Hari ini hujan semenjak pagi. Selepas subuh tadi, masih ada matahari yang menjengukkan wajahnya. Hampir tengah hari baru hujan turun.Baju yang dibasuh pagi tadi tak sempat kering lagi. Kenalah sidai dalam rumah.
Hari ini saya memasakkan si Kecil tu ikan salamon dengan tomato. Dari pagi tadi sibuk sangat bermain. Masa makan pun tak reti nak duduk diam. Letih mengikutnya ke sana ke mari. Si abang pun sama, ada kawan baiknya di sini, lepas aje kelas Bahasa Inggerisnya, dia pun lekalah dengan Play stationnya. Saya beri dia peluang bermain pada hari ini, maklumlah hari pertama di bulan Ramadhan. Saya harap dia akan berpuasa penuh seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya masih ingat semasa mula-mula di sekolah tadika, puas saya paksa dia tak mahu berpuasa. Punyalah risau, tetapi bila berada di Tahun 1, terus sahaja dia berpuasa penuh walaupun pada hari pertama saya terpaksa mengikut rentaknya membeli enam jenis air semata-mata untuk memujuknya yang merengek untuk berbuka sejak pukul 5 petang. Alhamdulillah, sejak hari itu, saya tiada masalah untuk memintanya berpuasa.
Hari ini saya akan pulang ke rumah bapa saya. Insya Allah, seorang adik saya dan anak-anaknya juga akan balik bersama. Jadi, sebelum itu, saya nak memasak dahulu untuk dibawa pulang.
Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak. Semoga Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
No comments:
Post a Comment