahim akan insya-Allah diberikan oleh Allah. Fibroid sebenarnya adalah sejenis kanser benign yang tidak merebak ke bahagian lain tubuh. Sebenarnya berdasarkan pemerhatian- pemerhatian lalu ini boleh dirumuskan seolah-olah di dalam tin ikan sardin terdapat sejenis bahan kimia yang bersifat karsinogen (bahan kimia penyebab kanser). Apabila kerap dan sudah cukup tempuhnya, ia akan menyebabkan tumor atau kanser samaada benign atau malignan. Namun dalam pemerhatian saya ia banyak menyebabkan fibroid dalam rahim dan tumor.

Antara sampel kajian saya yang suka dan kerap makan sardin ialah seorang hamba Allah yang secara tiba-tiba sewaktu mengandungkan anak keduanya iaitu seorang anak perempuan tiba-tiba mengidam makan ikan sardin. Hampir setiap hari sepanjang mengandungkan anak perempuannya ini hamba Allah ini akan makan ikan sardin. Akibat dari tabiaat ini, sebaik sahaja aak perempuan keduanya ini dilahirkan, terdapat ketumbuhan pada rahim bayi perempuan ini. Pembedahan terpaksa dilakukan ketika bayi ini berusia kalau tidak silap saya 3 bulan. Begitulah azab diperolehi dari tabiaat gemar makan ikan sardin.

Namun saya bersyukur kepada Allah swt kerana sebenarnya isu makan ikan sardin inilah yang antara menjadi punca sehingga akhirnya hamba Allah ini belajar ilmu agama dari saya sehingga pelbagai amalan syirik dan tangkalnya alhamdulillah telah dapat dibuang. Hamba Allah ini kini alhamdulillah telah menjadi antara murid saya yang banyak sekali mendapat pelbagai rahmat dari Allah walaupun dahulunya jahil.

Sebagai latihan pengukuhan kepada para pembaca budiman semua, cuba lah buat sedikit kajian ke atas mana-mana kenalan atau saudara mara yang pernah mengalami sebarang kes tumor atau fibroid dan selepas itu kajilah sejarah permakanan mereka ini. Kemungkinan besar mereka ini memang gemar dan kerap makan ikan sardin. Dengan itu marilah pembaca sekelian memboikot makan ikan sardin semoga insya-Allah dijauhkan Allah dari terkena sebarang penyakit berkaitan tumor, fibroid atau sebarang penyakit kanser lainnya.

Sekian untuk kali ini. INGAT, jangan makan ikan sardin.

Setakat mana kebenarannya

Wassalam wallahualam.

Jadi, fikirkanlah...dan elakkanlah memakan sardin, jika mampu.

Sunday, July 31, 2011

Ramadan datang lagi

Salam buat semua. Setelah sekian lama menyepi, akhirnya saya diberikan jalan untuk dapat kembali menulis di blog ini. Selama ini, telah beberapa kali saya cuba aksess ke blog ini, namun kecewa kerana entah di mana silapnya, saya benar-benar terlupa password ke blog ini.
Saya rindu blog ini. Rindu pada teman-teman yang dulu selalu sama-sama berkunjung di sini. Kak Ja, Linda, Nur Iman dan banyak lagi nama yang tak dapat saya senaraikan satu persatu.
Syukur Ramadan ini masih dapat kita bertemu. Semoga semuanya berada dalam keadaan baik dan dapat kita sama-sama menunaikan ibadah kepadaNya dengan penuh tawadduk.
Kata-kata yang ingin dimasukkan ke dalam Read More.

Thursday, February 18, 2010

Cuti CNY

Petang Jumaat, mengikut rancangan awal, berkumpul di rumah adik saya. Tetapi saat akhir perancangan berubah. Kami bercuti di Hotel Quality Shah Alam.


Pada sebelah malam, kami makan malam di hotel tersebut. Ada persembahan dan si kecil saya turut rancak mendengar muzik sampai turut sama penyanyi pada malam itu di atas pentas.













Kami turut menyediakan sebuah kek untuk anak saudara yang menyambut hari Ulang tahunnya yang ke sebelas.




Pemandangan seawal pagi dari suite 2010. Sesuai dengan tahun semasa. Tu yang ingat sangat nombor bilik tu.





Bersarapan pagi sementara menanti kolam mandi dibuka. Si kecil ni sibuk benar nak makan sendiri. Pening nak melayan kerenah dia.









Seronok benar dapat main air di tepi kolam. Abang-abang dan kakak-kakak yang ramai tu leka melayan bawa dia berendam.




Thursday, February 11, 2010

Anak-anak yang ditinggalkan

Saya telah menelefon bapa saya menanyakan khabar anak-anak saudara saya yang ditinggalkan kerana ibu bapa mereka tiada di dalam negara kerana menyambut lambaian Kaabah. Sudah hampir seminggu ibu bapa saya berada di rumah adik saya itu bersama cucu-cucunya. Tak sampai hati pula tinggalkan mereka dengan pembantu rumah sahaja. Nak bawa pulang ke rumah ibu bapa saya, dua orang daripadanya masih bersekolah. Kakak sulungnya pula masih menuntut di MRSM dan pastinya akan pulang bercuti mulai esok.

Hujung minggu ini, saya dan seorang lagi ibu saudara anak-anak yang ditinggalkan ini telah membuat perancangan untuk menjaga anak saudara saya yang berempat itu. Kebetulan pula, salah seorang daripadanya menyambut ulang tahunnya pada hari Sabtu nanti dan adik saya telah meminta jasa baik kami membuat sedikit majlis kecil untuk anaknya itu.

Cuti Tahun Baru Cina nanti, kami akan berkumpul di rumah adik saya. Anak saya pastinya seronok berkumpul dengan sepupu-sepupunya. Selain itu, saya juga perlu memenuhi banyak undangan majlis perkahwinan. Dah cuti agak panjang, ramailah yang buat majlis. Kepada yang akan melangsungkan perkahwinan, tahniah dan selamat menempuh alam baru.

Friday, February 5, 2010

Lelaki tak boleh nangis!

Puas pujuk si kecil saya untuk memotong rambut. Tak berani bawa dia ke kedai gunting rambut lelaki, saya pun ajak encik suami bawa dia ke salon tempat saya selalu pergi.

Mula-mula si kecil cool saja. Lepas beberapa ketika, dia mula menunjukkan ketakselesaannya dibalut kain. Mungkin juga rambut-rambut itu membuatkan dia tambah tidak selesa. Puas juga encik suami pegang, sebab dia nak terjun daripada kerusi.

Makin lama makin kuat tangisnya.




p/s Meleleh-leleh air mata, nasib baik amoi tu cool aje dengan gunting dia sehingga rambut si kecil selesai digunting. Saya sempat pujuk good boy tak boleh nangis sambil teringat nak nyanyi lagu Lucky laki tak boleh nangis.

Thursday, December 17, 2009

Selamat Menyambut Maal Hijrah

Sebentar sahaja lagi kita akan memasuki tahun baru 1431H. Semoga tahun baru ini membawa makna yang amat besar buat kita dan menjadikan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.


SALAM MAAL HIJRAH



Monday, December 14, 2009

Hari yang berlalu

Lama sungguh saya tak update blog. Terima kasih pada blogger-blogger yang masih setia mengunjungi blog saya. Saya sungguh tidak sabar untuk mengunjungi blog-blog lain untuk berkongsi pelbagai cerita yang menarik. Sepanjang bulan November, begitu sibuk dengan si kecil saya yang demam hampir dua minggu. Risau juga, tetapi setelah berjumpa doktor pakar dan disahkan tiada apa-apa yang serius, barulah lega rasanya.

Pada penghujung November, saya sempat membawa anak-anak bercuti sebagai hadiah kepada si abang yang menunjukkan peningkatan yang membanggakan dalam pepriksaan tahun. Selepas itu, sibuk dengan majlis kenduri dan majlis berkhatan si abang.

Sepanjang menjaga si abang yang lepas berkhatan hingga sembus sepenuhnya, memang tak letih dengan kerenah dia yang tak reti duduk diam. Dah tu, memang manja. Sakit sikit pun bising aje yang lebih. Kena sabar ajalah. Nasib baik encik suami sanggup bercuti untuk menjaganya sama.

Sepanjang bulan Disember ini, seperti biasa, banyak betul majlis kenduri. Hampir setiap minggu tidak pernah sunyi dengan nasi minyak dan bunga telur. Selepas ini, berderet lagi majlis yang terpaksa dihadiri sehinggakan kadag-kala terpaksa berbahagi majlis dengan encik suami.